RANCANGAN kerajaan untuk melesenkan penyedia platform media sosial mencetuskan kebimbangan ramai, terutama pengkritik yang melihatnya sebagai langkah awal ke arah sekatan yang lebit ketat dalam kebebasan bersuara.
Jika betul langkah itu ke arah menyekat kebebasan bersuara, ia memang membimbangkan.
Sesiapa yang menyokong demokrasi atau kebebasan bersuara pasti akan bimbang, kerana kita sudah biasa dengan media sosial, dan internet, yang merupakan platform bebas di mana sesiapa bebas menulis apa sahaja.
Adakah janji kebebasan media hanyalah retorik politik yang digunakan semasa berkempen dan hanya dibangkitkan apabila berada di pihak lawan, tetapi dilupakan selepas memegang kuasa?
Mulai Januari tahun depan, penyedia platform media sosial perlu didaftarkan, mungkin dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk terus beroperasi di negara ini.
Syarikat-syarikat besar, seperti Meta (Facebook, Instagram dan WhatsApp), Bytedance
(TikTok) dan Google (YouTube) telah menyatakan tentangan manakala yang lain, terutama yang menjalankan perniagaan di sini, cuba menjauhkan diri sedikit daripada syarikat-syarikat besar ini.
Langkah ini menimbulkan banyak kebimbangan, contohnya, apa yang akan berlaku jika
mereka enggan memohon lesen atau tidak layak dilesenkan? Apa akan berlaku kepada
usahawan yang menggunakan media sosial, atau pempengaruh?
Kalau ikut peraturan yang akan dilaksanakan, jika tidak berlesen mereka mungkin akan
disekat.
Terdapat kandungan lucah, pemangsa kanak-kanak, perjudian, penipuan dan iklan palsu di seluruh internet dan media sosial, dan ia berlaku tanpa henti.
Contohnya, antara 2018 dan 2024, MCMC menyekat lebih 24,000 laman web, dengan hampir tiga perempat daripadanya terlibat dalam aktiviti pornografi, perjudian dalam talian, pelacuran, dan sebagainya. Yang lain termasuk pelanggaran hak cipta atau perdagangan tanpa lesen.
Hanya 2% melanggar undang-undang, mungkin disebabkan aduan atau tindakan pihak polis. Jumlah kecil inilah yang menimbulkan kemarahan paling besar yang dijadikan contoh sebagai penindasan kebebasan.
Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mahukan syarikat media sosial mematuhi
peraturan dan undang-undang tempatan.
Kongres Amerika Syarikat (AS), contohnya, telah berjumpa ketua-ketua syarikat media sosial mengenai kebimbangan bahawa platform-platform ini tidak memberikan perlindungan kepada golongan muda serta kebimbangan mengenai entiti asing yang memiliki banyak data warga Amerika.
Malah, AS mencadangkan untuk mengharamkan TikTok sekiranya operasinya di negara itu tidak dijual kepada syarikat Amerika.
Kerajaan Perancis baru-baru ini menahan pengasas aplikasi mesej Telegram kerana penyalahgunaan platform termasuk pornografi kanak-kanak, penipuan, perdagangan dadah, pengubahan wang haram dan tempat organisasi pengganas berkumpul, antara lain.
Semua tindakan-tindakan ini seolah-olah melanggar hak kebebasan bersuara, namun ia sebenarnya berdasarkan kebimbangan masyarakat terhadap pengaruh negatif media sosial.
Selain itu, sama ada kita suka atau tidak, tindakan-tindakan ini juga merupakan usaha untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang ke atas mereka yang sering mendakwa ruang siber tidak boleh dikenakan peraturan dan undang-undang.
Ironinya, risiko sekatan ke atas perniagaan dan kemungkinan kerugian telah membawa mereka berpijak ke bumi nyata malah hujah untuk melindungi kebebasan bersuara menjadi semakin pudar.
Tekanan politik ini telah menyebabkan penyedia platform ini memberi perhatian terhadap aduan, yang mereka sendiri setuju terdapat beberapa perkara yang tidak senonoh wujud di platform mereka.
Akibatnya, Instagram baru-baru ini mengumumkan ciri keselamatan baharu seperti ‘Akaun Remaja’ di mana akses kepada hantaran remaja adalah terhad dan dilengkapi dengan kawalan ibu bapa serta algoritma baharu untuk menapis kandungan negatif yang berpotensi.
Telegram kini akan melaksanakan langkah-langkah termasuk menubuhkan saluran untuk orang ramai melaporkan penyalahgunaan, serta sekatan terhadap penyebaran kandungan berbahaya.
Ia juga berjanji untuk memberikan maklumat dan menghapuskan kandungan berbahaya seperti yang diminta oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.
Malaysia tidaklah berpengaruh seperti Amerika Syarikat atau Perancis, dan pasaran kita tidak sebesar negara tersebut hingga ke tahap penyedia platform media sosial akan bimbang dengan perniagaan mereka.
Namun, negara-negara lain juga tidak begitu gembira kerana kurangnya perhatian yang diberikan terhadap aduan mereka dan mungkin negara terbabit sedang memerhati dengan penuh minat terhadap apa yang Malaysia lakukan.
Salah satu sebab mewajibkan penyedia platform media sosial untuk berdaftar di negara ini adalah untuk akauntabiliti dan tanggungjawab.
Banyak platform media sosial terus membenarkan kandungan yang merosakkan, yang jelas tidak dibenarkan di bawah undang-undang biasa.
Kita tidak bercakap tentang 3R (raja, bangsa dan agama) atau kebebasan untuk mengkritik, bercakap atau untuk mencipta.
Namun kandungan yang merosakkan masyarakat seperti pornografi kanak-kanak, penipuan, berita palsu, dan sebagainya perlu dibendung.
Bagaimanapun, isu utama kerajaan dan MCMC adalah agar orang ramai melihat kepada apa yang sebenarnya berlaku di media sosial.
Ada keraguan orang ramai terhadap kerajaan, terutama bila negara kita mempunyai sejarah penapisan dan penindasan media.
Akhbar telah ditutup dan undang-undang anti-akhbar telah dikuatkuasakan – pedang Damocles sentiasa tergantung di syarikat media dan wartawan.
Kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih baik tujuan pelesenan. Pada masa yang sama ia perlu memberi jaminan bahawa kritikan atau perbezaan pendapat bukanlah apa yang peraturan ini mahukan.
Ia mesti menunjukkan media lebih bebas sekarang berbanding sebelumnya, tetapi rakyat masih belum yakin.
Meskipun kerajaan boleh memaksa agar mereka mematuhi namun reaksi pengguna media sosial adalah lebih penting dalam membentuk keputusan itu.
Jika lebih ramai yang tidak berpuas hati dengan kekotoran dan bahaya yang dibawa masuk oleh pengendali platform media sosial ke rumah kita, maka pengendali ini pasti akan bertanggungjawab untuk mengubahnya. – 27 September 2024
Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop