Tiada masalah pertaruh calon ‘pelancong’ tapi salah parti jika tewas kerana…

Calon yang relevan dan mempunyai kekuatan tersendiri menjadi penentu sokongan pengundi pada PRN, 12 Ogos ini

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Faktor calon bukan penilaian utama pengundi, justeru setiap parti harus bijak mempertaruhkan calon relevan di kawasan yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Pakar Keselamatan dan Politik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Hussain Yusri Zawawi berkata, pengundi hari ini lebih bijak menilai parti dalam menentukan sokongan mereka, biarpun faktor personaliti calon turut memainkan peranan tersendiri.

Hussain Yusri Zawawi berkata, pengundi hari ini lebih bijak menilai parti dalam menentukan sokongan mereka. – Gambar FUHA UniSZA, 1 Ogos, 2023

“Isu sebenarnya bukan kepada calon tetapi parti politik, apakah kerelevanan atau kekuatan calon tersebut untuk dipertaruhkan di sesuatu kawasan itu. Adakah pemilihannya sudah mendapat sokongan bahagian di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen terlibat.

“Kalau sebulat suara bersetuju tiada masalah, tetapi adakah rakyat bersetuju. Tidak boleh melihat dari satu konsep sahaja. Jika ada kesilapan, ia salah parti kerana meletakkan calon itu dengan membuat keputusan tidak menyeluruh dan terperinci,” katanya kepada Scoop.

Mengulas lanjut, Hussain berkata, pemilihan calon ‘pelancong’ mungkin dilihat sebagai pengubah haluan (game changer) dalam undian, walaupun ia memberi risiko kepada gabungan parti bertanding.

“Sepatutnya, calon anak tempatan dipilih kerana rakyat mengenalinya di samping calon itu lebih memahami masalah dihadapi penduduk setempat. Namun, dari sudut politik, kadang-kadang, calon luar dibawa ke sesuatu kawasan itu mempunyai objektif dan sesuai dengan kepakaran dimilikinya.

“Ia dilihat mampu membangunkan atau membawa resolusi baharu di DUN tersebut, tetapi kalau calon itu diambil tanpa ada merit, saya fikir ia sukar bagi calon. Apatah lagi, jika calon tidak popular dan tidak mempunyai konteks jelas untuk diketengahkan kepada masyarakat,” katanya.

Dr Jamaie Hamil juga berpandangan, calon bukan anak tempatan sudah menjadi budaya politik di Malaysia memandangkan setiap parti memiliki ramai calon berkelayakan. – Gambar Facebook Dr Jamaie Hamil, 1 Ogos, 2023

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berpandangan, pengundi yang celik, bersikap terbuka serta berpendidikan tidak memilih parti semata-mata tetapi turut mengambil kira calon yang diketengahkan.

Menurut beliau, calon bukan anak tempatan sudah menjadi budaya politik di Malaysia memandangkan setiap parti memiliki ramai calon berkelayakan yang berupaya memberi kemenangan kepada mereka.

“Ada juga pengundi akan mengundi berdasarkan kepartian. Sebagai contoh, boleh lihat PAS, PKR dan Umno memiliki pengundi tetap yang memilih parti politik walapun terdapat pelbagai isu berbangkit.

“Pada masa sama, pengundi yang tidak memilih hanya berdasarkan kepartian akan tengok calon terlebih dahulu sebelum memilih parti. Mereka akan melihat kedua-dua perkara ini sebelum mengundi,” katanya.

Sehubungan itu, Jamaie berkata, pengundi haruslah meneliti secara terperinci dan bijak membuat pilihan pada hari pengundian, 12 Ogos nanti bagi memastikan kerajaan negeri yang stabil dapat dibentuk. – 1 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Lelaki Itu bongkar konflik rumah tangga, penonton juga alami perkara sama: Sarimah Ibrahim

Isu kesihatan mental yang cuba diangkat dalam drama bersiri Lelaki Itu antara faktor utama artis versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim bersetuju membawakan watak sebagai Sharifah Qaidah.

Related