‘Kerana mulut badan binasa’, iktibar pada ahli politik perjuang isu rakyat, bukan sentuh peribadi – Habibah Omar

Rakyat akan jemu, jelak dan mual jika ahli politik bercakap tanpa fakta, fitnah dan sentuh peribadi sedangkan isu semasa banyak yang perlu diperjuangkan demi rakyat

2:00 PM MYT

 

PERIBAHASA Melayu ada menyatakan ‘kerana mulut, badan binasa’. Ia membawa maksud jagalah tutur kata kerana tersilap cakap boleh membawa ‘padah’.

Mungkin ini gambaran yang boleh dirujuk dalam dua insiden salah kait nama melibatkan pemimpin PAS.

Insiden pertama melibatkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM830,034 selepas kalah dalam saman kepada tiga pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok.

Mahkamah mendapati Siti Mastura mengeluarkan kenyataan fitnah menerusi satu ceramah pada 4 November 2023, terhadap pemimpin-pemimpin DAP itu dengan mendakwa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya, Chin Peng.

PAS kemudiannya mengadakan kutipan ‘Derma Jihad’ untuk membantu Siti Mastura, walaupun mendapat kecaman ramai kerana ia seperti cuba menghalalkan ‘fitnah’ tersebut.

Terbaharu, isu Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan keluarga pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.

Razman mengakui terkhilaf dan menyatakan media hanya memetik video yang dikerat dari ceramahnya yang panjang.

“Dalam ceramah panjang saya semalam, 1 minit video telah dikerat oleh media untuk dijadikan tajuk berita. Saya akui terkhilaf tentang maklumat yang saya kaitkan dengan YB Hannah Yeoh.

‘Saya juga sedikit kecewa berkaitan pemberitaan yang seperti sengaja mencari kesilapan dengan hanya melaporkan kesilapan tersebut tanpa mengulas ucapan dan isu lain selain kejayaan program tiga hari tersebut,’’ demikian tulis Razman di Facebooknya.

Susulan itu, Hannah dalam akaun X menyatakan beliau akan menyerahkan notis tuntutan kepada Razman kerana mendakwa pemimpin PAS itu membuat tuduhan lain didakwa berunsur fitnah terhadapnya dalam ucapan sama.

Apa yang berlaku, isunya bukan mengenai video yang dipotong seminit atau beberapa jam pun sebaliknya tentang perkara yang dibangkitkan dalam ceramah.

Lawanlah DAP dengan menggunakan pilihan raya. Bukan itu sahaja, beberapa wakil DAP menjadi menteri di peringkat persekutuan dan Exco di peringkat negeri. Guna jentera dan gerak kerja untuk ‘membantai’ hasil kerja mereka jika ada yang tidak berpuas hati.

Tidak perlu dikaitkan dengan isu peribadi, kerana apa yang lebih penting ialah menjuarai isu-isu semasa melibatkan rakyat terutama golongan marhaen ini.

Isu kos sara hidup, rasuah, harga makanan dan perkhidmatan yang meningkat, isu beras putih tempatan dan bagaimana membela nasib golongan B40 serta M40, yang merupakan majoriti di negara ini.

Banyak isu yang boleh diperkatakan oleh ahli politik, sebagai tanda mereka prihatin akan nasib rakyat ketika ini.

Malah semalam kira-kira 1,000 pesawah menyerahkan memorandum kepada kerajaan meminta supaya harga lantai padi dinaikkan kepada RM1,800 daripada RM1,300 per tan, yang sudah tidak relevan lagi.

Nasib golongan inilah yang juga perlu dibela. Ini lebih baik daripada bercakap tanpa fakta, akhirnya mencetuskan polemik. Zaman sekarang berbeza, tidak boleh lagi menggunakan pendekatan zaman 80-90an untuk berpolitik.

Rakyat kini cerdik, bijak membuat penilaian siapa ahli politik yang bijak.

Justeru ketika berada di pentas ceramah, hati-hatilah ketika berkata-kata, jangan sampai dianggap sebagai ‘dungu’ dan tidak ambil tahu isu semasa.

Ini bukan hanya kepada PAS, parti-parti lain juga perlu mengambil iktibar dan berhujahlah dengan bijak. Rakyat memerhati anda. – 29 Januari, 2025

Habibah Omar adalah pengarang berita Scoop

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related