Tiada cinta lokasi Aedy, Ahirine – Jason Chong

Mungkin reaksi Aedy disebabkan mahu menjaga hati keluarga atau orang tersayang

10:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengarah, Jason Chong menegaskan dia tidak boleh memberikan komen lanjut berhubung kenyataan Aedy Ashraf mengenai gambar kontroversi pelakon itu bersama bakat baharu, Ahirine Ahiruddin dalam filem Tebus.

Bagaimanapun, dia mengakui gambar terbabit adalah satu daripada babak dalam filem diarahkannya itu yang dibintangi kedua-dua artis muda berkenaan.

“Saya nak komen lebih-lebih pun tidak boleh. Sebab saya tidak terlibat di dalam bahagian promosi filem ini. Mungkin Aedy sensitif selepas membaca komen dihantar netizen mengenai gambar terbabit.

“Mungkin juga reaksi Aedy itu disebabkan mahu menjaga hati keluarga atau mungkin juga ada orang tersayang yang hatinya perlu dijaga,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Terdahulu, Aedy bengang selepas satu daripada babak dalam Tebus dikongsikan di platform media sosial.

Dia menegaskan tidak pernah bersetuju gambar itu disiarkan untuk mempromosikan filem berkenaan.

Jason berpendapat, Aedy sepatutnya berbincang dengan Ahirine berhubung ketidakpuasan hatinya mengenai perkara itu kerana pelakon wanita terbabit yang memuat naik gambar berkenaan.

“Tapi, sebetulnya sukar untuk kita mengawal apa yang orang hendak muat naik di media sosial,” katanya.

Selain itu, Jason berkata, apa yang boleh dikatakannya adalah sama ada Aedy atau Ahirine, kedua-dua mereka sangat profesional ketika berada di set penggambaran Tebus.

“Tiada hanky panky (nakal) yang berlaku. Bahkan, ‘chemistry’ di antara mereka termasuk seorang lagi pelakon, iaitu Idan Aedan baik sewaktu bacaan skrip. Dan untuk mencetuskan lagi keserasian lebih baik di antara mereka, saya galakkan mereka bertiga keluar makan bersama dan menonton filem.

“Perkara itu sangat jelas berlaku di depan mata saya. Suksesnya filem ini atau tidak, sebetulnya bergantung kepada keserasian di antara mereka bertiga.

“Cuma saya boleh tegaskan di sini, tiada cinta lokasi tercetus. Sebab saya juga tidak mendengar mengenai hal tersebut di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Jason berkata, dia lega dan gembira apabila Tebus menjadi filem Top 3 ditonton di platform Amazon Prime.

“Ini karya pertama saya bersama platform terbabit. Saya rasa Tebus adalah satu peluang baik untuk saya terokai Amazon Prime dan selepas ini, saya akan muncul dengan siri 8 episod bertajuk Entitled bersama platform sama.

“Untuk filem tayangan di panggung pula, saya akan muncul dengan Gemencheh Boys terbitan Astro Shaw. Sidang medianya akan diadakan dalam waktu terdekat ini,” katanya.

Filem Tebus yang dihasilkan berdasarkan tulisan Sky Khor, menampilkan Aedy dan Ahirine sebagai tunjang utama, selain Idan, Azhan Rani, Jay Iswazir serta Marisa Yasmin.

Tebus memaparkan kisah pengawal keselamatan, Johan lakonan Aedy yang menculik pewaris barangan kemas, Ana (Ahirine) untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil (Idan), akibat keadaan mendesak.

Namun, perancangannya tidak lancar apabila bapa tiri Ana, iaitu Bakar (Azhan) tidak mahu membayar sesen pun selepas melakukan penculikan. – 3 September, 2023

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Kuala Lumpur location for Marvel superhero film Thunderbolts

Florence Pugh was in Malaysia and shot scenes in Medan Pasar, Merdeka 118

Related