KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sedang menyiasat pengurusan dan kewangan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Difahamkan PAC sedang menyiasat pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan salah laku prosedur membabitkan institusi tersebut.
PAC memulakan siasatannya terhadap HRD Corp semalam, menyoal dua pemegang jawatan kanannya mengenai bagaimana perbadanan itu beroperasi tanpa pengerusi atau lembaga penuh sejak April.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia Datuk Amran Ahmad dipanggil untuk menjawab soalan daripada panel yang diketuai Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Turut hadir ialah pegawai kanan HRD Corp dan wakil Kementerian Kewangan.
“PAC amat berminat untuk mengetahui cara kepimpinan HRD Corp membuat keputusan tanpa pengawasan lembaga yang betul,” kata sumber yang mempunyai kedudukan tinggi.
Difahamkan bahawa PAC akan melanjutkan tempohnya di HRD Corp untuk lima hingga enam sesi lagi.
Pada 21 Oktober lalu, Scoop melaporkan bahawa laporan rangka kerja tadbir urus yang bertujuan untuk mengelakkan salah urus dan penyelewengan pada masa hadapan dialih keluar daripada sistem perbadanan itu.
Pengauditan ke atas Dana Pembangunan Sumber Manusia ketika itu, sebelum ia dinamakan semula sebagai HRD Corp diarahkan oleh Menteri Sumber Manusia ketika itu, M Kulasegaran pada 2018.
Bagaimanapun laporan itu, kata Kulasegaran, tidak lagi boleh diakses sejak beliau meninggalkan kementerian itu pada 2020.
Kepimpinan HRD Corp ketika ini juga didakwa mengelirukan lembaga mengenai cadangan inisiatif Pasport Kemahiran, di mana Kementerian Kewangan mendapati percanggahan dalam perolehan kontrak bernilai antara RM53 juta dan RM159.47 juta setahun. – 24 Oktober, 2023