KUALA LUMPUR – Pemilihan isteri dan anak mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah keputusan pucuk pimpinan parti, bukan disebabkan ākroniā atau berkonsepkan āanak-beranakā.
Menjelaskan perkara berkenaan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid berkata, keputusan parti di peringkat negeri dan pusat untuk memilih beliau serta anaknya, Mohd Najib itu juga dibuat berdasarkan reputasi calon yang terbaik, selain jawatan disandang dalam parti.
Justeru, beliau menafikan pandangan pihak tertentu bahawa BN dan Umno Negeri Sembilan ketandusan calon, selain menegaskan spekulasi berhubung pemilihan mereka hanyalah polemik politik bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap parti berkenaan.
“Isu calon anak-beranak yang turut dimainkan pembangkang bukanlah persoalan yang perlu diberikan tumpuan, sebaliknya misi untuk memberi kemenangan kepada BN pada PRN ini adalah perkara utama.
“Ia bukan perkara luar biasa bila calon anak beranak diketengahkan sesebuah parti pada pilihan raya. Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bertanding di Langkawi bersama anaknya yang dicalonkan di Jerlun, Kedah.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga bertanding pada PRU-15. Bagi saya soal calon anak beranak dan keluarga ini tak sepatutnya dijadikan isu,ā katanya kepada Scoop bagi mengulas berhubung pemilihannya sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh dan Mohd Najib yang dipilih berentap di DUN Bagan Pinang pada PRN ini.
Selain itu, Bibi Sharliza memaklumkan, Najib sudah menunggu selama tiga penggal dan sepatutnya diangkat sebagai calon sejak berada dalam Pemuda Umno, namun kebetulan dipilih bertanding pada PRN kali ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan calon pada kali ini sangat menepati keperluan parti kerana selain adanya orang lama, lebih separuh daripada calon adalah muka baharu, sekali gus membuktikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memandang BN memerlukan kepemimpinan di setiap lapisan umur serta jelas memenuhi kriteria diperlukan.
Ditanya berhubung sasaran perjuangannya, Bibi Sharliza berkata, isu wanita muda di luar bandar antara perkara akan diberikan perhatian di DUN Juasseh.
“Ini adalah kawasan luar bandar dan kampung tradisi, jadi ada dua teras sahaja yang saya mahu bawa untuk diperjuangkan, iaitu memperkasa dan mempertingkatkan infrastruktur serta modal insan di kampung tradisional. Itu sangat penting, saya menyakini gabungan Pakatan Harapan (PH) serta BN akan meraih kemenangan di Negeri Sembilan,ā katanya.
Sementara itu, Najib berkata, perjuangannya akan merangkumi pencarian kaedah terbaik agar rakyat dapat memberi sokongan kepada BN dan parti dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN nanti, berbanding sekadar menjawab pelbagai tohmahan atau fitnah cuba dilemparkan pihak tertentu.
“Insya-Allah, kita (yakin) boleh dapat sebaik mungkin sokongan daripada masyarakat dalam DUN Bagan Pinang. Saya seru pengundi beri saya peluang untuk terus berkhidmat di sini dan antara fokus saya adalah menyelesaikan isu pelancongan kerana ini kawasan pelancong,ā katanya. – 25 Julai, 2023