BN mungkin beri laluan kepada Amanah tanding di Pulai, ini sebabnya…

Fatihah Salahuddin mungkin dipertaruhkan Amanah untuk mempertahankan kerusi disandang bapanya

12:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dijangka bersetuju memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertaruhkan calonnya bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pulai.

Penganalisis Pilihan Raya, G Manimaran berkata, ini kerana penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub memenangi kerusi berkenaan untuk penggal kedua pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) dengan majoriti 33,174 undi.

“Melihat kepada perkembangan semasa, saya yakin UMNO-BN akan beri ruang kepada calon Pakatan Harapan (PH), iaitu Amanah untuk bertanding di kerusi tersebut. Kelebihan sebab Allahyarham menang majoriti besar dan dua penggal pertahankan kerusi itu. Kalau kita ambil prinsip di Selangor, strategi itu akan diamalkan di sana,” katanya kepada Scoop.

Manimaran berkata, beliau tidak menolak anak Salahuddin, Fatihah yang juga Pengarah Komunikasi Wanita Muda Amanah (WARDA) akan diletakkan sebagai calon di kerusi tersebut, malah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), mana-mana parti akan mempertimbangkan semua aspek dan menggunakan kelebihan yang ada untuk menang serta mempertahankan kerusi itu.

“Kalau dia popular, itu bukan suatu yang luar biasa. Dulu pun ada kerusi yang anak atau isteri bertanding. Itu lumrah mana-mana parti untuk mempertaruhkan calon terbaik. Semenangnya Salahuddin amat dekat di hati penduduk Pulai,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin konsensus yang dicapai antara BN dan PH akan memberi kelebihan kepada gabungan parti kerajaan Perpaduan itu menang dengan majoriti lebih besar.

“Jika dicampur undi BN dan PH dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang sama, calon PH akan dapat undi lebih tinggi berbanding sebelum ini. Isu rakyat sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi mereka, tetapi kalau kita melihat langkah sedang diambil kerajaan, ia mungkin akan meredakan sedikit keadaan,” katanya.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Azmi Hassan turut berpendapat kerusi Parlimen Pulai perlu diberikan kepada Amanah memandangkan ia adalah kubu kuat PH dan dengan bantuan BN, walau siapapun dipertaruhkan, calon tersebut besar kemungkinan memenangi majoriti lebih 33,000 undi pada PRK nanti.

“Kerusi itu seharusnya dikekalkan kepada Amanah kerana kerusi Lenggeng di Negeri Sembilan yang sebelum ini milik Amanah diberikan kepada BN.

“Siapa calon? Seharusnya mengikut kesesuaian, kemungkinan Fatihah sesuai jadi calon. Lagipun Fatihah ada jawatan dalam Amanah, jadi tak janggal jika dia diberi peluang bertanding di kerusi bapanya,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Kartini Aboo Talib @ Khalid pula berpendapat, BN dan PH perlu berkompromi untuk meletakkan calon sesuai di kerusi tersebut.

Katanya, dalam keadaan PH perlu mengekalkan majoriti Parlimen melalui gabungan bersama BN dan Johor dikuasai dua pertiga BN-UMNO, calon BN mungkin perlu dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Saya percaya memberi ruang kepada calon BN akan lebih mengukuhkan parti itu dan pada masa sama, mengukuhkan PH atas dasar kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Seandainya berlaku ‘glitch’ (kesilapan) dan keengganan untuk bekerjasama antara PH-BN (UMNO), ia akan merugikan kedua-dua pihak dan Kerajaan Perpaduan, sekali gus memberi peluang besar kepada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Kerusi Parlimen Pulai kosong susulan kematian penyandangnya, Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kelmarin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – 25 Julai, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related