Pilihan Raya Negeri 2023: Pangkahlah undi secara waras

Pilihlah pemimpin politik yang berketerampilan serta mempunyai perwatakan yang baik tanpa mengira asal usul etnik dan agama

1:32 PM MYT

 

Sehubungan dengan pilihan raya negeri yang akan diadakan pada 12 Ogos 2023,  saya ingin menyeru kepada rakyat Malaysia untuk berfikir dan bertindak sebagai “Keluarga Malaysia” dan bukan sebagai kaum Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara tercinta.

Sehubungan dengan ini, DYMM Seri Sultan Perak, Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah pada majlis konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar di Ipoh pada 20 Ogos 2019 bahawa masa depan rakyat dan negara tidak seharusnya diserahkan kepada kumpulan yang membawa fahaman pelampau kaum dan agama.

Menurut baginda, setiap kaum perlu menghargai dan menghormati antara satu sama lain. Tegasnya, kita tidak harus membenarkan perasaan perkauman menyelubungi, memecahbelahkan dan memusnahkan kita.

Begitu juga, DYMM Sultan Johor, Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sempena sambutan Tahun Baharu Cina Februari 2021 bahawa orang Cina adalah “Bangsa Johor” dan bukan pendatang – sama seperti orang Melayu, India dan kaum-kaum lain, semuanya adalah rakyat Malaysia.

Para pengundi perlu menggunakan akal fikiran yang waras dan bukannya emosi atau perasaan perkauman untuk memilih para pemimpin politik kita yang berketerampilan serta mempunyai perwatakan yang baik tanpa mengira asal usul etnik dan agama untuk menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negara dalam jangka panjang.

Kita perlu mengambil kira bahawa negara kita bersifat multi-etnik dengan pelbagai kaum, agama dan budaya. Maka, kita harus menyantuni kepelbagaian ini dan bukan memperjuangkan ketuanan sesuatu kaum dan agama atas kaum lain.

Justeru, generasi muda harus memahami dan menghayati sejarah sebenar negara kita serta kepentingan perpaduan nasional ibarat kata pepatah Melayu “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Generasi muda perlu diingatkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 melalui permuafakatan dan semangat tolak ansur antara para pemimpin yang mewakili kaum Melayu, Cina dan India.

Parti Perikatan yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC dalam memorandum tahun 1956 kepada Suruhanjaya Reid, yang diamanahkan menggubal Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu menegaskan bahawa “pemaktuban Islam sebagai agama Persekutuan tidaklah bermaksud Tanah Melayu bukan sebuah negara sekular.”

Pendirian ini seterusnya diperjelaskan oleh para pemimpin Perikatan yang memberi jaminan kepada Pejabat Tanah Jajahan semasa Persidangan London pada bulan Mei 1957 bahawa mereka “tidak berniat untuk mewujudkan sebuah teokrasi Islam dan bahawa Tanah Melayu akan menjadi sebuah negara sekular.”

Marilah kita bersama-sama renung kata-kata hikmat Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah berkhidmat dengan cemerlang sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun (1990‒2013):

“Kita ini kan semua bersaudara. Semua kita daripada keturunan Adam. Mak kita ialah Hawa. Susah sangatkah? Pahala dapat, perpaduan dapat. Hidup rukun damai.

Saya percaya kata-kata hikmat tersebut adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Hujurat, Ayat 13:

“Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya, yang paling mulia antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA TELITI.”

Tuntasnya, saya berharap dan berdoa, kita sebagai “Keluarga Malaysia” akan berusaha untuk hidup secara harmonis dan saling hormat-menghormati di bawah satu bumbung.

Marilah kita bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menjadikan negara kita hebat semula melalui pengamalan demokrasi, meritokrasi, toleransi beragama dan layanan yang saksama dan adil terhadap semua warganegara Malaysia. – 8 Ogos, 2023

Ranjit Singh Malhi adalah ahli sejarah terkemuka negara

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related