Selepas 4 tahun menghilang, Idham kembali dengan Anak Perjanjian Syaitan 2

Ahmad Idham cuba mengulangi kejayaan filem seram arahannya sebelum ini iaitu Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Niyang Rapik

3:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Selepas empat tahun menghilangkan diri daripada dunia pengarahan filem, akhirnya Ahmad Idham kembali semula dengan karya terbaharu filem Anak Perjanjian Syaitan 2 yang menggabungkan isu keagamaan dan elemen seram.

Menerusi filem pertama terbitan Grand Brilliance Studio Sdn Bhd itu, Idham mengakui dia cuba membuat sesuatu yang lebih mencabar iaitu dengan mencetuskan genre baharu dalam filem seram yang tidak pernah ada lagi dalam filem-filem seram sebelum ini.

“Cabaran lain yang perlu saya hadapi adalah untuk memastikan saya terus kekal relevan dan menjadikan karya ini diterima.

“Tapi, saya percaya segala cabaran itu dapat ditangani bila saya dikurniakan barisan pelakon yang hebat. Dah lama saya tak arahkan pelakon filem gred A.

“Sebelum ini, saya banyak buat filem bajet rendah atau buat filem yang tak cukup bajet serta mempunyai kekurangan di sana sini.

“Alhamdulillah, kali ini saya dapat bekerjasama dengan pelakon gred A seperti Alif Satar,  Eyka Farhana dan Fasha Sandha. Saya percaya bersama mereka, saya mampu untuk mengangkat karya ini dengan lebih baik lagi,” katanya sewaktu ditemui pada majlis sidang media filem Anak Perjanjian Syaitan 2.

Anak Perjanjian Syaitan 2 merupakan filem terbaharu arahan Ahmad Idham selepas empat tahun menghilangkan diri. – Gambar Scoop, 31 Ogos, 2023

Mengulas lanjut,  Idham berkata, ia adalah kesinambungan daripada Anak Perjanjian Syaitan pertama yang ditayangkan di pawagam pada 2019.

“Walaupun pengarahnya adalah Helmi Yusof, tapi sebetulnya filem tersebut adalah arahan saya bersama dengan dia. Tapi, bila saya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), saya hanya letakkan nama dia.

“Saya terpaksa berbuat demikian untuk mengelakkan sebarang isu konflik kepentingan peribadi, walaupun syuting filem itu telah pun selesai sepenuhnya sebelum pelantikan saya.

“Untuk Anak Perjanjian Syaitan 2, saya cuba ketengahkan gabungkan isu keagamaan dan elemen kerana wujudnya syaitan dalam diri kita ini tidak akan habis sehingga hari kiamat. Itu nyata disebut dalam A- Quran. Saya cuba kupas dari situ dan jadikan filem.

“Ada beberapa pelakon asal daripada Anak Perjanjian Syaitan yang saya kekalkan dalam filem sekuel ini termasuklah Azlan Komeng dan Chacha Maembong sebagai cameo. Watak Azlan Komeng sebagai Ustaz Aznan diperbanyakkan lagi untuk menguatkan kewujudan Azlinda (Eyka Farhana).

“Sebab sewaktu Azlinda dilahirkan masa filem Anak Perjanjian Syaitan, Azlan Komeng yang banyak membantu dan mengubatinya. Jadi, Azlan Komeng perlu ada untuk menguatkan lagi plot penceritaan supaya orang nampak kesinambungan Anak Perjanjian Syaitan 2 daripada filem pertamanya,” katanya.

Diakui sebagai salah seorang pengarah filem seram terbaik tanah air, Idham berkata, sukar untuk menyatakan sama ada dia mampu mengulangi semula kejayaan seperti mana filem-filem seram arahannya terdahulu seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Niyang Rapik.

“Perkara itu anda kena tanyakan pelakon-pelakon saya. Sama ada saya masih mampu lagi menghasilkan filem genre seram atau tidak. Tetapi, secara peribadi saya tahu di mana kekuatan saya dalam genre ini.  

“Suatu ketika dahulu saya hilang motivasi serta patah semangat dengan sistem di negara ini apabila mufti mengeluarkan fatwa mengenai filem-filem seram yang saya hasilkan. Waktu saya berhenti bikin filem seram, filem saya tidak pernah gagal.

“Dan, sekarang ini, saya tidak risau pun untuk mengeluarkan filem seram. Yang saya risaukan cuma satu iaitu bila penonton teringat kembali dengan filem-filem seram yang pernah saya hasilkan, mereka jadi takut untuk menonton filem Anak Perjanjian Anak  2 ini. – 31 Ogos, 2023 

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Rape allegations at centre of preacher Zamri Vinoth’s defamation trial

Witness for defence claims in her testimony that preacher had raped her at his Rahang home in 2018

Related