Sedih nak tinggalkan World Peace Entertainment, tapi tak semua orang boleh satu kepala: Ismail Izzani

Penyanyi itu memaklumkan segala yang sudah dirancang bersama label muzik baharunya itu akan dikongsi kepada peminat dalam masa terdekat

6:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani, 23, mengakui dia terpaksa meninggalkan label muzik lamanya, World Peace Entertainment kerana sudah tidak lagi sehaluan.

Menurutnya, dia sudah pun menandatangani kontrak bersama Def Jam Malaysia yang diterajui rapper tersohor, Joe Flizzow kira-kira seminggu lalu tetapi pengumuman rasmi mengenai penyertaannya masih belum dibuat.

“Saya sudah berkecimpung lebih lima tahun dalam industri muzik. Jadi saya mahu cuba meneroka perkara baharu dan tidak mahu duduk dalam zon selesa.

“Saya juga mahu mencari pengalaman bersama mereka yang sudah lama dalam industri muzik seperti  Joe Flizzow dan Alyph.

“Mereka yang ada dalam Def Jam Malaysia adalah sebuah pasukan yang solid (kuat) dan saya percaya mereka mampu membimbing saya,” katanya pada sidang media Konsert Patah Hati 2.0, petang semalam.

Ismail berkata, segala perkara yang sudah dirancang bersama label muzik baharunya itu akan dikongsi kepada peminat dalam masa terdekat.

“Bersama dengan Def Jam Malaysia nanti, semuanya kena baharu. InsyaAllah, semua perkara yang sudah pun dirancang akan dikongsi dalam minggu ini ataupun minggu depan.

“Yang pastinya, produk baharu saya juga akan keluar nanti,” katanya.

Jelas anak kepada penyanyi senior, Datin Suliza Salam itu lagi, sebenarnya sudah dua tahun dia tidak keluar dengan lagu baharu.

Justeru, katanya, dalam tempoh itu dia juga mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan World Peace Entertainment serta tidak menyertai mana-mana label muzik lain.

Ismail Izzani akan menyanyikan lagu sendiri dan lagu penyanyi lain semasa Konsert Patah Hati 2.0 yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 November ini. – Gambar Scoop, 7 September, 2023

“Dua tahun saya tak lancarkan lagu kerana jadi pelakon. Bagi saya ia amat menyedihkan kerana kerjaya seni saya bermula dengan muzik dan saya tidak mahu orang ingat saya sebagai pelakon sebab itu bukan forte saya.

“Sukar sebenarnya untuk saya jelaskan. Tapi, Alhamdulllah hubungan saya dan mereka (World Peace Entertainment) okay dan saya juga keluar cara baik. Saya juga tidak mahu rumitkan lagi keadaan,” katanya. 

Tambah Ismail lagi, sewaktu bersama label muzik lamanya itu, dia ada bertanyakan tentang soal produk muziknya kepada mereka. 

“Tapi, saya juga tidak mahu sekadar lancarkan lagu saya tanpa adanya pelan dan strategi pemasaran. Saya sayang lagu-lagu saya.

“Sebab itu saya kena berbuat sesuatu dan bertindak yang mana telah pun saya lakukan dan membuat keputusan bila ditawarkan untuk menyertai Def Jam Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ismail turut mengakui, dia sebenarnya sedih untuk meninggalkan World Peace Entertainment kerana kerjaya muziknya bermula dengan label muzik tersebut dan hubungan mereka juga sudah umpama keluarga.

“Tapi, sayang tak semua orang boleh satu kepala,” katanya.

Mengenai Konsert Patah Hati 2.0 yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 23 November ini, Ismail berkata, dia bakal menyanyikan lagu sendiri dan lagu penyanyi lain.

“Disebabkan tema konsert ini ‘galau’, saya akan cuba menukar susunan muzik lagu-lagu saya untuk memberikan suatu kelainan buat penonton nanti,” katanya.

Konsert Patah Hati 2.0 bakal dijayakan Ismail Izzani bersama Naim Daniel, Neeta, Aisha Retno, Nadeera dan Bunkface. – 7 September, 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Related