Ayam dijual antara RM7.39 hingga RM9.40 di Selangor, N9, Putrajaya

Pengguna mempunyai pelbagai pilihan daripada segi harga jualan serta jenis ayam yang dijual berdasarkan lokasi dan tempat jualan

10:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendapati harga ayam standard dijual pada harga serendah RM7.39 sehingga RM9.40 sekilogram di Selangor, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Susulan pengapungan harga ayam bermula hari ini, KPKM diketuai Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali melaksanakan tinjauan di beberapa pasar borong, pasar awam dan pasar raya negeri berkenaan bagi melihat ketersediaan bekalan dan harga yang ditawarkan di pasaran.

“Secara keseluruhan, harga ayam yang dijual adalah di antara RM7.39 hingga RM9.40 sekilogram dan tiada peningkatan harga sepanjang rantaian bekalan yang dicatatkan berdasarkan pemantauan dilaksanakan.

“Pengguna mempunyai pelbagai pilihan daripada segi harga jualan serta jenis ayam yang dijual berdasarkan lokasi dan tempat jualan. 

“Aspek bekalan juga adalah stabil dan mencukupi untuk keperluan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan mendapati harga ayam standard dijual dengan harga RM9.40 sekilogram dengan caj perkhidmatan pemotongan sebanyak 50 sen. 

Sementara itu, di Pasar Raya Econsave Kota Warisan Sepang, harga ayam standard dijual pada harga RM8.39 sekilogram manakala di Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) Sungai Merab, harga ayam super berharga RM9.20 sekilogram.

Di Negeri Sembilan, pemantauan di sekitar Nilai pula mendapati harga ayam standard dijual pada kadar berpatutan. 

Di pasar awam sementara Nilai, harga ayam standard berharga RM9.40, manakala di Pasar Raya Giant Superstore Nilai, harga ayam standard dijual pada harga RM7.89 sekilogram.

Harga ayam standard di Lotus’s Nilai Putra pula dijual pada harga RM7.39 sekilogram.

Di Putrajaya, harga ayam super di Pasar Raya Mydin dijual pada harga RM7.99 sekilogram dan di Peladang Outlet PPK Putrajaya pula berharga RM9 sekilogram.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak KPKM akan terus bekerjasama erat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran serta memantau secara dekat mengenai sebarang aktiviti pencatutan yang dilaporkan.

Terdahulu, kerajaan bersetuju subsidi harga ayam ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini.

Penamatan subsidi secara pukal bagi ayam itu, dilaksanakan demi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi. – 1 November, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Aaron, Wooi Yik mean business: extra night training ahead of Paris Olympics

Women’s doubles pair Pearly Tan and M. Thinaah, mixed doubles duo Chen Tang Jie and Toh Ee Wei, will also participate

Related