KUALA LUMPUR – Pelakon Aedy Ashraf menegaskan tidak pernah memberi kebenaran gambar kontroversi dalam salah satu babak filem Tebus dibintanginya bersama Ahirine Ahiruddin, dimuatnaik di mana-mana platform media sosial.
Kecewa dengan perkara itu, Aedy berkata, dia juga tidak pernah bersetuju gambar tersebut disiarkan untuk mempromosikan filem berkenaan.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/09/Ahirine-dan-Aedy.jpg)
“Ia sebuah filem hebat yang saya benar-benar percaya. Saya meletakkan begitu banyak tenaga, masa dan usaha untuk memastikan filem itu hebat untuk peminat.
“Saya enggan membiarkan semuanya mati sia-sia untuk aksi publisiti. Apa yang saya lakukan adalah demi keluarga dan peminat,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Dalam hantaran sama, Aedy turut menafikan dia adalah individu diperkatakan dalam buku ditulis rakan baiknya, Daiyan Trisha.
“Terdapat banyak spekulasi yang menimpa saya kebelakangan ini. Saya di sini untuk menjelaskannya.
“Spekulasi tentang apa yang ditulis seorang rakan dalam bukunya adalah tentang saya. Ini tidak benar. Kami tidak terlibat secara romantik dan tidak lebih daripada kawan,” katanya.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/09/Tebus--1024x1024.jpg)
Filem Tebus arahan Jason Chong yang dihasilkan berdasarkan tulisan Sky Khor, menampilkan Aedy Ashraf dan Ahirine Ahirudin sebagai tunjang utama.
Ia turut membariskan Idan Aedan, Azhan Rani, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.
Tebus memaparkan kisah seorang pengawal keselamatan bernama Johan lakonan Aedy yang menculik pewaris barangan kemas, Ana (Ahirine) untuk mendapatkan jantung di pasaran gelap bagi membantu adiknya, Jalil (Idan).
Akibat terdesak, Johan melakukan perbuatan jahat itu. Namun, rancangannya tidak berjalan lancar apabila bapa tiri Ana, iaitu Bakar (Azhan) enggan membayar sesen pun wang tebusan itu. – 2 September, 2023