TIGA pilihan raya kecil (PRK) yang lalu telah meninggalkan mesej penting. Mesej daripada rakyat iaitu pengundi kepada kerajaan dan juga parti-parti politik.
Keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Selangor ada mesej tersendiri. Keputusan akhir tidak seperti yang diramal, dijangka dan diharapkan oleh kebanyakan pihak.
Begitu juga DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang di sebelah utara dan kemudian fokus para pemegang taruh beralih ke wilayah timur yang membuka gelanggan DUN Nenggiri, Kelantan yang keputusannya turut mengejutkan banyak pihak.
Keputusan yang tidak diduga, yang dikatakan memberi semangat kepada parti yang menang.
Sejak sebulan lalu tumpuan satu Malaysia berada di selatan untuk menanti keputusan PRK DUN Mahkota, Johor, esok. Kerusi Mahkota merupakan salah satu daripada dua kerusi DUN yang diletakkan dalam bahagian Parlimen Kluang.

Pengundi, orang politik dan rakyat jelata dari seluruh menunggu untuk melihat hasil keputusan dan mesej yang bakal disampaikan oleh pengundi Mahkota.
Malah ia turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa yang melihat keputusan esok bakal menjadi ukuran ke atas kerajaan yang memerintah di pusat dan negeri. Terutama ke atas kerajaan perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan genap dua tahun dalam dua bulan lagi.
Itulah PRK Mahkota. Mahkota akan pergi kepada siapa?
Sejak dua minggu lalu Mahkota menjadi tumpuan. PRK yang ketiga di Johor selepas Pulai dan Simpang Jeram yang telah dilangsungkan genap setahun lalu.
Lebih 60,000 pengundi berhak untuk menentukan wajah wakil rakyat baharu, yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang meninggal dunia 2 Ogos lalu.
Pengundian awal berlangsung Selasa lepas dengan rekod keluar mengundi 95.45%, melibatkan 4,437 pengundi.
Peratusan itu merupakan jumlah keluar mengundi yang agar tinggi, dalam kalangan pengundi awal, dalam senarai PRK sepanjang lebih satu tahun lalu.
PRK menyaksikan pertembungan antara calon BN dan PN. Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan wakil PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, bersaing untuk menguasai Mahkota.
Semasa PRN 2022, BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Mengikut daftar pemilih SPR, seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka kali ini berbanding lebih 48,000 semasa pilihan raya umum enam tahun lalu, sebelum sistem pendaftaran automatik dan dasar pengundi 18 tahun diperkenalkan.
Daripada lebih 66,000 pengundi layak, 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir luar negara). SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka pada hari pengundian biasa.
Berbanding lapan PRK lalu (Ogos 2023-Ogos 2024), Mahkota yang menjadi tumpuan BN dan PN, tidak membawa pemasangan bendera calon dan parti secara besar-besaran. Ia jauh berbeza berbanding yang kita lazim saksikan.
Jalan-jalan utama di Kluang yang menghubungkan bandar-bandar besar yang lain ‘bebas’ daripada poster dan kain rentang pilihan raya. PRK DUN Mahkota mengambil satu pendekatan yang berbeza, sama seperti ketika PRN Johor 2022.
Pendekatan berprofil rendah. Sejurus selepas penamaan calon, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melontarkan idea agar semua pihak mengekalkan kempen ‘cara Johor’ iaitu secara berhemah bagi mengelakkan provokasi.
BN dilihat berada pada kedudukan yang selesa untuk mengekalkan Mahkota. Tetapi saiz kemenangan bergantung kepada peratusan keluar mengundi sebagaimana terbukti di Sungai Bakap dan Nenggiri.
BN dilihat lebih stabil pada hari ini berbanding dua tahun lalu. Dalam mana-mana PRK, salah satu gabungan yang mempunyai jaringan sistematik yang kukuh ialah UMNO-BN. Satu lagi ialah PAS, komponen PN.
Di Kluang dan Johor yang merupakan kubu kuat UMNO sejak negara merdeka, mempunyai jentera yang lebih efektif dan mereka boleh menggembleng sumber dengan cekap dengan pantas dan cepat.
Seperti di Pelangai dan Nenggiri, kedua-dua kerusi yang BN meletakkan calonnya, pekerja pilihan raya mereka berada di setiap pelusuk Mahkota dan mereka dalam jumlah yang besar bergerak secara senyap dan berprofil rendah.
Berbanding Pelangai dan Nenggiri, demografi Mahkota yang pelbagai mewujudkan persekitaran yang menggalakkan untuk BN dalam misinya mengekalkan Mahkota.
Pendekatan berkempen juga berbeza di BN dan PN di Mahkota
UMNO-BN juga lebih selesa di Johor berbanding negeri-negeri lain. BN gagal dalam PRK Kuala Terengganu dan Kemaman, tetapi menang dengan bergaya di Pelangai dan Nenggiri.
BN mengekalkan Pelangai dan merampas Nenggiri – kerusi pertama dirampas oleh UMNO-BN daripada lawannya sejak November 2022. Di Kuala Kubu Baharu pula UMNO-BN menyumbang dengan efektif kepada majoriti besar untuk calon PH dari DAP, rakan gabungan kerajaan perpaduan di peringkat pusat.
Kluang adalah kawasan campuran dan dengan sokongan parti gabungan, BN dilihat boleh menang.
“Menang tetap boleh menang, tetapi majoriti besar atau tidak,” kata seorang pemimpin Umno dari Selangor. Bagaimanapun cabaran sebenar ialah peratusan keluar mengundi memandangkan kebanyakan pengundi luar bekerja di Singapura dan Kuala Lumpur.
Persoalannya sekarang adakah BN boleh dan mampu untuk mencapai majoriti 5,000 undi ataupun lebih rendah berbanding Mac 2022.
Bakal keputusan bergantung kepada sama ada pengundi luar bandar kembali untuk membuang undi. Peratusan keluar mengundi dijangka berlegar sekitar 55 hingga 57%, dengan maksimum 60 peratus. Peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi, terutama pengundi luar, boleh membawa kepada kemenangan yang lebih besar.
Walaupun yakin menang pemimpin BN meletakkan sasaran keluar mengundi di bawah 55%. Peratusan keluar mengundi semasa PRN Mac 2022 hanyalah 55.7%.
Sama ada mereka menang besar atau kecil, ia bergantung kepada peratusan keluar mengundi.
Juga tidak boleh diketepikan ialah risiko penurunan sokongan Cina. Kemungkinan besar BN akan menang, tetapi sokongan kaum Cina mungkin berkurangan sedikit.
Persoalannya sama ada penurunan itu cukup ketara untuk menjejaskan peluang calon BN. DAP dan MCA masing-masing bersaing untuk menyumbangkan sokongan padu pengundi kaum Cina.
Kedua-dua parti itu, terutama DAP tidak mahu nasib malang di Sungai Bakap berulang di Mahkota. DAP yang menjadi tumpuan tatkala wujud sentimen yang tebal bahawa penyokong DAP kemungkinan tidak mahu keluar mengundi ekoran isu sijil halal dan sebelum ini isu KK Mart.
Pemimpin-pemimpin Umno didakwa memperlekeh dan tidak menghormati pendirian pemimpin-pemimpin DAP, terutama Teresa Kok. Keadaan itu mencetuskan kerisauan dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan.
Di Sungai Bakap ramai pengundi Cina tidak keluar disebabkan isu kos sara hidup dan ekonomi, peratusan keluar mengundi Cina di Mahkota berhubung kait dengan kontroversi sijil halal dan mereka yang bekerja di luar Kluang, di mana tidak mahu balik kampung halaman buat kali kedua dalam dua minggu.
Sejak lebih satu dekad, pengundi Cina Johor secara tradisinya lebih bersimpati terhadap DAP, dan ini tidak dijangka menjejaskan prospek BN dengan ketara. Lebih-lebih lagi ketika DAP dan Umno-BN berada dalam kerajaan perpaduan.
Dalam isu ini, Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed percaya DAP akan berkerja keras dan mampu menangani kontroversi pensijilan halal bagi memastikan ia tidak mempengaruhi sentimen pengundi Cina terhadap calon BN.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ini berkata, sejak dari dulu jentera pilihan raya DAP sememangnya hebat apabila menyampaikan isu sensasi dan fitnah seperti yang pernah dibuat sejak sebelum 2018.
Menurut beliau, kekuatan jentera itu mungkin disebabkan penguasaan BN di Johor, sementara Parlimen Kluang disandang oleh Wong Shu Qi dari PH.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol yang terletak bersebelahan Mahkota juga merupakan wakil dari DAP, iaitu Chew Chong Sin.
Faktor pengundi kaum India juga tidak boleh dipandang ringan. Ramai juga bekerja di luar Kluang. Adakah mereka akan pulang untuk menentukan wakil rakyat mereka? Bagaimanapun dengan pengundi kaum Melayu.
Mampukah Umno mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu yang diperoleh semasa PRN Mac 2022 akan terjejas susulan sentimen gelombang hijau yang disaksikan pada November 2022 dan akan berhadapan dengan tempias PRN Ogos 2023.
Apakah Umno juga bakal berhadapan dengan unsur sabotaj ekoran krisis dalaman Umno sejak selepas PRU15?
Kesemua elemen ini tidak boleh ditolak bulat-bulat, terutama ketika ramai serius bercakap mengenai sokongan pengundi Cina kalangan ahli dan penyokong DAP. Sebelum mengumumkan bakal calonnya, Onn, yang juga Pengerusi Umno Johor, mengakui bukan mudah untuk calon BN menang pada PRK kali ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Johor berkata, ini kerana jumlah pengundi sudah bertambah hampir 30 peratus berbanding PRN Mac 2022.
Bercakap mengenai gelombang hijau, buat julung kali, PRK Mahkota menjadi ujian impak undi 18 tahun meskipun dasar itu telah diuji di peringkat Parlimen Kluang pada November 2022 dan ketika PRK Simpang Jeram tahun lepas.
Semasa tinjauan di Mahkota baru-baru ini ada pemimpin yang melontarkan scenario bahawa persaingan bukan di antara BN dan PN, tetapi bagaimana untuk membawa undi sedia ada BN dan PH terutama pengundi dan penyokong tegar DAP dan Amanah kepada calon BN. Itu isunya.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa parti-parti dalam kerajaan untuk merapatkan saf, susulan tekanan oleh Timbalan Pengerusi BN Johor, Nur Jazlan Mohamed kepada DAP untuk mendapatkan undi orang Cina.
“Ini bukan hal sebuah parti sahaja, tetapi saya percaya yang ini hal ehwal Malaysia yang demokrasi, untuk memastikan ini menjadi proses pilihan raya yang berjaya, untuk memastikan calon kita menang,” kata beliau.
Umno-BN mengharapkan jasa mereka di Kuala Kubu Baharu akan dibalas oleh pengundi Cina terutama dalam kalangan ahli DAP. BN mengharapkan sekurang-kurangnya 5,000 undi daripada penyokong PH – PKR, DAP dan Amanah.
Amanah juga mengharapkan agar pihaknya akan diberi laluan oleh BN untuk bertanding di Mahkota, dan ia tidak menjadi kenyataan. Oleh itu impak ahli menjauhkan diri mereka daripada mengundi tidak dapat ditolak.
Seperti di Sungai Bakap, sementara PH disebut-sebut berada pada kedudukan untuk merampas kerusi itu, peratusan keluar mengundi yang rendah, terutama membabitkan pengundi Cina, PN berjaya mengekalkan kedudukannya dengan majoriti lebih besar.
Justeru itu, di Mahkota juga peratusan keluar mengundi bakal menjadi penentu muktamad sama ada kemenangan itu dengan margin yang sempit atau lebar.
Seminggu sebelum penamaan calon, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa meramalkan calon BN dijangka menang besar di Mahkota, sekali gus mengulangi kejayaan yang diperoleh di Nenggiri bulan lalu.
Pemimpin dari Kelantan itu menzahirkan keyakinannya hasil keputusan PRN Johor pada Mac 2022, yang menunjukkan BN memperoleh lebih 16,000 undi sementara calon PH dari Amanah memperoleh lebih 11,000 undi.
“Hasil keputusan itu menjadikan Mahkota kubu terkuat BN, PH Madani di Johor. Apalagi dalam PRK (Mahkota) dengan segala jentera kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang sudah pun dikerahkan bekerja untuk pasukan Perpaduan Madani,” kata beliau sambil menambah, “mungkin melebihi 30,000 undi.”
Walaupun Mahkota jauh daripada riuh rendah perang poster dan bendera parti sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu, persaingan untuk meraih undi kekal hebat. Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui PN berdepan dengan cabaran besar dalam merampas Mahkota.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu walaupun sebelum ini keputusan majoriti menang agak besar diperoleh bagi penyandang kerusi DUN Mahkota, namun pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi DUN tersebut.
PRK Mahkota juga dilihat sebagai kajian separuh penggal atau tinjauan umum terhadap pencapaian kerajaan Johor yang ditadbir oleh BN sejak dua tahun lalu. Perkara ini turut diakui oleh Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros.
Oleh itu kata beliau, pengundi Mahkota perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menunaikan tanggungjawab mengundi seterusnya menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan negeri.
Persaingan dalam persaingan telah terbukti sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu lalu. Ia merisaukan pemimpin BN dan PH.
Persaingan sebenar bukan di antara BN dan PN, sebaliknya di antara parti komponen, terutama DAP dan MCA. Sesuatu yang menarik untuk diperhatikan, dan akan menjadi penentu keluasan kemenangan esok. PN mahu menggunakan isu itu sebagai peluang untuk mencatatkan kejutan.
Dan, sudah ada mesej spesifik PRK kali ini, dan pastinya ia akan menambah warna-warni pilihan raya. – 27 September, 2024
Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir, dan mantan Ahli Tetap Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya