PRK DUN Pelangai: Kemenangan bukti BN masih di hati pengundi, isyarat pentadbiran PH terus diyakini

Ternyata walaupun terdapat kempen memburukkan PH-BN, Anwar dan Zahid, pengundi tidak mudah terpengaruh naratif politik pembangkang

11:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, jelas menunjukkan kematangan pengundi di kawasan berkenaan yang tidak mudah terpengaruh dengan naratif politik cuba dibawa pembangkang.

Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, pengundi di kawasan Pelangai, khususnya Cina dilihat menolak Perikatan Nasional (PN) walaupun wujud persepsi bahawa golongan itu, tidak akan keluar mengundi disebabkan tindakan DAP melakukan kerjasama dengan seteru politiknya, Umno.

Malah, katanya, kemenangan itu membuktikan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah semakin diterima baik rakyat.

Pakar berkata, kemenangan itu membuktikan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah semakin diterima baik rakyat – Gambar Scoop, 7 Oktober, 2023

“Indikator ini bermula di PRK DUN Simpang Jeram serta Parlimen Pulai dan membawa kemenangan kepada BN di Pelangai, di mana kita boleh melihat masyarakat sudah mula percaya kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Walaupun terdapat penurunan majoriti 4,048 undi kepada 2,949 undi, namun pengundi, khususnya pengundi bukan Melayu yang menyokong PH tidak melakukan boikot, malah keluar membuang undi bagi memberi kemenangan dalam mengekalkan Pelangai yang menjadi kubu kuat BN,” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.

Ashikin menegaskan, kematangan pentadbiran dan pelbagai kejayaan dalam membangunkan ekonomi di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Ismail turut memainkan peranan dalam membolehkan BN mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai.

“Selain PH dan BN sudah belajar kelemahan daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, Wan Rosdy adalah antara Menteri Besar Pahang yang buat kerja. Pelbagai bantuan serta inisiatif disediakan di samping melaksanakan pelbagai dasar dalam merancakkan ekonomi, khususnya untuk menarik pelabur asing ke negeri tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Ashikin berkata, keputusan PRN Pelangai itu diharap membolehkan PH dan BN meminimumkan perselisihan faham di antara mereka bagi memastikan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

Kematangan pentadbiran dan pelbagai kejayaan dalam membangunkan ekonomi di bawah pimpinan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Ismail turut memainkan peranan dalam membolehkan BN mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai – Gambar Facebook, 7 Oktober, 2023

“Ini perlu dipandang serius pemimpin di dalam dua gabungan politik itu kerana sekarang rakyat mahu mereka memimpin negara.

“Penerimaan itu boleh dijadikan panduan atau isyarat daripada masyarakat bagaimana ia mampu melaksanakan pembaharuan di peringkat kepimpinan dan akar umbi, agar lebih banyak kemenangan mampu dirasai di negeri lain, sekali gus bersama-sama secara holistik dalam membangunkan Malaysia,” katanya.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi turut memberi komen senada apabila berpandangan, kemenangan BN pada PRK DUN Pelangai memberi isyarat parti itu masih diterima baik penduduk, biarpun kempen PN dikatakan lebih menonjol.

Katanya, kemenangan itu juga nyata memulihkan keyakinan BN bahawa DUN Pelangai kekal menjadi antara kubu kuat mereka di Pahang.

“Kemenangan itu memberikan isyarat bahawa penduduk Pelangai masih percaya kepada pimpinan BN dan ini secara tidak langsung memulihkan keyakinan parti itu, di sebalik propaganda daripada PN yang dilihat cukup agresif menerusi kempen PRK ini.

“Ternyata walaupun terdapat kempen memburukkan BN-PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Zahid Hamidi, pengundi menolak kempen Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyidin Yassin serta Sanusi di Pelangai.

“Walaupun PN bawa Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sanusi (Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah) untuk ceramah grand finale mereka, tapi kita dapat lihat asakan (PN) untuk menguasai kawasan itu tidak tercapai apabila BN masih bertahan menerusi kemenangan hari ini,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Awang Azman percaya Amizar perlu lebih bersedia dan tidak mudah berasa selesa, sebaliknya terus memberikan perkhidmatan terbaik bagi mewakili rakyat di kawasannya.

“Amizar selepas ini kena buat lebih baik lagi sebab sekarang tuntutan rakyat sudah semakin banyak (kos sara hidup).

“Jadi dia kena lebih bersedia dan tidak berasa selesa (dengan kemenangan tersebut),” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Amizar memenangi DUN Pelangai dengan majoriti 2,949 undi, mengetepikan calon PN, Kassim Samat dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli

Ahli Jawatankuasa Umno Bentong itu memperoleh 7,324 undi, manakala Kassim (4,375) dan Haslihelmy hanya meraih 46 undi, sekali gus hilang wang deposit.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di Bentong.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu. – 7 Oktober, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related