Konsert Ruffera: Ruffedge bawa peminat kembali ke era Hip Hop & R&B lewat 90-an dan 2000

Walaupun hanya menghasilkan tiga studio album dan pernah merehatkan diri dalam tempoh yang lama, namun harus diakui Ruffedge masih boleh beraksi dengan begitu baik sekali

6:02 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Terasa seperti kembali ke era Hip Hop & R&B lewat 90-an dan awal 2000. Suasana itulah yang cukup dirasai tatkala berada di Konsert Ruffedge: Ruffera That Moment In Time di Mega Star Arena di Bukit Bintang baru-baru ini.

Saat menantikan kemunculan Ruffedge di pentas, DJ Uno telah menghangatkan suasana dengan memainkan seleksi lagu-lagu Hip Hop & R&B antarabangsa yang cukup ikonik dan padu daripada Ja Rule, Dr Dre, 50 Cents dan ramai lagi pada era tersebut.

Ia memang cukup signifikan dengan penubuhan Ruffedge pada 1998 yang sangat terinspirasi dengan pengaruh kedua-dua genre muzik ini.

Ruffedge membawakan lebih 20 lagu termasuk lagu-lagu solo pilihan masing-masing serta lagu medley popular tempatan – Gambar ihsan Yolo Malaysia, 27 Ogos, 2023

Konsert yang dianjurkan Yolo Malaysia ini menggabungkan kesemua anggota asal Ruffedge iaitu Farish Ramli (Cat Farish), Mohd Kamaruzzaman Zain Abdul Hamid (Zain Hamid), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Addin), Syed Hussein Syed Mustafa (Sein Qudsi) dan Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode).

Pembukaan konsert ini agak menarik kerana ia dihangatkan Zeppo Youngsterz sebagai pembuka tirai dan kemudian Cat Farish, Zain, Sein, Azan dan Mode ditampilkan dengan teknologi AI pada skrin LED bersama tata cahaya dan tata bunyi yang cukup mantap.

Membawakan lebih 20 lagu termasuk lagu-lagu solo pilihan masing-masing serta lagu medley popular tempatan, Ruffedge membuka pentas dengan lagu lagu Goyang dan Tiada Lagi Cinta.

Ruffedge turut menyampaikan lagu-lagu medley wanita popular seperti Azura, Suraya dan Rozana serta medley Cherish, Mulanya Di sini, Kau Pilihanku dan You To Me Are Everything – Gambar ihsan Yolo Malaysia, 27 Ogos, 2023

Kedua-dua lagu ini sudah cukup untuk membakar semangat kira-kira 4,500 penonton untuk kembali mengingati kehebatan Ruffedge sewaku menguasai industri muzik Malaysia dengan lagu hip hop dan R&B mereka walaupun hanya untuk tempoh yang singkat.

Lagu lain yang turut dibawakan termasuklah Mereka, Aura, Berkenalan, Hari Ini Dalam Sejarah, Matinya Sebahagian Jiwa, Belenggu serta Baby Girl sebelum mereka mengakhiri dengan lagu-lagu yang lebih ikonik seperti Tipah Tertipu, Lemas, Da Bomb serta dua lagu encore iaitu Bila Rindu dan Khayalan.

Menariknya, peminat yang membanjiri Mega Star Arena tidak mahu berganjak pulang selagi Ruffedge tidak membawakan lagu-lagu ikonik mereka hinggakan konsert yang berlangsung selama sejam setengah itu terpaksa ditambah waktu sejam lagi.

Terharu dengan sambutan yang diberikan peminat pada malam konsert itu, Sein Ruffedge berkata, sebetulnya sudah lama mereka merancang untuk mengadakan konsert ini tetapi ia tidak dapat direalisasikan disebabkan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lah tampil berganding dengan Ruffedge menerusi lagu Ayu dan Putus sebelum membuat kemunculan solo dengan single terbaharunya Jatuh – Gambar ihsan Yolo Malaysia, 27 Ogos, 2023

“Sebetulnya kami juga berfikir beberapa kali untuk meneruskan konsert ini kerana terlalu banyak konsert lain diadakan sepanjang tahun ini. Namun, kerana sambutan daripada peminat, kami teruskan juga.

“Ini bukan konsert yang terakhir dari Ruffedge, bahkan kami sudah merancang untuk adakan konsert yang lebih istimewa lagi pada tahun hadapan termasuk muncul dengan album baharu,” katanya.

Walaupun hanya menghasilkan tiga studio album sepanjang kerjaya muzik mereka dan pernah merehatkan diri dalam tempoh yang lama dalam industri muzik, namun harus diakui Ruffedge masih boleh beraksi dengan begitu baik sekali.

Namun, harus diakui vokal Mode paling menonjol berbanding yang lain dan ini sangat diakui apabila dia membawakan lagu solo, Can We Talk dan Sein pula seperti mahu membuktikan bahawa dia layak digelar Justin Timberlake Malaysia dengan lagu Can’t Stop The Feeling.

Cat Farish pula mengambil jalan yang bijak apabila menampilkan dirinya Cats Fabs menerusi medley lagu Bawaku Terbang, Rimas, Papa Jahat.

Sebaik sahaja muncul di pentas, Lah Ahmad mendapat sorakan cukup gemuruh – Gambar ihsan Yolo Malaysia, 27 Ogos, 2023

Ruffedge turut menyampaikan lagu-lagu medley wanita popular seperti Azura, Suraya dan Rozana serta medley Cherish, Mulanya Di sini, Kau Pilihanku dan You To Me Are Everything.

Antara detik menarik konsert ini adalah kemunculan Lah Ahmad. Sebaik sahaja muncul di pentas, Lah mendapat sorakan cukup gemuruh. Malah, lebih gemuruh daripada Ruffedge sendiri.

Di sebalik kaca mata hitamnya itu, mungkin terselit rasa hiba dan sebak dalam dirinya kerana kehadirannya masih lagi relevan di kalangan pencinta-pencinta muzik R&B.

Lah tampil berganding dengan Ruffedge menerusi lagu Ayu dan Putus sebelum membuat kemunculan solo dengan single terbaharunya Jatuh yang sudah pun terdapat di dalam Spotify. – 27 Ogos, 2023

Topics

 

Popular

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Related