KUALA LUMPUR – Juwairiya Zulkifli mahu semua pihak melangkah ke depan atau ‘move on’ serta tidak lagi mempertikaikan pemilihan calon kerana ia merupakan perancangan teliti yang dijalankan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan.
“Kita perlu terus bekerja bagi memberikan penerangan kepada jentera parti agar dan fokus untuk menang PRN di Selangor. Jadi, bertandinglah secara sihat,” katanya yang juga calon mewakil Kerajaan Perpaduan untuk kerusi Dun Hulu Kelang.
Juwairiya, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati akan menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.
Ditanya mengenai cabaran berdepan Azmin, Juwairiya berkata beliau tidak takut berdepan dengan Ketua Penerangan PN itu meskipun pernah bekerja dengannya.
“Saya tidak takut (berdepan Azmin) walau ramai kata akan lawan bekas bos sendiri. Saya pernah bekerja dengannya dan merupakan mantan Timbalan Presiden PKR.
“Oleh itu, saya mengharapkan permainan bersih dan adil di samping percaya dengan kekuatan dan kuasa rakyat untuk memilih siapakah yang lebih layak di DUN Hulu Kelang,” katanya.
Dalam pada itu, Azmin mempersoalkan kenapa Juwairiya dipindahkan dari Bukit Melawati ke Hulu Kelang.
“Saya tidak pernah lari seperti didakwa kerana pernah menang di Hulu Kelang sejak 1999. Ini kampung halaman saya. Kita yakin rakyat di sini masih bersama PN berdasarkan perkhidmatan yang telah kita lakukan,” katanya.
Azmin menjadi Menteri Besar Selangor dari 2014 sehingga 2018 dan bekas penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang pada 1999 namun tewas pada calon Barisan Nasional (BN) pada 2004. – 29 Julai, 2023