BUKAN sekali, bukan dua, tetapi banyak kali. Kerapkali, sepanjang membuat pemakluman perkembangan pengiraan undi di Pusat Operasi Barisan Nasional (BN), Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin parti kerajaan perpaduan. Terutama DAP, Amanah dan PKR.
Beliau secara khusus menggambarkan Ahli Parlimen Wong Shu Qi ‘bekerja keras’ dan bertungkus-lumus dalam usaha menghimpunkan sokongan ahli-ahli DAP serta Pakatan Harapan (PH) kepada calon BN.
Selain Shu Qi, beliau turut menghargai peranan yang dimainkan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, yang juga mantan Ahli Parlimen Kluang.
Mengikuti perkembangan dari jauh, menerusi siaran laman media sosial Facebook, suasana di Pusat Operasi BN menunjukkan satu kelainan yang sungguh berbeza. Nampaknya keunikan politik yang tersendiri ketika kerajaan perpaduan memasuki usia 22 bulan.
Tempoh 22 bulan, apabila disebut sahaja, akan membawa kepada jajaran politik – satu perjalanan politik yang mengerikan buat penyokong-penyokong PH. Kejutan yang dialami pada penghujung Februari 2020, berikutan Langkah Sheraton. Kerajaan PH jatuh. Kerajaan baharu yang dibentuk turut dianggotai oleh BN.
Suasana Sabtu lalu memperlihatkan situasi yang berbeza. BN, terutama Umno berada dalam kerajaan perpaduan yang disokong oleh pelbagai gabungan dan parti sejak November 2022 susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pemimpin-pemimpin yang berada di kutub berbeza berada di bawah khemah besar yang menempatkan Pusat Operasi BN.
Pada malam keputusan tidak rasmi pengiraan undi diketahui dan diumumkan satu persatu oleh pemimpin Umno, mereka bersalam satu sama lain dan berpelukan, secara langsung menggambarkan ikatan politik baharu semakin kukuh. Persefahaman politik yang semakin kukuh dalam kalangan pemimpin yang bermusuhan berdekad-dekad lamanya.
Pemimpin-pemimpin parti saingan terdekat DAP dari BN, iaitu MCA juga berada di Pusat Operasi BN. Mereka duduk bersebelahan, memegang dan mengambil tangan bersama. Wajah mereka menunjukkan kemesraan baharu.
Laporan sepanjang tempoh berkempen menunjukkan DAP dan MCA bersaing serta berlumba-lumba, dari sudut yang berbeza, untuk menarik sokongan ahli mereka di Mahkota. MCA tidak membuka bilik gerakan semasa PRK Kuala Kubu Baharu, yang DAP menurunkan calonnya bagi mewakili PH pada Mei lalu.
MCA mengambil tindakan memulaukan kempen yang amat diperlukan oleh DAP. Umno kerja kuat manakala MIC ada buka bilik gerakan, MCA tidak. Di Sungkai Bakap, selepas itu, MCA membantu tetapi tidak aktif. Begitu juga MIC.
Bagaimanapun di Mahkota, kesemua mereka mengambil pendekatan dan pendirian untuk bekerja keras mengekalkan kerusi Mahkota di pihak BN yang diwakili calon Umno.
Sehari sebelum hari pengundian, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi telah memanggil Shu Qi ke atas pentas bagi menterjemah ucapannya ke dalam bahasa Mandarin untuk hadirin yang kebanyakannya dari kaum Cina. Agar mereka dapat faham, menghayati dan menterjemahkan dalam bentuk undi.
Maklumat yang diterima mendapati beliau mahu majoriti lebih 10,000. Beliau juga dikatakan risau jika peraturan keluar mengundi merosot di Mahkota sebagaimana dikatakan oleh banyak pemimpin kerajaan perpaduan.
Onn Hafiz, Menteri Besar penggal pertama, memberitahu kira-kira 500 yang hadir di ceramah di Kampung Masjid Lama di Kluang, Johor bahawa beliau ingin bercakap dengan hadirin ‘dari hati ke hati’.
Ramai pengundi Cina dikatakan tidak mahu keluar mengundi disebabkan beberapa faktor. Salah satunya ialah isu sijil halal. Di Sungai Bakap isu ekonomi menjadi kekangan dalam mempengerusi pengundi-pengundi kaum Cina. Keadaan yang sama dibimbangi akan membayangi PRK Mahkota.
Isu pergeseran antara Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok secara khusus menjadi fokus dalam menentukan aras keluar mengundi. Jika rendah ia boleh menjejaskan majoriti yang disasarkan.
Shu Qi, juga bekas wartawan, memberitahu media bahawa itu tidak seharusnya dijadikan pertimbangan oleh pengundi dalam menentukan sokongan di Mahkota. Timbalan Pengerusi BN Johor, Daruk Nur Jazlan Mohamed melihat isu itu seakan ‘kacang’ untuk diselesaikan oleh DAP, sekali gus menentukan kemenangan besar calon BN.
Aminolhuda dipetik berkata, PH Johor menzahirkan rasa lega kerana dapat menunaikan janji kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Onn Hafiz untuk memenangkan BN di Mahkota. Menurut Aminolhuda, kemenangan bergaya yang diperoleh BN adalah bukti komitmen yang tidak berbelah bahagi PH, bersandarkan semangat kerajaan perpaduan.
“Inilah gambaran persefahaman yang ditonjolkan oleh rakyat Johor untuk kali kedua. Pada hari ini PH memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam apa yang kami janjikan dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan Menteri Besar Johor bahawa PH akan membantu untuk memenangkan calon BN.”
Dalam usaha untuk mempertahankan kerusinya, BN melangkah ke gelanggang PRK Mahkota dengan tahap keyakinan yang cukup tinggi. Itu gambaran awal. Kerusi itu dirampas oleh PH semasa PRU14 pada 2018. Empat tahun lalu Mahkota, pertama kali dipertandingkan pada 2004, kembali kepada BN menerusi pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, apabila calonnya menang dengan majoriti lebih 5,000 undi.
Pemimpin-pemimpin BN dan kerajaan Madani meletakkan harapan tingggi untuk mencatatkan majoriti lebih besar berbanding empat tahun lalu. Mereka yakin selain mampu mempertahankan kerusi itu, malah boleh membawa majoriti besar. Mereka yakin berada di landasan lebih kukuh. Mereka berpandangan pihaknya landasan keyakinan akan membawa kemenangan mudah.
Pun begitu, keyakinan itu mula tergugut dan goyah pada penghujung minggu pertama tempoh berkempen. Tiba-tiba menjadi ujian dan dilema buat kerajaan perpaduan sama ada boleh mencapai sasaran mereka. BN pun bimbang sasaran awal mereka boleh terjejas jika strategi tidak menjadi. Malah rakan mereka juga mula risau. Terutama DAP, yang bimbang tidak dapat menyampaikan angka yang diperlukan.
Perbualan dengan pemimpin-pemimpin yang bertugas di Mahkota menunjukkan Menteri Besar meluahkan sasaran majoriti selain misi mempertahankan kerusi Mahkota. Beliau mahukan majoriti tidak kurang 10,000 iaitu dua kali ganda berbanding dua tahun lalu.
Kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon, Tan Sri Annuar Musa, bekas Setiausaha Agung Umno dan BN, dan kini Pengerusi Muafakat Nasional (MN), meramalkan kemenangan luar biasa BN di Mahkota.
“Majoriti BN dalam PRK kali ini pastinya melebihi 20,000 undi dan ia manifestasi kejayaan jajaran baru mereka bersama kerajaan perpaduan.”
Ramalan beliau adalah berdasarkan keputusan pilihan raya negeri Johor yang lalu dan jajaran politik yang menjadikan DUN Mahkota kubu terkuat BN-PH Johor. Sehari selepas pengumuman keputusan PRK, Annuar mendakwa ramalannya BN akan menang DUN Mahkota dengan majoriti lebih 20,000 adalah tepat.
Katanya, ramalan mengenai status quo terhadap sokongan yang diterima parti bertanding juga tepat.
“Ternyata tepat. Tiada perubahan dan jelas status quo. Perjalanan menuju PRU16 kita teruskan. ‘The ultimate’ bakal mendatang. ‘The silent majority’ hampir separuh… kita menanti suara mereka di selatan, dalam PRU akan datang,” kata beliau yang dipecat dari Umno dua tahun lalu.
Calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah mencipta sejarah apabila menang besar dengan majoriti 20,648 undi. Beliau meraih 27,995 undi mengatasi pencabarnya, Mohamad Haizan Jaafar, dari PN, yang menghimpunkan sebanyak 7,347 undi. Keputusan kali ini juga menyaksikan BN menang di kesemua 121 saluran berbanding PRN 2022, mencerminkan kekuatan mereka.
Pengarah Operasi BN PRK Mahkota, Datuk Md Jais Sarday berkongsi bahawa bilangan keluar mengundi dalam kalangan Cina dan India meningkat pada sebelah petang hari pengundian, dan ia mempengaruhi sokongan akhir kepada calon BN.
Dalam perkongsian impak keputusan, beliau yang pernah menerajui kerusi Mahkota memberitahu bahawa “kami risau pada awalnya, bimbang mereka tidak keluar mengundi, tetapi usaha kami membawa hasil apabila trend pengundi Cina keluar mengundi meningkat pada sebelah petang.”
Peratusan keluar mengundi agak perlahan sehingga 2 petang, paling rendah berbanding beberapa PRK lalu. Mahkota merekodkan hanya 38.53 peratus setakat 2 petang hari pengundian berbanding Nenggiri 63.58 peratus, Sungkai Bakap (44.59 peratus), Kuala Kubu Baharu (44.6 peratus), Pelangai (59 peratus), Simpang Jeram (56 peratus), Pulai (42 peratus), Kemaman (48 peratus) dan Jepak, Sarawak (41 peratus).
Kemenangan luar biasa calon BN menunjukkan gabungan PH dan BN adalah formula kemenangan bagi PRU16, kata Chin Tong. Semasa PRN Johor 2022, BN memperoleh 16,611 undi, PH 11,445 undi manakala PN 7,614 undi. Gabungan undi yang diterima BN dan PH semasa PRN 28,056, yang hampir sama dengan keputusan pilihan raya kecil kelmarin.
Dalam hal ini, jelas beliau, selepas kempen dan pujukan yang sangat sengit, pangkalan pengundi PH “dapat dipindahkan” kepada BN.
“Hasilnya adalah petanda baik untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan perpaduan,” kata beliau yang juga Adun Pelangi dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri.
“Dengan kerjasama yang lebih kukuh, dan dengan dasar pentadbiran dan inspirasi yang berkesan, kerajaan perpaduan akan dapat meyakinkan mereka yang berada dalam kedudukan tengah, terutama mereka yang tidak keluar mengundi,” kata beliau yang menekankan kerajaan perpaduan perlu bergandingan dalam memenangi pilihan raya bagi memastikan kestabilan dan kesinambungan pentadbiran.
Semasa PRN 2022, Simpang Jeram yang disaingi empat parti, dikuasai (Allahyarham) Datuk Seri Salahuddin Ayub dari PH dengan majoriti 2,399. Salahuddin memperoleh 8,749 undi, Pejuang (208), PN (6,350), manakala BN menerima sebanyak 6,062.
Dalam PRK yang diadakan bagi mengisi kekosongan apabila Salahuddin meninggal dunia, BN tidak bertanding sebaliknya menyatakan sokongan atas semangat kerajaan perpaduan kepada calon PH, yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,514 dan memperoleh 13,844 undi. PN mendapat sebanyak 10,330 undi manakala calon Bebas 311 undi. Majoriti itu lebih tinggi berbanding 2,399 yang dicatatkan oleh PH semasa PRN 2022.
Semasa PRK kerusi Parlimen Pulai yang diadakan 10 bulan selepas PRU15, PH mempertahankan kerusi dengan memperoleh 48,283 undi manakala majoriti ialah 18,641 tetapi peratusan keluar mengundi hanyalah 47.33%.
Semasa PRU15 pada November 2022, PH memperoleh 64,900 undi, BN (31,726) dan PN pula 20,677. Ketika itu, kombinasi undi PH dan BN tidak mencapai 95,000, sebagaimana diandaikan akan berlaku, berbanding di Mahkota.
Semasa PRK Simpang Jeram, PH memperoleh sebanyak 13,844, kurang sekitar 1,000 undi berbanding sokongan diperoleh gabungan undi PH dan BN semasa PRN 2022 iaitu 14,811 undi.
Bagaimanapun pola keputusan di Mahkota mencerminkan aliran yang lebih padu, dan yang agak berbeza berbanding di kerusi-kerusi yang melibatkan pengundi yang pelbagai kaum ataupun pengundi campuran. BN mencatatkan kemenangan buat kali kedua-dua berturut.
BN-Umno menang dengan majoriti besar di Nenggiri pada 17 Ogos lalu, sekali gus buat julungnya merampas kerusi dimenangi PAS sejak PRN tahun lepas. Sebelum itu, tahun lalu, BN-Umno mempertahankan kerusi Pelangai, Pahang. Rakan kerajaan perpaduan mereka, PH dan GPS merekodkan kemenangan di Jepak, Sarawak; Pulai dan Simpang Jeram di Johor dan Kuala Kubu Baharu, Selangor. Sungai Bakap, Kemaman dan Kuala Terengganu kekal milik PN.
Sejarah politik menunjukkan Johor kubu kuat bagi Umno sejak negara merdeka. Gelombang gabungan parti politik dan sumber membawa kemenangan jauh lebih besar berbanding apa yang dilalui dan dialami di Pulai dan Simpang Jeram, kedua-duanya di Johor, dan PH dan BN telah bertembung di peringkat Dewan Negeri dan Parlimen masing-masing pada awal dan akhir tahun 2022.
Gelanggang Mahkota menjadi ujian kepada ikatan politik tidak formal bagi BN dan PH.
Sementara banyak pihak melihat kerjasama politik BN-PH akan berterusan dalam PRU16, malah kemungkinan lebih berisi berbanding sebelum ini, bakal teruji selepas ini. Jajaran kerjasama politik baharu bakal muncul.
Kemenangan bersejarah di Mahkota kemungkinan akan memberi suntikan untuk memanggil PRU16 lebih awal. Masih awal untuk dimuktamadkan tetapi pastinya lebih awal berbanding tingkap asal yang sepatutnya. PRK Mahkota juga berjalan dalam suasana tenang tanpa isu-isu rakyat yang lebih besar. Kempen pun dalam skal kecil-kecilan. Norma baharu di Mahkota, menjadi contoh kepada peringkat nasional untuk diamalkan.
PRK Mahkota juga telah meninggalkan mesej tersendiri untuk dihayati seperti di sembilan PRK yang lalu di seluruh negara. – 1 Oktober, 2024
Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir, dan mantan Ahli Tetap Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya