SELAYANG – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer selama dua penggal, Zaidy Abdul Talib yang mewakili PN dicabar calon PH, Anfaal Saari dan Aida Nazeera Abd Rahman dari Muda.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Taman Templer, Datuk Mohd Yazid Sairi mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 10.56 pagi selepas proses penamaan calon di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini, ditutup pada 10 pagi.
Untuk rekod, kerusi DUN Taman Templer disandang Mohd Sany Hamzan dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang tidak mempertahankan kerusi tersebut pada PRN kali ini.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Langat atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU-15) lalu dengan majoriti 14,896 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional, Mohd Radzi Abd Latif calon Barisan Nasional, Johan Abdul Aziz.
Cuaca cerah hari ini membolehkan ribuan penyokong PH dan PN berkumpul di luar pagar pusat penamaan di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai tanda sokongan kepada calon mereka.
Aida Nazeera yang mewakili Muda tiba di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.12 pagi dengan diiringi seramai 20 penyokong.
Sementara itu, calon PH di DUN Rawang, Chua Wei Kiat akan menentang R. Rejean Kumar yang mewakili PN.
Kerusi DUN Kuang pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Sallehudin Amiruddin yang juga calon Bebas dan Mohd Rafiq Mohd Abdullah dari PN. – 29 Julai, 2023