KUALA LUMPUR – Pemilihan semula calon Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, disambut baik pengundi kerana beliau dianggap pemimpin yang ‘memegang janji’.
Menerusi perkongsian di ruangan komen status Facebook Najwan, mereka berkongsi pandangan dan pengalaman selama pemimpin muda itu menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan sepanjang penggal lalu.
Berdasarkan rekod baik ditunjukkannya, mereka yakin Najwan mampu menambat hati pengundi dan meraih kemenangan pada hari pemilihan, 12 Ogos ini.
“Saya sebagai anak jati Shah Alam, menjadi saksi apa yang YB (Yang Berhormat) Najwan Halimi buat untuk Kota Anggerik adalah sangat terbaik! Insya-Allah N40 PH akan menang lagi!,” kata Hazrick Ong.
“Didoakan (YB) peroleh kemenangan berganda dengan sokongan padu warga yang bijak menilai atas gerak kerja sepanjang berkhidmat,” ujar seorang individu.
“All the best (selamat maju jaya), Najwan Halimi! We will always support Anwar Ibrahim and his team (kami akan sentiasa menyokong Anwar Ibrahim) selagi tak tergelincir dari matlamat untuk rakyat,” tulis Famili Halim
“N40 kekal sebab nampak apa yang dilakukan (Najwan),” kata Wan Wancina.
Selain itu, komen seorang individu berasal dari Pontian, Johor berhubung prestasi kerja Najwan yang baik turut mendapat perhatian warga maya.
“Saya sebagai warga Pontian pernah merantau di Selangor, menjadi saksi bahawa YB ini bukan omongan kosong, ini betul-betul YB yang buat kerja,” komennya.
Manakala, seorang pengguna memaklumkan, Najwan yang juga mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu menyelesaikan isu dengan segera.
“All the best (selamat maju jaya) YB. So far (setakat ini) memang terbaik. Fast acting (cepat bertindak). Ada apa-apa isu memang diselesaikan cepat,” kata Safiq Maliq.
DUN Kota Anggerik menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Najwan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamed Sukri Omar dan calon MUDA, Azad Akhbar.
Sementara itu, Najwan yang juga anak jati Shah Alam berikrar akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan sebaik mungkin.
“Insya-Allah, berbekalkan pengalaman dan track record sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat Kota Anggerik, saya percaya pengundi akan menilai sewajarnya dan seterusnya memberikan kepercayaan kepada saya serta PH untuk terus mewakili suara mereka di DUN Selangor.
“Saya bersedia untuk terus menabur khidmat dan bakti kepada warga Shah Alam, khususnya DUN Kota Anggerik!,” kata graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor itu.
Terdahulu, Najwan terpalit dengan kontroversi apabila didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon parti itu, M Sivaranjani.
Melalui tangkap layar kumpulan perbualan Whatsapp yang tersebar di media sosial, Najwan dikatakan menulis ‘parti india estet’ sebagai reaksi balas terhadap pengumuman PSM berkaitan calonnya.
Susulan itu, Najwan mengemukakan permohonan maaf dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas coretan berkenaan.
Pada 28 Jun 2021 pula, pemimpin PKR itu disingkirkan daripada jawatan Ketua AMK Selangor, berkuatkuasa serta-merta.
Memberi respon berhubung pemecatannya itu, Najwan menegaskan beliau tidak mengetahui punca keputusan terbabit.
Bagaimanapun, AMK menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya melaksanakan penyusunan semula barisan Majlis Pimpinan MPK (MPAMK) dengan melakukan rombakan jawatankuasa organisasi AMK Perlis dan Selangor. – 30 Julai, 2023