Sedekad harapan dan transformasi: perjalanan penuh bermakna Pusat Rehabilitasi Perkeso – Mohammed Azman

Revolusi penuh berliku Pusat Rehabilitasi Perkeso

8:10 PM MYT

 

SEDEKAD lalu, Malaysia mengambil langkah berani, didorong visi untuk memberi nafas
baharu kehidupan dan impian yang disangkakan hilang berkecai. Di tanah sarat dengan
leluhur sejarah, Melaka inilah Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP) menyemai benih masa
depan penuh harapan.

Kini, tatkala kita meraikan ulang tahun ke-10 transformasi luar biasa yang sudah ditempa, PRP menjadi simbol keteguhan, keberanian dan semangat tanpa sempadan dalam diri rakyat Malaysia. Laluan penuh berliku ini bukan hanya berkisar mengenai pemulihan tetapi pemerkasaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, menerajui inovasi dan pemulihan penjagaan kesihatan semasa sambutan ulang tahun ke-10 Pusat Rehabilitasi Perkeso (PRP). – Gambar ihsan Perkeso, 21 Januari 2025

PRP tidak hanya membuka pintu kepada era baharu rehabilitasi kerana ia pemangkin untuk ribuan individu menemui semula tujuan hidup dan meraih kembali makna kehidupan. Apa yang bermula pada 2014 dengan pusat sulung di Melaka kini mekar menjadi revolusi negara, memaknai hidup lebih 15,000 rakyat Malaysia yang melangkah keluar dari PRP dengan lebih bertenaga, membulat tekad untuk menakluki dunia baharu.

Penubuhan PRP bukan sekadar perhiasan tambahan kepada landskap penjagaan kesihatan, sebaliknya ia menjadi pencetus perubahan yang besar.

Pembinaan Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka membuka lembaran baharu dalam kemampuan Malaysia untuk menjaga seisi rakyatnya.

Ia adalah langkah berani yang diperkukuh dengan cita-cita untuk menjadi pemacu negara ke arah transformasi dan pemulihan.

Hari ini, pusat satelit di Shah Alam, Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Johor ibarat mercu kebolehcapaian dan inovasi. Rangkaian kemudahan ini memancar mesej jelas kepada anak watan Malaysia bahawa siapa atau di mana anda berada, PRP ada di sampingmu.

Setiap kisah kejayaan dari PRP adalah bukti bahawa pemulihan tidak hanya bersandarkan satu pendekatan umum. Menerusi pelan pemulihan bersifat peribadi, PRP menangani cabaran emosi dan vokasional berbanding hanya fizikal pesakit kerana penyembuhan tidak sekadar mencakupi tubuh badan tetapi keseluruhan hidup.

Daripada program mengasah kemahiran dalam seni kulinari kepada latihan vokasional
pengurusan pejabat, PRP menyediakan segalanya untuk individu membina semula masa
depan mereka. Disokong inisiatif Return-To-Work Perkeso, lebih 73,000 rakyat Malaysia kembali ke alam pekerjaan sejak 2017, bukan hanya dengan kerjaya tetapi maruah dan matlamat hidup yang sudah diperbaharui.

Komitmen PRP dalam inovasi berjaya mentakrifkan semula kekangan rehabilitasi pasca
kerjasama yang dimeterai dengan pemimpin global seperti Cyberdyne Jepun untuk
memperkenalkan sut robot Hybrid Assistive Limb (HAL) bertaraf dunia.

Sejak dilancarkan pada 2018, HAL memperkasakan lebih 2,200 pesakit, dengan hampir 60 peratus memperoleh semula pemulihan fungsi anggota badan. Ini bukan teknologi semata-mata, sebaliknya satu keajaiban yang mengubah hidup bagi mereka yang sebelum ini berdepan harapan pudar untuk kembali bergerak seperti biasa.

Evolusi tidak terhenti di situ apabila PRP kemudian mengorak kerjasama dengan Institute of Brain and Spine Hospital di India untuk memperkenalkan terapi neuromodulasi, satu penemuan termaju bagi mengubati keadaan neurologikal yang kompleks. Kemajuan ini bukan sekadar rawatan tetapi menjanjikan bahawa tiada cabaran yang terlalu mustahil berbanding keazaman PRP untuk menunaikan harapan.

PRP sebenarnya meliputi segenap peringkat kehidupan, daripada kanak-kanak berdepan cabaran perkembangan kepada warga emas Malaysia yang berusaha untuk kembali bergerak dan berdikari tanpa bantuan. Perkhidmatan pemulihan pediatrik dan geriatrik yang disediakan melangkaui bidang penjagaan kerana ia merencana kehidupan lebih baik setiap hari.

Komitmen ini memastikan bahawa PRP sentiasa di sisi rakyat Malaysia, bukan hanya di kala krisis tetapi sepanjang kehidupan. Melalui pusat komprehensif baharu di Perak dan Terengganu, PRP konsisten melakar kemajuan lebih gemilang. Pusat Rehabilitasi di Perak akan menerajui negara dalam terapi neuro-robotik dan Cybernics, manakala di Terengganu pula akan tertumpu kepada agenda pemerkasaan melalui latihan vokasional yang relevan dengan industri. Berbanding hanya perkembangan, ini adalah lembaran seterusnya dalam mentakrifkan semula pemulihandan mengukuhkan komuniti di seluruh negara.

Seiring Malaysia yang kini semakin menjadi siulan sebagai destinasi pelancongan kesihatan, PRP adalah perintis ke arah terapi dan penjagaan bertaraf dunia. Bagaimanapun, motif di sebalik usaha ini bukan hanya meraih pengiktirafan, tetapi berkisar kepada tekad memberi capaian untuk rakyat Malaysia mendapatkan penjagaan kesihatan termaju yang mengubah kehidupan dan meletakkan negara sebagai peneraju kecemerlangan perubatan.

Gelombang peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD), terutama diabetes, hipertensi,
dan iskemia otak atau strok dalam kalangan generasi muda amat membimbangkan, dengan 75,115 kes direkodkan antara 2015 dan 2024, termasuk yang berusia seawal belasan tahun.

Data rasmi Perkeso mendedahkan krisis lebih parah sejak sedekad lalu apabila secara purata, 24 peratus daripada lebih 1.44 juta tuntutan dikemukakan berpunca daripada NCD. Situasi terbabit memuncak pada 2023 dengan purata kes NCD melepasi paras 30 peratus, sekali gus menjadi amaran bahawa intervensi perlu segera dilaksanakan sebelum nasi menjadi bubur.

Mimpi kian ngeri yang dikaitkan dengan pilihan gaya hidup ini juga meliputi taburan penyakit kanser apabila 39,414 kes direkodkan antara 2015 dan 2024, dengan purata mengejutkan 11 kes sehari. Realiti di sebalik peningkatan kes kanser ini mencerminkan keperluan terapi bersasar seperti antibodi monoklonal yang boleh mengenal pasti punca genetik tertentu kanser; pemprofilan genomik untuk menganalisis bahan genetik bagi mengesan mutasi penyebab kanser dan inovasi radioterapi seperti terapi pancaran proton (PBT).

Dikenali sebagai revolusi rawatan bukan invasif untuk kanser, PBT berkeupayaan menyasarkan tumor tanpa menjejaskan tisu sihat dan memberi kadar keberkesanan lebih tinggi berbanding modaliti konvensional, selain kesan sampingan yang minimum.

Sehubungan itu, visi PRP untuk pusat PBT pertama Malaysia bukan hanya berkisar kepada penjagaan lanjutan tetapi harapan untuk pesakit dan keluarga, sekali gus mentakrifkan semula kaedah rawatan kanser di rantau ini.

Meninjau dekad seterusnya, ternyata perjalanan PRP masih jauh tetapi tekad meneroka
haluan baharu, melakar kemajuan dan memaknai kehidupan mampu digapai
berbekalkan keberanian di hati serta inovasi dalam genggaman.

Ini adalah cerita sarat dengan kemungkinan, kisah ketabahan bukan hanya mengenai PRP, tetapi setiap rakyat Malaysia yang berani mengimpikan sinar lebih baik untuk hari esok.

Bersama, kita akan membina masa depan di mana setiap kehidupan dihargai, setiap cabaran dihadapi dengan keazaman dan setiap impian berpeluang untuk bergemerlapan. Ini bukan sekadar sambutan kerana ia adalah gesaan untuk bertindak.

Marilah kita bangkit bersama dan menjadikan lembaran kemajuan seterusnya yang digarap Pusat Rehabilitasi Perkeso tidak lapuk ditelan zaman. – 21 Januari, 2025


Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related