Kisah sedih Melissa tiada kad pengenalan dorong Syed Saddiq utus surat kepada KDN

Ia bagi meminta isu golongan masih tidak mempunyai kad pengenalan diberi perhatian dan penantian mereka untuk memilikinya tidak sia-sia

9:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengutus surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu masih ramai individu yang dilahirkan di negara ini, tetapi tidak memiliki kad pengenalan.

Beliau berkata, surat itu bagi meminta supaya isu terbabit diberi perhatian, seterusnya membuatkan penantian golongan berkenaan untuk memegang dokumen pengenalan diri itu tidak sia-sia.

“Saya harap penantian mereka ini tidak sia-sia. Saya juga akan utuskan surat ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan isu ini.

“Berikan peluang kepada mereka untuk berkhidmat buat Malaysia, tanah air tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Melalui hantaran sama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkongsi kisah gadis dikenali sebagai Melissa yang menghantar mesej kepadanya untuk berjumpa, bagi meluahkan ‘kisah sedih’ dilaluinya kerana tidak memiliki kad pengenalan, selain meluahkan keinginan memegang dokumen pengenalan berkenaan.

Katanya, gadis dilahirkan di Pulau Pinang berusia 21 tahun itu memaklumkan belum mempunyai kad pengenalan walaupun dilahir, dibesar dan dididik di Malaysia.

Pada pertemuan itu, ujarnya, Melissa memaklumkan, keluarga dan rakannya juga di Malaysia, malah dia fasih berbahasa Melayu serta menyanyikan Negaraku.

“(Dia) A Malaysian like anyone of us (anak Malaysia seperti kita semua), tetapi dia tidak mempunyai kad biru (kad pengenalan) macam kita semua, walaupun dalam sijil lahir dia dah dinyatakan status warganegara dan ada nombor kad pengenalan.

“Dia ceritakan pada tahun 2013, dia sepatutnya mewakili Pulau Pinang dalam acara Gimnastik Berirama di SUKMA (Sukan Malaysia) Sarawak, akhirnya tak dapat pergi sebab tak ada kad pengenalan,” katanya.

Selain itu, Syed Saddiq berkata, menerusi perbualannya bersama Melissa, gadis terbabit lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memperoleh A dalam Bahasa Melayu.

“Tetapi bila nak masuk sekolah menengah tak dapat sebab tak ada kad pengenalan. Saya sedih sebab beliau dinafikan hak pendidikan. Jadi beliau ambil keputusan untuk kerja.

“Umur 14 tahun sudah kena jual nasi lemak tepi jalan, jual bunga orkid, jual aiskrim Malaysia 20 sen dan macam-macam lagi untuk sara diri, walaupun sepatutnya beliau ke sekolah dan belajar seperti kawan lain. Besar semangat Melissa,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau juga percaya hingga ke hari ini negara masih mempunyai banyak kes seperti Melissa.

Menurutnya, di Muar sendiri terdapat pakcik dan makcik yang sudah hidup puluhan tahun di negara ini, malah sebelum kemerdekaan, namun masih tidak mempunyai kad pengenalan.

Lebih menyedih dan mengecewakan, katanya, golongan itu juga seperti warganegara yang mempunyai kad pengenalan, namun hak memiliki dokumen identiti diri berkenaan seolah-olah dinafikan.

“(Mereka) Sama-sama bersorak apabila Malaysia menang lawan bola sepak, sama-sama menyumbang kepada ekonomi kita, sama-sama prihatin dengan situasi negara.

“Saya percaya situasi ini bukan dihadapi Melissa seorang. Ramai lagi mempunyai nasib sama seperti Melissa. Saya harap penantian mereka ini tidak sia-sia,” katanya. – 1 September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related