SEHINGGA dua minggu lalu, Nenggiri yang diapit oleh Banjaran Titiwangsa dan bersempadan dengan Perak agak tenang.
Persekitaran kawasan yang bercirikan pertanian dan ladang kelapa sawit serta getah, mula berubah dengan kehadiran banjiran kenderaan dan ahli-ahli politik yang memanaskan suhu politik.
Bukan sahaja laluan utama Gua Musang-Kota Bahru bertambah sibuk, setiap jalan ke pusat daerah mengundi (PDM) juga ‘panas’.
Nenggiri akan tenang kembali mulai lusa apabila keputusan pilihan raya kecil (PRK) diketahui.
Semua menanti keputusan yang bakal ditentukan oleh lebih 20,000 pengundi. Enam tahun kerusi Nenggiri terdiri daripada sekitar 15,000 pengundi. Ia bertambah 5,000 susulan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.
Setahun yang lepas, pada Ogos, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, yang kaya dengan kehijauran flora fauna, merupakan antara bahagian yang dipertandingkan di bawah Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan bersama lima negeri lain.
Dalam PRN yang berlangsung pada 12 Ogos 2023, genap setahun lalu, Nenggiri dimenangi oleh calon Bersatu yang bersaing di bawah lambang PAS, yang merupakan salah satu komponen Perikatan Nasional (PN).
Esok, 16 Ogos, PRK akan berlangsung untuk kerusi Nenggiri yang mula terkenal di seluruh tanah air.
Nenggiri merupakan salah satu bahagian dalam kawasan Parlimen Gua Musang, yang pernah menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) sehingga November 2022 sebelum jatuh ke tangan PN.
Kemudian semasa PRK Ogos tahun lalu, Nenggiri pula dirampas oleh PN. Dua lagi kerusi DUN dalam bahagian Gua Musang ialah Paloh dan Galas. Pada 12 Ogos 2023, Galas kekal di tangan BN manakala Paloh pula dimenangi oleh PN-PAS.
Semasa PRN Ogos 2023, majoriti bagi kerusi Nenggiri ialah 810 undi berbanding Galas 3,337 dan di Paloh pula 2,205.
Dua PRK terkini yang lalu, Kuala Kubu Baharu di Selangor dan Sungai Bakap, Pulau Pinang memperlihatkan persaingan yang sengit, di luar jangkaan. Sehingga penghujung tempoh berkempen tidak ada ramalan kukuh mengenai bakal pemenang.
Sehingga saat-saat akhir tempoh berkenaan sukar bagi mana-mana parti yang dapat menyatakan dengan yakin bahawa mereka akan menang. Keputusan mengejutkan muncul pada hari pengundian.
Di Kuala Kubu Baharu majoriti lebih 3,000 undi direkodkan, sebahagian dibantu oleh penyokong Umno, sebahagian daripada kerajaan perpaduan, sedangkan pada awalnya majoriti yang diramalkan adalah kecil berbanding PRN Ogos tahun lalu.
Di Sungai Bakap pula satu jumlah besar tidak keluar mengundi sehingga mengubah keputusan akhir, PN-PAS berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih besar – membawa keyakinan besar bagi PAS dan PN dalam menghadapi PRK Nenggiri.
PAS lebih yakin kerana ia menjadi pemerintah di Kelantan sehingga kini, sejak lebih tiga dekad.
Kedua-dua keputusan itu telah membawa kepada mesej penting lagi signifikan di peringkat negeri dan pusat. PRK tetap penting dan tidak boleh dipandang mudah.
Di Nenggiri pula bagaimana? Kejutan juga bakal disaksikan?
Apakah kita boleh menjangkakan satu keputusan yang berbeza? Dan, akan ada mesej penting yang hendak disampaikan oleh penduduk Nenggiri?
Tinjauan di Nenggiri menjelang hari pengundian sudah memberi gambaran awal akan ada mesej penting.
Persepsi dan gambaran itu sangat ketara ketika ramai beranggapan PRK tidak penting berbanding pilihan raya umum. Sebenarnya PRK juga penting dalam memberi mesej penting kepada parti-parti politik dan kerajaan yang memerintah.
Rakyat semakin celik politik. Literasi pilihan raya juga meningkat dengan baik.
Di atas kertas kedua-dua calon dilihat mempunyai peluang untuk menang. Hanya dua calon yang bertanding kali ini di Nenggiri, mengulangi suasana setahun yang lalu.
Laporan media mengatakan calon BN-Umno, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Mohd Rizwadi Ismail dari PN-Bersatu berjiwa rakyat serta sudah dikenali dalam kalangan penduduk tempatan.
Mohd Rizwadi, bekas ahli PAS menyertai Bersatu beberapa hari sebelum hari penamaan calon. PAS seperti di Terengganu pada November 2022, kekal menggunakan lambang sendiri meskipun Bersatu menurunkan calon. Yang menarik perhatian, calon Bersatu merupakan bekas ahli PAS.
Di peringkat awal pemilihan calon, perkembangan itu mengejutkan banyak pihak terutama dalam kalangan ahli dan penyokong Bersatu. Ia krisis keyakinan awal ke atas Bersatu dan PN, dan dilihat boleh menggugat sedikit sokongan serta undi.
Kerajaan Perpaduan dan BN yang diwakili Umno diramalkan boleh merampas balik kerusi ini. Pihak lawan, dalam perkembangan sehari dua ini, meletakkan keyakinan akan kekal di Nenggiri.
Di DUN Kelantan, PAS memiliki 43 daripada 45 kerusi. BN dan Pakatan Harapan masing-masing satu. BN-Umno meletakkan sasaran untuk menambah kerusi bagi mengukuhkan sayap barisan pembangkang di DUN.
Sebagaimana disaksikan di Sungai Bakap dan Kuala Kubu Baharu peratusan keluar mengundi bakal menentukan calon yang boleh menang dan juga kadar majoriti yang bakal dicatatkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan paras realistik mengenai peratusan keluar mengundi. Badan mengurus pilihan raya itu menjangkakan kira-kira 60% daripada 20,259 pemilih yang berdaftar akan keluar mengundi esok.
Dalam kebanyakan PRK, SPR meletakkan lebih 70% akan keluar mengundi. Ia menunjukkan peratusan keluar mengundi boleh mempengaruhi pola pengundi, keputusan dan majoriti.
Nenggiri mempunyai sekitar 20% pengundi yang bekerja dan tinggal di Lembah Klang atau di luar kerusi itu. Sebahagian besar pengundi muda dalam kalangan mereka bakal mempengaruhi dan menentukan keputusan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin pihaknya bukan sahaja mampu pertahan Nenggiri, malah menang majoriti sekurang-kurangnya 2,000 undi, dengan memperhebat kempen dalam kalangan Orang Asli.
Menteri Besar Kedah itu menzahirkan keyakinan tersebut berdasarkan sambutan pengundi terhadap calonnya, Mohd Rizwadi Ismail, sambil terus menyuarakan gelombang PN melanda setiap ‘inci tanah’ termasuk kawasan masyarakat itu.
Dalam pada itu, Bersatu Kelantan mahu menang dengan majoriti 3,200 undi. Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, momentum kemenangan PN pada PRK Sungai Bakap mahu diteruskan di Nenggiri.
Pastinya, peratusan keluar mengundi akan menjadi antara indikator penting yang menentukan keputusan sama BN mampu merampas kerusi itu atau PN mengekalkan status quo.
BN yang memegang kerusi DUN itu selama empat penggal sejak ia mula dipertandingkan pada 2004, hanya tewas pada Ogos 2023 dengan majoriti 810 undi. Semasa PRN tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.
Bekas Ketua Pemuda UMNO dan anggota Kabinet, Khairy Jamaluddin yang dipecat awal tahun lalu, percaya BN akan menang esok, sambil menggambarkan akan berlaku persaingan sengit. Khairy menjangkakan peluang BN merampas Nenggiri cerah disebabkan pelbagai kelebihan dimiliki gabungan itu.
Antaranya, faktor pengaruh Pengarah PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang selama 12 penggal.
Jika tepat andaian itu, tinjauan lapangan menunjukkan jika BN menang majoritinya dijangkakan dalam lingkungan 400 hingga 500 undi.
Isu yang dibawa ke medan persaingan tidak jauh berbeza apa yang dilalui semasa dua PRK lepas. PRK Nenggiri sejak awal diwarnai pergolakan dalam parti politik dan isu-isu semasa, yang bakal mengalih sokongan undi esok.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita yang menggembirakan kakitangan awam, iaitu soal pelarasan gaji. Terlalu awal untuk mengatakan ia akan mempengaruhi keputusan esok tetapi ia bakal membawa sedikit keselesaan.
Pendek kata, tiga faktor akan memainkan peranan penentu keputusan di kerusi tiga terakhir dalam senarai bahagian DUN. Undi Orang Asli, pengundi luar kawasan dan peratusan keluar mengundi menjadi asas kepada kemenangan akhir.
Undi asas PN dijangka kekal bersama PAS. Sekitar 1,300 hingga 1,500 undi atas pagar menjadi penentu.
Apa pun keputusannya sangat dinantikan oleh kedua-dua parti yang bertanding dalam menentukan hala tuju dua buah parti yang mewakili orang Melayu. – 16 Ogos, 2024
Dr G. Manimaran ialah penganalisis pilihan raya dan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Di Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Mentadbir