Sambil kita merenungkan arah dan hala tuju negara kita, pasti ada yang teringat akan pepatah ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’.
Sebenarnya di negara kita yang bertuah ini juga dihujani emas, dan dihormati dunia kerana kemajuan kita, di masa-masa yang lepas.
Tetapi dalam dekad-dekad akhir ini, telah jelas berlaku secara berterusan, melalui masa, kelemahan dan kemerosotan dalam urus tadbir dalam pelbagai bidang, sama ada urus tadbir bidang ekonomi dan kewangan serta urus tadbir sosial.

Semuanya bukan berlaku secara spontan tetapi telah bermula sejak dulu, tanpa disedari tetapi telah seperti pekung, semakin bernanah dan merebak hingga ke hari ini.
Ketidakstabilan politik dengan pertukaran-pertukaran kerajaan yang terlalu kerap telah menyebabkan ‘tak tentu hala’ dalam urus tadbir serta formulasi dan implementasi sesetengah daripada dasar dan langkah.
Dan ada yang didorong oleh niat ‘bergantung kepada kuasa, dengan apa juga cara dan jalan’.
Pasti ada anak-anak watan kita yang berkecekapan dan berkebolehan, yang telah keluar, berhijrah ke negara-negara lain kerana risau akan masa depan mereka dan negara.
Maka sudah sampai masanya kerajaan yang ada sekarang berusaha menghentikan budaya ‘jual beli’ atau transactional culture yang membuka jalan untuk rasuah, mengemas kini dasar-dasar supaya menggalakkan dan mengutamakan kecemerlangan dan kebolehan demi kepentingan negara amnya.
Menerima hakikat bahawa adanya kelemahan-kelemahan serta kekurangan di masa lepas dan sekarang, dan mengadakan perubahan-perubahan yang sangat-sangat diperlukan secepat yang mungkin.
Elakkan banyak bercakap tetapi kurang atau tiada tindakan (masa dahulu dicap sebagai NATO – No Action, Talk Only), serta melakukan perubahan-perubahan yang perlu tanpa takut atau perlu untuk menjaga hati mana-mana pihak, tetapi semata-mata untuk kepentingan rakyat dan negara.
Yang betul tetap betul, seperti yang salah tetap salah.
Memang ada segelintir yang terdorong untuk bersuara.
Tetapi mungkin berjuta yang mendiam diri, tetapi ada sentimen risau yang sama.
Lebih-lebih lagi apabila disuruh pula supaya jangan menyoal itu dan ini.
Pendek kata, makan hatilah cara diam-diam.
Kerajaan perlu berwaspada supaya apa yang hanya dianggap semata-mata ‘angin kencang’, tidak sebenarnya pencetus ‘tengkujuh’ yang tidak dapat ditangani.
Bertindaklah sekarang untuk rakyat dan Malaysia kita.
Ahli politik hanya memikirkan tentang pilihan raya yang akan datang tetapi negarawan memikirkan tentang generasi akan datang. – 5 Februari, 2024
Tan Sri Rafidah Aziz ialah Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri