KUALA LUMPUR — Penyanyi terkenal Indonesia, Ahmad Dhani, yang telah bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jakarta malam tadi, telah berkongsi gambar bersama Perdana Menteri di Instagramnya.
Menariknya, kapsyen yang ditulis oleh Ahmad yang juga vokalis kumpulan Dewa 19 itu ‘sama-sama pernah dipenjarakan’ ternyata mendapat perhatian ramai..
Hantaran itu dihujani komen daripada warganet yang memuji semangat perjuangan dua figura terkenal tersebut.
“Ahmad Dhani dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama-sama orang hebat yang pernah merasa dipenjara tetapi kembali bangkit”, demikian tulis salah seorang netizen.
Ahmad dan Anwar bertemu dalam Program Temu Anwar di Jakarta malam tadi tadi, iaitu satu acara yang julung kali diadakan di luar negara.
Program berkenaan diadakan sempena lawatan Perdana Menteri ke Jakarta bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-43 yang berlangsung di Jakarta mulai Selasa hingga Khamis ini.
Untuk rekod Ahmad pernah dipenjarakan selama 18 bulan di Penjara Cipinang Jakarta Timur atas kesalahan menyebarkan kebencian di platform Twitter pada Januari 2018 sebelum dibebaskan pada Disember 2019.
Selain Ahmad Dhani, seorang lagi selebriti terkenal Indonesia iaitu Raffi Ahmad turut kelihatan berada di acara yang sama.
Tidak ketinggalan pelakon terkenal dari Malaysia, Nur Fazura dan penyanyi, Hazama. – 6 September, 2023