‘Dipukul’ pegawai pengiring VIP pengaruhi persepsi rakyat — Terence Fernandez

Dalam kes ini, diharapkan polis tidak ‘berpura-pura’ menjalankan siasatan, biarpun tahu dengan siapa pegawai pengiring terbabit bekerja

8:14 PM MYT

 

KEJADIAN seorang pemandu e-hailing berstatus orang kurang upaya (OKU), Ong Ing Keong ‘diserang’ pegawai keselamatan pengiring Pemangku Sultan Johor pada 28 Mei lalu meningkatkan ‘suhu amarah’ ramai pihak, melebihi ‘gelombang haba’ yang melanda ketika ini.

Semuanya atas rasa ’tidak bermaruahnya’ serangan tersebut – berlaku di depan hotel bertaraf lima bintang, St Regis di Kuala Lumpur, ketika siang hari dan disaksikan sendiri oleh penumpang kenderaan tersebut, seorang warga asing.

 Jika itu tidak mencukupi, cara polis mengendalikan situasi tersebut, membuatkan isu ini semakin ‘mendidih’.

Beberapa media awalnya dihubungi oleh Bukit Aman supaya menarik balik beberapa artikel yang menampakkan identiti ‘individu’ yang dilindungi polis pengiring terbabit.

Rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) kereta mangsa telah dirampas oleh polis untuk ‘membantu siasatan’ tetapi telah dikembalikan dengan rakaman kejadian dipadamkan.

Polis pada awalnya menegaskan apa yang berlaku adalah salah faham, menimbulkan kebimbangan bahawa mereka mahu ‘cuci tangan’ dalam perkara ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pemandu terbabit telah membuat laporan kedua untuk membatalkan laporan pertama yang dibuatnya berhubung kejadian berkenaan.

Walau bagaimanapun difahamkan, pegawai pengiring terbabit telah ‘membayar pampasan’ sebanyak RM800 kepada mangsa, sebelumnya hanya menawarkan untuk membayar RM500.

Mangsa, baru sahaja kehilangan anak lelakinya dalam kemalangan dua minggu lalu. Sekarang dia dalam persimpangan – terperangkap di antara ‘manusia paling berkuasa’ dan tekanan untuk menyelesaikannya.

Tetapi ini bukannya ‘negara penanam pisang’ atau ‘banana republic’ (menekan rakyat biasa), ia juga bukan seperti di Amerika Syarikat (AS) di mana seseorang mempunyai pilihan untuk menarik balik kes.

Di negara ini, pihak berkuasa wajib menyiasat sesuatu jenayah yang berlaku. Dalam kes ini, diharapkan polis tidak ‘berpura-pura’ menjalankan siasatan, biarpun tahu dengan siapa pegawai pengiring terbabit bekerja.

Mereka (pegawai pengiring terbabit) mungkin telah terbiasa melakukan perkara tertentu dengan cara tertentu di negeri berkenaan, mungkin juga percaya bahawa penduduk di sana ‘bertolak ansur’ dengan tingkah laku sedemikian. Tetapi dia mungkin mengetahui bahawa apa yang dilakukan itu ‘tiada tempatnya’ di seluruh negara.

Itulah sebabnya selepas empat hari, isu ini masih belum reda dengan media sosial dipenuhi komen dan desakan supaya tindakan sewajarnya diambil.

Lawyers for Liberty antara yang hadir menawarkan guaman percuma kepada mangsa agar dia mendapatkan keadilan. Justeru apa sahaja cubaan untuk melindungi Keluarga Diraja Johor daripada kontroversi ini adalah sia-sia.

Malah, mereka ibarat ‘deer in the headlights’ atau bingung apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian tersebut.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberikan keadilan sebaik-baiknya kepada mangsa,” titah baginda.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada masa sama menegaskan pegawai-pegawai yang terlibat dalam kejadian itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

“Keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka,” katanya.

Sejujurnya, sesiapa pun yang terlibat dalam melakukan serangan itu telah mencemar institusi diraja dengan Sultan Ibrahim bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini, dengan kontroversi tersebut masih segar dalam fikiran orang ramai.

Tiada siapa yang meminta agar pegawai pengiring itu dihumban ke kandang buaya tetapi amaran yang tegas dari istana dan agar polis menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih bulu, bukanlah satu permintaan yang berlebih-lebihan.

Dua institusi utama – institusi diraja dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) – telah diheret ke dalam kontroversi yang tidak diingini itu.

Bagaimana insiden ini ditangani akan mempengaruhi persepsi rakyat.

Ia bermakna tiada ‘kambing hitam’, tiada apa yang hendak dilindungi tetapi ketelusan dan keadilan, khususnya bagi mereka yang tiada kuasa. – 1 Jun, 2024

Terence Fernandez adalah Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media

Topics

Popular

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related