Sebuah lagi KK Mart diserang: Keganasan domestik mesti dihentikan — Wilfred Madius Tangau

Ahli Parlimen Sabah itu menggesa tindakan lebih tegas terhadap keganasan domestik supaya situasi tidak terus memburuk

10:48 PM MYT

 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang pernah memimpin cawangan antikeganasan, harus bertindak dengan segera untuk menangani keganasan domestik, susulan tiga serangan bom petrol bermotif politik dalam tempoh tiga bulan pertama 2024.

Pada jam 5 pagi hari ini, sebuah cawangan KK Super Mart di Sungai Isap, Kuantan, Pahang, diserang dengan bom petrol, manakala pada 26 Mac lalu pada jam 5.35 pagi, sebuah KK Super Mart di Bidor, Perak diserang dengan bom petrol.

Pada 10 Januari lalu, sekitar jam 3 pagi, kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Kampung Air Tawar, Perak dan tiga kenderaan miliknya terbakar akibat serangan bom petrol ketika Koo Ham dan isterinya, sedang tidur. Mereka mungkin terbakar hidup-hidup jika tidak dikejutkan orang awam.

Semua serangan bom petrol ini adalah tindakan keganasan yang ditakrifkan di bawah Seksyen 130B(3) Kanun Keseksaan sebagai ‘tindakan atau ancaman’ sekiranya ia (a) melibatkan kecederaan serius kepada seseorang, (b) membahayakan nyawa, (c) menyebabkan kematian, (d) mencetuskan risiko serius terhadap kesihatan atau keselamatan awam atau sebahagiannya; (e) melibatkan kerosakan serius kepada harta benda; (f) melibatkan penggunaan senjata api, bahan letupan atau peranti berbahaya lain…”.

Justeru, pengganas boleh membabitkan individu dan tidak semestinya ahli kumpulan.

Seksyen 130C kemudian memperuntukkan hukuman bagi tindakan keganasan, iaitu hukuman mati jika tindakan terbabit mengakibatkan kematian atau hukuman penjara tujuh hingga 30 tahun serta denda.

Manakala, Seksyen 130G memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda bagi mereka yang ‘dengan sengaja menghasut atau mempromosikan tindakan keganasan.”

Rakyat Malaysia yang mencintai keamanan perlu melaporkan kepada polis atau memaklumkannya di media sosial sebarang hasutan keganasan yang mereka kesan di Whatsapp, Facebook atau media sosial lain.

Undang-undang negara amat serius dalam menentang keganasan, namun adakah kita melihat keseriusan sama dalam penguatkuasaan undang-undang? Pada 16 Januari, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, dua suspek yang disyaki terlibat dalam serangan bom petrol di kediaman Koo Ham akan didakwa keesokannya di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kebakaran yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun.

Saya baru sahaja dimaklumkan Koo Ham bahawa tiada sesiapa didakwa selepas dua setengah bulan hingga kini.

Saya menggesa KPN memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tiga kes serangan bom petrol ini akan disiasat di bawah Seksyen 130B Kanun Keseksaan.

Polis juga harus menyiasat dan mendakwa sesiapa yang menghasut atau mempromosikan tindakan sedemikian.

Jika dua warganet boleh segera ditangkap, didakwa dan dihukum penjara enam bulan serta dikenakan denda lima angka kerana menghina Islam, pastinya polis boleh bertindak cepat terhadap keganasan domestik, kecuali pembakaran adalah dianggap sebagai jenayah lebih rendah daripada penghinaan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja).

Hanya apabila mereka yang melakukan serangan ini dikenakan tindakan serius, kita dapat menghalang orang lain daripada melakukan jenayah sama.

Sifar toleransi terhadap keganasan domestik walaupun dilakukan individu adalah penting untuk menghentikan keganasan.

Jika sesiapa pun boleh menikmati kekebalan selepas melakukan tindakan keganasan atas nama agama, etnik, budaya, bahasa atau gaya hidup, maka keganasan politik boleh berlaku.

Saya menghargai usaha tanpa henti Perdana Menteri untuk mengadakan lawatan kerja ke seluruh dunia untuk pelaburan, perdagangan dan pelancongan, tetapi malangnya inisiatif beliau akan sia-sia jika Malaysia tidak dapat menguatkuasakan undang-undang dan kestabilan politik.

Kali terakhir Malaysia berdepan keganasan bersiri atas nama agama adalah 14 tahun lalu, ketika gereja, masjid dan Gurdwara dibakar atau dicemari pada Januari 2010, susulan kemarahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kalimah Allah.

Kerajaan serta polis harus bertindak dengan betul kerana menangani isu 3R hanya boleh dicapai jika ia dapat mencegah keganasan dan tidak bersikap selektif.

Dengan ini, saya juga menyeru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Nor untuk memastikan komitmen Ketua Polis negeri, Datuk Jauteh Dikun dan mengumumkan bahawa semua KK Mart di Sabah akan dilindungi daripada sebarang serangan keganasan. Malah, vandalisme pun tidak sepatutnya ditoleransi.

Kami rakyat Sabah menderita akibat keganasan politik ketika ‘detik hitam’ yang berlaku pada pertengahan tahun 1980-an. Kita tidak boleh membiarkan keadaan huru-hara atau provokasi tercetus semula. Sabah hari ini harus tetap waras dan selamat tanpa mengira kegilaan atau kelesuan yang menimpa negara.

Sudah pasti saya berdoa agar ‘kewarasan’ dapat berkuasa di seluruh Malaysia. Apa pun pendapat politik kita, kita rakyat Malaysia harus bersatu untuk mengecam sebarang bentuk keganasan, termasuk politik.

Semua gabungan dan parti dalam kerajaan, iaitu PH, BN, GPS, GRS, Warisan, PBM, KDM serta pembangkang, PN dan Muda, harus Bersatu suara untuk menolak keganasan, tanpa takut kepada sebarang tentangan daripada penyokong radikal mereka.

Mungkin apa yang lebih penting, kita memerlukan pemimpin dari semua komuniti agama dan etnik untuk secara kolektif mempromosikan keamanan dan menolak keganasan yang juga bertentangan dengan ajaran Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoisme, animisme dan humanisme.

Kehilangan kawalan diri bukanlah sebahagian daripada mana-mana tamadun atau budaya di Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, orang Sabah atau Sarawak.

Kita tidak boleh ragu-ragu dalam menyampaikan mesej kepada semua rakyat Malaysia, tidak kira setebal mana kemarahan anda, anda tidak berhak mengancam nyawa atau memusnahkan harta benda.

Kita harus memastikan bahawa keganasan yang diancam atau dilaksanakan tidak akan pernah dinormalisasikan di Malaysia. Tiada pemenang dalam ketidakpatuhan undang-undang. – 30 Mac 2024

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ialah Ahli Parlimen Tuaran di Sabah, Presiden Kehormat United Progressive Kinabalu Organisation (Upko) serta Presiden Yayasan Workable Initiatives for Secularism, Decentralisation, Openness and Moderation (Wisdom).

Topics

 

Popular

Petros accuses Petronas of strong-arm tactics in blocking Sarawak’s gas rights

Court documents reveal claims of dominance abuse and interference with the state’s sole gas aggregator role

Ferrari sues Malaysian energy drink firm over alleged logo trademark infringement

Supercar manufacturer claims image of two horses used by drink company resembles its iconic horse emblem

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related