Ayu Puteh harap dapat keluar hospital untuk hadiri kes samannya dengan platform e-dagang esok

Jika hendak diikutkan dia masih lagi perlu ditahan di hospital serta menjalani rawatan sehingga Rabu ini

8:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Biarpun masih lagi menjalani rawatan di hospital akibat Influenza A, namun produser filem, Datuk Ayu Puteh berharap doktor akan memberikan kebenarannya untuk pulang bagi menghadiri perbicaraan kes samannya terhadap sebuah platform jualan dalam talian atau e-dagang terkenal, esok pagi.

Menurut Ayu atau nama sebenarnya Normashayu Puteh, jika hendak diikutkan dia masih lagi perlu ditahan di hospital serta menjalani rawatan sehingga Rabu ini.

“Tapi, memandangkan doktor maklum saya mahu hadir di kes mahkamah yang melibatkan syarikat produksi saya dengan platform e-dagang tersebut esok pagi, dia telah berusaha memantau keadaan diri saya, memberikan saya air gula untuk menambahkan tenaga.

“Doktor juga meminta saya untuk menunggu hingga petang. Kalau demam saya sudah hilang dan tiada, doktor boleh rekomen untuk memberi kebenaran supaya saya dapat pulang ke rumah,” katanya.

Menurut Ayu, dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas tiba-tiba rebah di rumahnya pada Khamis lalu.

Datuk Ayu Puteh sedang menerima rawatan selepas rebah akibat demam panas dan Influenza A sejak Khamis lalu. – Gambar media sosial, 3 September, 2023

“Selepas pulang dari sidang media Anak Perjanjian Syaitan 2 arahan Ahmad Idham pada hari sebelumnya iaitu Tabu, saya tiba-tiba telah diserang demam panas dan pada waktu yang sama saya juga diserang anxiety.

“Itulah kali pertama saya mendapat serangan tersebut. Saya tidak tahu bagaimana hendak jelaskan keadaan diri saya ketika itu. Tapi, badan saya betul-betul panas, kepala saya rasa berat, macam ada kayu atau batu. Perut saya rasa loya dan rasa macam hendak muntah.

“Saya juga tidak dapat berfikir dengan betul. Sebetulnya, sejak balik daripada acara tersebut, saya tidak henti-henti memikirkan dua tiga isu tentang bisnes untuk diuruskan dan diselesaikan. Saya cuba cari solusinya tetapi saya buntu sehingga saya jadi stress.

“Bila saya tidak dapat mengeluarkan apa yang saya fikirkan itu selama 24 jam, badan saya jadi mengigil tidak henti-henti, belakang badan saya juga berpeluh sampai basah. Saya kemudian pergi ke bilik air untuk basahkan kepala. Tapi, sebaik sahaja air kena di kepala, saya rasa kepala saya macam nak pecah.

“Waktu itulah saya rasa nak pitam, kaki dan tangan saya kejang dan saya kemudian rebah. Saya hanya sedar apabila berada di dalam ambulans dan bila doktor membuat pemeriksaan darah, X-ray serta sebagainya, saya kemudian telah disahkan dijangkiti influenza A,” katanya. – 3 September, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related