KUALA LUMPUR – Marissa Dania Hakim, anak kepada Abby Abadi dan Norman Hakim akhirnya bersuara mengenai kontroversi mengaitkan dirinya sebagai orang ketiga dalam rumah tangga seorang wanita bernama Misya.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Marissa, 18, mengakui dia bertanggungjawab dengan apa yang terjadi dan meminta orang ramai agar tidak menyalahkan ibu bapanya.
“Ibu bapa saya memberikan yang terbaik dalam membesarkan dan mendidik saya. Apa yang berlaku adalah pilihan saya sendiri. Biar saya sendiri yang selesaikan masalah saya, bukan ibu dan bapa saya.
“Saya mengaku saya salah. Apa yang ditularkan dan dikatakan ada yang benar dan ada juga tidak benar. Tetapi saya di sini bukanlah untuk mempertahankan diri saya dengan mengatakan bahawa saya tidak bersalah.
“Ia tidak adil untuk mendengar cerita daripada sebelah pihak sahaja kerana cerita yang disampai bukanlah 100 peratus tepat,” katanya.
Tambah Marissa, dia dan wanita yang mendakwa dirinya sebagai punca keretakan rumah tangganya sudah tiada apa-apa kaitan lagi.
“Cukuplah semua kenyataan yang dikeluarkan untuk memberitahu satu dunia bahawa saya bersalah dan punca dia melanggar taklik dan penceraian berlaku.
“Antara saya dan Aslam pula, mungkin banyak andaian terhadap kami. Tetapi cukuplah saya dan Aslam sahaja yang tahu apa yang sebenarnya terjadi antara kami dari mula sampai akhir,” katanya.
Marissa turut menegaskan bahawa dia dan Aslam tidak meraikan apa-apa selepas Aslam pulang dari mahkamah seperti yang ditulis oleh wanita yang menggunakan nama akaun Misya di aplikasi X.
“Apa yang kami buat sampai dia cakap kami celebrate (meraikan)? Salah satu perkara tidak benar yang ditularkan.
“Setiap orang punya berbeza pendapat terhadap sesuatu perkara, tetapi jangan lupa bahawa semua orang ada hak untuk bersuara. Begitu juga dengan saya yang bersuara bagi pihak saya,” katanya.
Terdahulu sejak semalam nama Marissa menjadi topik hangat dibualkan netizen di media sosial selepas seorang wanita mendakwa dia menjadi punca keretakan rumah tangganya sehingga bercerai.
Berikutan itu, nama Marissa, Aslam, Norman Hakim dan Abby Abadi menjadi trending di aplikasi X sehingga hari ini. – 9 September, 2023