CAKAP-CAKAP mengenai rombakan Kabinet sentiasa menjadi bahan gosip baik dalam kumpulan sembang; di kedai kopi dan bilik berita – siapa yang menonjol, siapa yang tidak. Siapa yang mendapat sokongan Perdana Menteri, siapa sebaliknya.
Malah, ada kalanya timbul persoalan mengenai mesej apa cuba dihantar Perdana Menteri dengan mengekalkan menteri sama ada yang tidak menunjukkan prestasi baik atau menimbulkan kontroversi kepada diri mereka sendiri?
Kemudian ada keperluan untuk menyatukan puak yang bertelagah dalam parti – sama ada dengan memecat seorang atau dua menteri atau melantik seseorang yang tidak sependapat Perdana Menteri.
Boleh jadi, beliau sedang cuba mendekati kawan sembari merapati musuh.
Bercakap mengenai kawan, mungkin ada penyokong setia yang boleh dikorbankan untuk kebaikan lebih besar.
Mereka ini mungkin seorang menteri yang berprestasi, setia kepada Perdana Menteri tetapi masih perlu memberi laluan kepada beberapa hal berkepentingan.
Juga, dalam kes unik Kerajaan Perpaduan yang belum pernah berlaku sebelum ini, terdapat lebih banyak konsesi perlu dibuat daripada pentadbiran terdahulu.
Perdana Menteri mungkin terpaksa memihak kepada calon daripada parti lain dengan mengorbankan sebahagian ahli partinya.
Suka atau tidak, beliau juga kini terheret ke dalam muslihat politik parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau perlu memastikan pemimpin parti-parti itu, terus mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka agar beliau dapat menunaikan janji sebagai Perdana Menteri.
Selain itu, beliau mungkin terpaksa mengalah kepada tuntutan rakan gabungan untuk meletakkan ‘presiden’, bukannya calon pilihan.
Oleh itu, penyingkiran seorang menteri mungkin tidak mencerminkan prestasinya, sebaliknya langkah pragmatik untuk menjaga keamanan dan memastikan rancangan kepimpinan Perdana Menteri untuk empat tahun akan datang tidak terbantut.
Begitu juga, beliau boleh membuat keputusan untuk melantik seseorang yang tidak berpangkat tinggi dalam parti, tetapi boleh meningkatkan keyakinan kepada orang ramai, penjawat awam dan pelabur dengan menerajui kementerian penting.
Perdana Menteri boleh melantik seorang teknokrat. Tokoh korporat yang tiada fahaman politik.
Yang terlintas dalam fikiran, untuk calon Menteri Kesihatan, Pendidikan, Kewangan dan Dalam Negeri.
Namun, janganlah kita serkap jarang mengenai hal ini. Banyak nama sudah disebut-sebut sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Ogos lalu.
Dan setiap minggu sejak itu, ada saja cakap-cakap mengenai pengumuman rombakan Kabinet yang selalunya lenyap pada penghujung minggu.
Begitu juga dengan pengumuman hari ini, ia masih menjadi teka-teki jika akan berlaku rombakan kecil yang melibatkan segelintir kementerian atau secara besar-besaran dengan empat hingga enam perubahan; pembahagian portfolio; melucutkan perkhidmatan kementerian kerana pertindihan kerja; malah kemasukan Menteri Besar ke dalam Kabinet Persekutuan.
Sumber istana berkata, majlis angkat sumpah pada jam 3 petang itu dijangka menjadi urusan yang sibuk.
Semestinya, sesiapa sahaja yang dibawa masuk atau digugurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinetnya adalah tidak penting jika, pada akhirnya, perkhidmatan awam yang bertanggungjawab untuk menyampaikan mandat itu tidak ada.
Perkhidmatan awam boleh memajukan atau menjatuhkan pentadbiran. Mereka boleh memudahkan atau mengecewakan. Lebih teruk, mereka boleh mensabotaj.
Tidak kiralah jika Perdana Menteri mendapat orang paling bijak untuk mengetuai Kementerian Ekonomi misalnya. Jika pegawai-pegawai di bawah kementerian itu memutuskan mereka tidak mahu bekerjasama, mereka boleh hanya berpeluk tubuh dan membiarkan semua kertas kerja dan kelulusan tenggelam dan mereput di dalam lubuk birokrasi.
Perdana Menteri menyedari perkara ini. Itulah sebabnya tahun lalu beliau berusaha untuk mendapatkan sokongan sektor awam. Daripada tanda muhibah kecil tetapi bermakna seperti memindahkan perhimpunan bulanan di dalam dewan dan bukannya berdiri di bawah terik matahari selama sejam, sehingga meningkatkan gaji golongan itu tahun depan.
Menteri-menteri yang beliau lantik harus mahir dalam kerja dalaman perkhidmatan awam dan tahu bagaimana untuk mengemudi koridor kuasa sebenar ini yang mempunyai kaitan dan keutamaan politik mereka sendiri.
Kecekapan penggunaan pendekatan memotivasikan kakitangan dengan mencipta matlamat yang boleh diambil tindakan dan ganjaran dalam menangani semangat, kelesuan, ketidakcekapan dan rasuah akhirnya akan menjadi kayu pengukur kejayaan pentadbiran ini.
Sama seperti Kabinetnya, Perdana Menteri perlu berani dan praktikal dalam melakukan perubahan tertentu untuk menambah baik sistem penyampaian.
Jika ini bermakna menurunkan pangkat pegawai kanan, memindahkan mereka atau menghantar mereka ke ‘belakang’– seperti yang dilakukan secara aktif di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Sidek Hassan – maka lakukanlah.
Sebagai pemimpin pertama Kerajaan Perpaduan – gabungan bekas musuh yang kini bekerja dengan baik bersama – Perdana Menteri mempunyai pilihan timbalan perdana menteri dan menteri berkebolehan yang luas yang boleh diharapkan untuk memastikan kerja-kerja setahun lalu tidak sia-sia dan kesannya ketara dapat dirasai dan dinikmati rakyat.
Dan mereka haruslah digesa untuk menggunakan pengalaman, kemahiran dan kepandaian mereka untuk mendapatkan sokongan penuh daripada penjawat awam bagi memastikan kejayaan Kerajaan Madani ini. – 12 Disember, 2023
Terence Fernandez ialah Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media yang menerbitkan Scoop