Kembali hero di Nenggiri, masa depan Umno? – G Manimaran

BN dan Umno boleh senyum dengan tuaian besar di Nenggiri. Bagaimanapun ia bukan laluan mudah bagi parti itu dan kerajaan perpaduan dalam melalui perjalanan politik akan datang

2:34 PM MYT

 

SEMINGGU selepas kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri, maklumat yang diperoleh memberi indikasi Umno berjaya menghimpunkan sekitar 45% sokongan kritikal yang diperlukan.

Dalam perbualan awal ketika itu, menurut pemimpin parti tersebut, mereka tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi, tetapi ‘cukup sekadar menang dan merampas kembali kerusi’ Nenggiri.

Keputusan Nenggiri-01

Untuk mendapatkan 60% kemungkinan sukar mengambil kira situasi sentimen yang tidak begitu memihak kepada BN-Umno.

Oleh itu, bagi pemimpin parti itu, cukup jika dapat menarik lebih sedikit 50% daripada peratusan yang bakal keluar mengundi nanti.

Harapan yang sama dikongsi beberapa pemimpin lain dan pekerja jentera di lapangan di Nenggiri. Apapun mereka meletakkan harapan ke atas pengundi kalangan Orang Asal dan pengundi luar, yang ramai bekerja di Lembah Klang.

Dua hari menjelang hari pengundian, jangkaan mereka meningkat sehingga 60%. BN menang selesa dengan memperoleh 61.38% undi. Lebih 60% berbanding kiraan awal mereka, banyak dikaitkan dengan kempen bersemuka bersantai yang berfokus di seluruh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bernombor 43 itu. DUN Kelantan terdiri daripada 45 kerusi kesemuanya.

Dengan kemenangan itu, BN menambah satu lagi kerusi di DUN Kelantan, menjadikan dua pada hari ini. Rakannya dari kerajaan perpaduan, Pakatan Harapan (PH)-Amanah merupakan seorang lagi wakil rakyat pembangkang di Kelantan.

Di Nenggiri, yang keluasannya tiga kali lebih besar berbanding Perlis, BN menang dengan memperoleh 9,112 undi. PAS pula 5,741 undi. Majoriti direkodkan calon BN 3,352.

Semasa PRN Ogos 2023, calon Bersatu yang menggunakan logo PAS mengumpul 6,517 undi berbanding calon BN yang menerima 5,707 undi.

Bagi BN-Umno kejayaan bertapak kembali merupakan kemenangan kedua selepas Pelangai, Pahang Oktober lepas. Bagi gabungan itu, ia juga merupakan kemenangan pertama merampas kerusi daripada penyandang, PAS, musuh ketat mereka.

Pelangai sebenarnya kerusi BN-Umno yang diperoleh dalam pilihan raya umum negeri pada November 2022. Nenggiri berada dalam genggaman BN-Umno sejak ia pertama kali dipertandingkan – di bahagian Parlimen Gua Musang – pada 2004.

Kemenangan BN dikaitkan dengan banyak faktor. Pelbagai sebab telah memainkan peranan dan dikatakan sebagai punca. Ia merupakan kemenangan yang disebabkan gabungan pelbagai faktor.

Pertama, undi Orang Asal dan anak muda membantu BN merampas kembali Nenggiri. Kejayaan calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menewaskan wakil PN, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti lebih empat kali ganda berbanding jumlah yang diperoleh pada Ogos 2023, membuktikan Orang Asal kini kembali menjadi pengundi tegar Umno.

Kejayaan itu juga membuktikan kira-kira 1,300 penyokong BN terutama pengundi putih Umno dan Orang Asal yang didakwa ‘merajuk’ pada PRN lalu kini kembali menyokong parti komponen kerajaan perpaduan itu.

Malah, kejayaan itu juga membuktikan anak muda dan pengundi luar sudah tidak terkesan dengan dakyah politik yang disebarkan termasuk isu penarikan subsidi diesel, BlackRock dan 3R.

Isu perkauman dan agama yang disaksikan sepanjang beberapa PRK sebelum ini juga tidak berkesan di Nenggiri.

Kedua, kemenangan ini juga menunjukkan strategi Umno menggerakkan jentera parti ‘berkampung sepenuh masa’ di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM), satu pendekatan yang sering digunakan dengan optiumum, menyumbang kepada kejayaan mendekati dan mengawal gerakan pengundi, menangani dan menepis pelbagai serangan negatif.

Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan suasana di Sungai Bakap, di mana jentera PKR nampak tidak kuat dan kurang tersusun berbanding jentera Umno sepanjang kempen PRK Nenggiri berlangsung. Umno menggunakan pendekatan yang hampir sama di Kuala Kubu Baharu, yang akhirnya memberi sumbangan besar untuk majoriti lebih 3,000 kepada calon PH.

Ketiga, kemenangan BN juga dikaitkan dengan ‘kelebihan’ yang disumbang oleh kemunculan unsur boikot atau undi protes dalam kalangan penyokong parti Bersatu akibat rasa tidak puas hati dengan pemilihan Mohd Rizwan, bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang, yang keluar dari partinya dan menyertai Bersatu lalu dipilih sebagai calon untuk mengetuai cabaran mempertahankan Nenggiri.

Beliau yang dilihat sebagai calon bidang terjun PAS mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan ahli dan pemimpin Bersatu. Secara langsung dan tidak langsung membawa kepada tindakan sabotaj di peti undi meskipun ramai pemimpin kanan pusat turun untuk berkempen.

Keempat, jentera PAS dalam meletakkan jentera pilihan raya dilihat kurang taring berbanding di Sungkai Bakap dan Pelangai. Kepimpinan operasi PRK tidak memberi kesan signifikan dalam menarik dan mengekalkan pola pengundian yang diterima semasa PRN tahun lalu.

Kelima, selain isu 3R, pengundi tempatan dikatakan ‘tidak termakan’ dengan isu tanah yang dimainkan berkaitan status peneroka Kesedar dan penjualan aset Felcra.

Langkah Umno menggunakan peranan, wajah dan pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah, yang dikenali sebagai Ku Li, wakil rakyat selama empat dekad di Gua Musang, sebagai barisan hadapan jentera dilihat lebih berkesan. – Gambar fail Scoop, 26 Ogos, 2024

Langkah menangani isu oleh Kesedar dan Felcra dipercayai lebih berkesan dan berjaya berbanding semasa PRK Sungai Bakap apabila jentera kerajaan perpaduan dikatakan gagal besar dalam menangani isu-isu nasional dengan efektif.

Keenam, langkah Umno menggunakan peranan, wajah dan pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah, yang dikenali sebagai Ku Li, wakil rakyat selama empat dekad di Gua Musang, sebagai barisan hadapan jentera dilihat lebih berkesan, dan pengundi tempatan masih menghargai sumbangan beliau sebagai ‘putera kerabat diraja’. Ia juga kemenangan peribadi bagi beliau yang tewas pada November 2022.

Ketujuh, isu tanah dan air menjadi faktor kepada aliran undi dan punca kepada gerakan penolakan sokongan asal. Pengundi di kawasan hulu dikatakan menzahirkan protes kemusnahan hutan disebabkan pembalakan dan pembukaan ladang hutan secara besar-besaran.

Kelapan, undi pos dan awal memberikan petunjuk bahawa penjawat awam terutamanya badan beruniform terutamanya polis dan staf sektor perubatan terkesan dengan janji-janji jentera pilihan raya, di samping pengumuman pelarasan gaji oleh kerajaan pusat.

Penjawat awam dan keluarga mereka dikatakan menerima dengan positif pelarasan gaji antara tujuh hingga 15%, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehari sebelum hari pengundian, yang merupakan dasar penting kerajaan perpaduan dan kali pertama dalam 13 tahun lalu.

Kesembilan, pengundi muda dan wanita mula beralih kepada parti yang mereka tolak sejak lebih 18 bulan lalu. Beberapa pemimpin mendakwa kumpulan itu yang menolak BN-Umno sebelum ini mula menerima penjelasan parti itu, dan pembaharuan yang cuba dibawa oleh kerajaan pusat.

Antara pengundi muda mula menerima komitmen kerajaan pusat secara serius menyegerakan pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama Karak-Gua Musang-Kuala Krai dan jalan pedalaman telah memberi impak secara langsung kepada penduduk Gua Musang.

Kesepuluh, isu penarikan subsidi diesel yang dimainkan dikatakan tidak berkesan berbanding semasa PRK Sungkai Bakap. Rakyat di pendalaman didakwa sudah faham akan rasionalisasi subsidi diesel. Isu subsidi diesel sudah diterima dan impaknya tidaklah sebesar sebulan yang lalu.

Juga isu subsidi diesel tidak sebesar dan signifikan berbanding dalam kalangan pengundi kawasan bandar.

Kedua belas, PN gagal membawa isu-isu baharu bagi menarik pengundi Nenggiri juga didakwa ‘makan diri’. Isu-isu yang dimainkan tidak cukup taring tatkala barisan kepimpinan BN-Umno berkampung di setiap penjuru Nenggiri hampir sebulan termasuk tempoh berkempen selama dua minggu.

Antaranya, isu pelantikan Perdana Menteri dilihat turut gagal membawa kelebihan kepada PN dalam mengulangi kemenangan. Keretakan semangat kekitaan dalam juga turut membawa kelebihan kepada Umno. Justeru itu, PN perlu memikirkan pendekatan baharu di PRK Mahkota kelak.

Ketiga belas, pengundi dikatakan semakin yakin dengan usaha mengembangkan syiar İslam oleh Anwar dan kerajaan perpaduan.

Pemimpin PH dan kerajaan perpaduan membawa mesej Anwar sebagai figura yang mampu menaikan martabat Islam dengan memperkenalkan konsep Malaysia Madani, mengepalai negara-negara Islam dalam perjuangan Palestin termasuk membawa rakyat Palestin untuk mendapatkan kemudahan perubatan di Malaysia, bakal pembentangan RUU355 di Parlimen dan memperkasakan Mahkamah Syariah.

Perkembangan di Nenggiri, yang majoritinya pengundi beragama Islam, jauh berbeza dengan situasi di Kuala Kubu Bharu dan Sungkai Bakap.

Keempat belas, lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri dilaporkan rasa lega dan gembira apabila mereka kini tidak perlu meredah perjalanan sejauh 50 kilometer untuk mengeluarkan wang susulan penyediaan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM).

Kemudahan itu disediakan di SMS Maju Solutions, Jerek Baru tiga hari sebelum hari pengundian. Ia kelihatan kecil tetapi ada sumbangan besar dalam menarik undi semasa PRK.

Kelima belas, adakah kemenangan besar juga ada kaitan dengan penyaluran dan penggunaan sumber agar luar biasa sepanjang tempoh berkempen? Ini termasuk janji-janji pembangunan yang bakal dibawa ke Nenggiri.

Sememangnya Nenggiri memerlukan fokus khusus untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat. Isu penyaluran dan penggunaan dana dan sumber-sumber besar-besaran menjadi perhatian banyak pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan yang mempersoal dan mempertikaikan aspek berkenaan.

PRK DUN N.43 NENGGIRI
Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (tengah) mengaminkan doa semasa meraikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN ) N.43 Nenggiri bersama penyokong-penyokong di Balai Rakyat Bukit Chekati baru-baru ini. – Gambar Bernama, 26 Ogos, 2024

Sehingga ada yang mengesyorkan supaya undang-undang berkaitan disemak semula, khususnya berkaitan had perbelanjaan calon semasa pilihan raya.

Kemenangan di Nenggiri disusuli dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024. Kemenangan itu membolehkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi BN, melangkah untuk berdepan dengan para perwakilan di Pusat Dagangan Kuala Lumpur dengan yakin dan senyuman lebar kerana membawa kejayaan, yang lebih besar majoritinya kepada BN-Umno.

Difahamkan Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, mahukan kemenangan dan beliau ada memberitahu rakan-rakan dan pemimpin parti bahawa ‘kalau kalah (di Nenggiri), habis lah nanti. Bermakna kemenangan di Nenggiri amat diharapkan oleh beliau dan partinya untuk menyusun langkah-langkah gerakan politik seterusnya.

Ini termasuklah perjuangan di PRK DUN Mahkota, Johor bulan depan dan PRU16 yang turut menjadi bahan perbahasan semasa PAU 2024 yang berakhir Sabtu lepas. Ada syor supaya Umno bergerak solo dalam PRU16.

Salah seorang pemimpin parti itu menyifatkan tidak ada sebab untuk partinya bergerak secara berasingan dalam PRU akan datang, mengambil kira keserasian yang ditunjuk parti dalam kerajaan perpaduan.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, antara wajah penting semasa PRK Nenggiri, dipetik berkata, ia adalah harapannya untuk melihat kerjasama antara BN dan PH dapat diteruskan sehingga PRU16.

PRK Nenggiri dan segala apa yang dirakamkan merupakan satu lagi kajian kes yang menarik untuk dilihat, diselami dan digunakan sebagai asas penting ukuran sokongan dan populariti. BN dan Umno boleh senyum dengan tuaian besar di Nenggiri.

Bagaimanapun ia belum cukup untuk melihat laluan mudah bagi parti itu dan kerajaan perpaduan dalam melalui perjalanan politik akan datang. Umno kembali muncul hero di Nenggiri.

Pun begitu, cabaran bagi parti itu masih besar dan jauh. Sebagaimana dikatakan oleh Naib Presidennya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Umno dan BN mungkin memerlukan dua atau tiga pilihan raya lagi untuk kembali dominan. – 26 Ogos, 2024

Dr G. Manimaran ialah penganalisis pilihan raya dan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Di Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Mentadbir

Topics

 

Popular

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Shapawi to haul PCM’s Megat to court for slander

Police report on criminal defamation against Megat lodged today and legal team preparing for suit

Related