KUALA LUMPUR – Kenyataan media bertajuk ‘Siasatan ke atas Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam’ semalam yang didakwa dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sedang tular di media sosial adalah palsu.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menegaskan tindakan mengeluarkan kenyataan tersebut adalah berniat jahat dan mengelirukan rakyat.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.
“Tidak pasti, jangan kongsi,’’ demikian kenyataan yang dikeluarkan dalam Facebook jabatan berkenaan hari ini.
Justeru orang ramai diminta merujuk akaun media sosial rasmi JPM untuk berita sahih. – 26 Julai, 2023