KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah mengarahkan supaya semua agensi dan syarikat konsesi terlibat untuk mengambil tindakan segera susulan kejadian jalan mendap yang berlaku di KM66.1 Lebuhraya KL-Karak, malam tadi.
Menurut Alexander, ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan.
“Saya telah mendapatkan maklumat daripada pegawai dan difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 8.34pm. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kejadian mendapan tanah (sinkhole) berlaku di Km 66.1 arah Barat dan Timur, di antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur.Status terkini semua lorong arah Timur dan Barat ditutup. Pengguna ke arah Kuantan/ Karak dinasihatkan keluar ke Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke lebuhraya di Persimpangan Bentong Timur.
“Pengguna yang ingin menggunakan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road (CSR) untuk ke Kota Bharu dibenarkan menggunakan Persimpangan CSR. Manakala, pengguna ke arah Kuala Lumpur pula dinasihatkan keluar di Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke lebuhraya di Persimpangan Bentong Barat.,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Kejadian tanah mendap di KM66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari arah timur dan barat dekat Bentong malam tadi telah mengakibatkan laluan di lokasi berkenaan terhalang.
Gambar-gambar mengenai kejadian itu tular di media masa yang menunjukkan permukaan jalan berlubang besar akibat mendapan tanah tersebut.
Sementara itu, kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan susulan kejadian jalan mendap yang berlaku di KM66.1 Lebuhraya KL-Karak, malam tadi.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kemas kini yang dimuat naik di Facebooknya pada 8.14 pagi tadi memaklumkan trafik kini bergerak perlahan dan meminta pengguna menggunakan laluan alternatif yang disediakan. – 26 Julai, 2023