Persoalan siapa pengganti Muhyiddin sudah terjawab – Abdullah Sani

Namun proses peralihan pimpinan yang perlahan menyumbang kepada ura ura pergolakan dalam Bersatu

8:00 PM MYT

 

WALAUPUN Bersatu sudah selesai mengadakan pemilihan untuk kepimpinan parti mereka, parti itu masih dilihat bergolak.

Isu kepimpinan seolah-olah tidak selesai walaupun ahli-ahli telah habis memilih.

Masalah utama yang dihadapi ialah apa yang dilihat sebagai persaingan antara kem yang menyokong Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin dan satu lagi kem yang digerakkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Azmin Ali.

Perlu diingat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu sendiri telah mengumumkan pelan peralihan (succession plan) bagi parti itu di Konvensyen Bersatu pada Julai 2024 di Selayang.

Dalam pengumuman itu, Muhyiddin menamakan Hamzah Zainudin sebagai pemimpin nombor dua, iaitu sebagai Timbalan Presiden yang akan menggantikan beliau. Manakala Azmin Ali pula dinamakan sebagai Setiausaha Agung, yang kedudukannya ialah nombor sembilan dalam hiraki parti, setelah mengambil kira kedudukan Naib-Naib Presiden dan Ketua-Ketua Sayap.

Analisa luaran menunjukkan Datuk Seri Azmin Ali masih tidak mempunyai dokongan yang kuat dalam Bersatu. – Gambar fail Scoop, 17 Mac, 2025

Gambaran yang sering diberikan ialah Azmin sedang menyusun untuk menambah kekuatan, tetapi Hamzah dilihat mempunyai jauh lebih banyak sokongan daripada akar umbi Bersatu. Azmin sendiri tidak menang apa-apa jawatan dalam pemilihan Bersatu yang lalu dan dia memegang jawatan hanyalah sebagai individu yang dilantik sahaja.

Analisa luaran menunjukkan Azmin masih tidak mempunyai dokongan yang kuat dalam Bersatu. Imej Azmin ialah sebagai individu yang suka berpuak-puak, sukar didekati dan hanya membantu kelompok sendiri saja.

Mungkin Azmin sendiri sedar sokongan akar umbi parti kepadanya adalah lemah, maka dia terus bergantung talian hayat dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hampir setiap gerak gerinya akan disulam dengan justifikasi bahawa dia bertindak “atas arahan Presiden”.

Dan di mana saja Muhyiddin pergi, Azmin akan menyelit sama untuk hadir. Ini seolah-olah satu usaha memposisikan dirinya sebagai orang harapan yang dipercayai Muhyiddin.

Bagaimanapun ramai yang tahu Muhyiddin biasanya meletakkan kepercayaan lebih tinggi kepada tiga pegawai yang sudah amat lama membantu beliau. Kumpulan penasihat ini selalu dirujuk sebagai “orang keliling Muhyiddin” dan mereka inilah inner circle yang sebenar.

Pasukan ini diketuai oleh mantan Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri iaitu Datuk Dr Marzuki Mohamad. Sekarang beliau bertugas sebagai pensyarah kanan di Universiti Islam Antarabangsa. Marzuki merupakan seorang intelektual yang cekap dalam pentadbiran.

Urusan politik Muhyiddin pula banyak diuruskan oleh Datuk Seri Nardin Awang. Beliau juga merupakan pegawai yang cekap, disenangi oleh pemimpin-pemimpin Bersatu dan mempunyai kenalan yang luas dari pelbagai parti hasil penglibatan beliau dalam politik sejak sekian lama.

Walaupun Nardin tidak memegang jawatan rasmi dalam parti, beliau kini memposisikan anak lelakinya sebagai pemimpin Pemuda Bersatu Selangor di bawah Azmin.

Hal ehwal media Muhyiddin diuruskan oleh Datuk Dr Ainon Mohamad. Para wartawan dan editor media mempunyai pandangan yang berbeza mengenai beliau.

Ada yang mengatakan beliau sentiasa tegas menjalankan tugasan dan berjaya membina imej Muhyiddin sebagai pemimpin negara.

Ada juga berpandangan beliaulah yang menyebabkan Muhyiddin tidak mesra media dan tidak popular kerana sikap beliau yang ada kalanya menggunakan pendekatan kasar dengan pihak lain.

Apa yang menarik ialah kepentingan atau self interest Azmin dan tiga orang inner circle Muhyiddin sejak kebelakangan ini nampaknya menjadi sealiran.

Semuanya kelihatan seolah-olah tidak mahu Muhyiddin melaksanakan pelan peralihan (succession plan) yang diumumkan oleh Muhyiddin sendiri pada Julai 2024.

Seperti dinyatakan di atas, dalam pelan peralihan itu, Muhyiddin telah memilih Hamzah sebagai Timbalan Presiden dan keputusan Muhyiddin ini dipersetujui oleh Bersatu apabila Hamzah diberikan ruang untuk menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti tahun lalu.

Kefahaman umum ialah Muhyiddin sudah memilih Hamzah untuk menggantinya memimpin Bersatu.

Dan pemilihan ini membuka ruang untuk Muhyiddin bersara sebelum PRU16. Keinginan untuk bersara ini sudah beberapa kali dinyatakan oleh Muhyiddin sebelum ini, termasuk dalam Persidangan Agung Bersatu pada 2023.

Bagaimanapun sejak kebelakangan ini terdapat usaha memujuk Muhyiddin untuk membatalkan hasrat persaraannya. Sukar dipastikan siapa dalang di sebalik usaha ini, tetapi yang pastinya kumpulan yang akan mendapat manfaat paling besar ialah Azmin dan para pegawai inner circle Muhyiddin.

Jika Muhyiddin tidak bersara, Azmin boleh terus berpaut dengan talian hayatnya dan para pegawai Muhyiddin juga ada masa depan sendiri.

Tidak mustahil mereka juga memujuk Muhyiddin untuk menjadi calon Perdana Menteri sekali lagi, walaupun sudah ada suara-suara dalaman Perikatan Nasional yang mahu sebaliknya.

Kesan langsung kepada imej Muhyiddin sekiranya dia mengubah pelan peralihan yang dia sendiri umumkan sudah pasti negatif. Muhyiddin akan dianggap lupa janji sendiri akibat dipengaruhi orang sekelilingnya.

Dan Muhyiddin juga akan dilihat gagal memahami selera terkini pengundi Malaysia yang semakin muda, yang mana kelompok demografi ini pasti akan skeptikal dengan mana-mana parti yang masih mahukan Presiden berumur hampir 80 tahun memimpin parti untuk masuk pilihan raya. – 17 Mac, 2024

Abdullah Sani ialah pemerhati politik dan pembaca Scoop

Topics

 

Popular

Budget 2025: consider soft loan to help us replace old school buses, say operators

Federation of School Bus Associations’s president Amali Munif Rahmat says that an interest-free soft loan can help them procure new buses and recruit young operators

MCMC recorded nearly 9,500 reports on cyberbullying in the last three years

Online scams are just behind with 9,321 complaints; 143 reports on child sexual content

Top Ismail Sabri aides arrested over money laundering, graft probe: Azam Baki

Sources said that multiple cases are under investigation, including the alleged misuse of RM700 million

Related