Dasarnya jelas, DBKL sepatutnya mengendalikan penjualan tanah kuil dengan lebih baik: Saravanan

Timbalan presiden MIC ketika merujuk dasar pada 2012 untuk mewartakan semua rumah ibadat, berkata DBKL sepatutnya memaklumkan kuil mengenai jualan yang belum selesai dan menawarkan untuk menjual kepada mereka

1:14 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya boleh mengendalikan isu tanah melibatkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang berusia 130 tahun di Jalan Masjid India di sini dengan lebih baik selari dengan dasar Kementerian Wilayah Persekutuan pada 2012 untuk mewartakan rumah ibadat bukan Islam, kata Datuk Seri M Saravanan.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden MIC yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, berkata dasar tersebut menetapkan semua rumah ibadat di Wilayah Persekutuan mesti diwartakan, termasuk Kuil Pathrakaliamman.

Saravanan, yang juga Ahli Parlimen Tapah, mengulas pandangan bahawa DBKL, yang sebelum ini memiliki tanah tersebut, tidak mempunyai kewajipan untuk memaklumkan kepada jawatankuasa pengurusan kuil mengenai penjualan tanah itu.

“DBKL mengakui kewujudan kuil tersebut. Mereka sedar sepenuhnya. Apabila mereka menjual mana-mana tanah, DBKL sepatutnya menulis surat kepada pihak terbabit untuk memaklumkannya.

“Apabila ada penyewa di rumah anda pada masa anda ingin menjual rumah itu, tidakkah anda rasa anda mempunyai kewajipan moral untuk memaklumkan kepada penyewa : Saya akan menjual rumah ini?

“Atau menawarkan kepada mereka sama ada mereka berminat untuk membeli (rumah itu)?” kata Saravanan kepada Scoop.

Kuil itu kini berada di atas tanah persendirian selepas DBKL menjual lot tersebut kepada sebuah syarikat swasta pada tahun 2014. Syarikat berkenaan, Jakel Trading Sdn Bhd, mempunyai perancangan untuk membina sebuah masjid di tapak tersebut.

Perkara ini telah mencetuskan perdebatan mengenai kesahihan kuil itu dan menimbulkan kemarahan kerana kemungkinan ia akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.

Jakel Trading dikatakan sedang mencari alternatif lain termasuk memperoleh sebidang tanah bersebelahan bagi membolehkan pembinaan masjid dan kuil bersebelahan.

Saravanan mengulangi kenyataannya pada sidang akhbar 23 Mac lalu bahawa kuil tersebut bukanlah struktur haram dan DBKL selama ini mengakui kewujudan serta operasinya dengan meluluskan kemudahan utilitinya dan membersihkan tanah untuknya.

“Isu ini (melibatkan kuil dan tanah) bukanlah perkara baru. Perkara seperti ini telah berlaku berkali-kali. Kerajaan ketika itu, semasa saya menjadi timbalan menteri Wilayah Persekutuan, telah membuat keputusan dasar untuk tidak merobohkan mana-mana kuil dan isu seperti ini sepatutnya dikendalikan dengan arahan yang betul.

“DBKL sepatutnya boleh menguruskannya dengan lebih baik,” kata Saravanan.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Kuala Lumpur. – Gambar Facebook Temple Hunters, 25 Mac, 2025

Beliau juga mempersoalkan mengapa DBKL, yang secara rutin menangani isu setinggan dan gerai haram di bandar dengan memindahkan mereka ke rumah pangsa Dewan Bandaraya atau pusat perniagaan yang lebih teratur, seolah-olah “mengabaikan” kuil, kerana sehingga kini belum ada tanah yang dikenal pasti untuk pemindahan Kuil Pathrakaliamman.

“DBKL tidak boleh berkata ini bukan urusan mereka. Jika tidak, ke mana orang akan pergi untuk beribadah? Apabila anda tidak memperuntukkan tanah kepada penganut, sudah tentu mereka akan mencari mana-mana tanah kosong dan membina kuil di situ,” tambahnya.

Peguam yang mewakili jawatankuasa pengurusan kuil, Datuk Ambiga Sreenevasan dan N. Surendran, pada sidang media pada 20 Mac lalu menyatakan bahawa DBKL tidak memaklumkan pihak kuil ketika menjual tanah itu kepada Jakel Trading pada 2014.

Dalam kenyataan terbaru, mereka sekali lagi menggesa agar perjanjian jual beli tanah oleh DBKL didedahkan kepada umum kerana percaya dokumen tersebut mengandungi maklumat yang “relevan dengan hak dan status kuil”.

Ambiga dan Surendran menambah mereka mempunyai asas kukuh untuk percaya pendedahan perjanjian itu boleh membantu menyelesaikan pertikaian tanah serta memastikan akauntabiliti dan ketelusan awam dalam penjualan tanah kerajaan kepada entiti swasta.

Sementara itu, Jakel Trading telah menyatakan kuil tersebut tidak akan dirobohkan dan pihaknya sedang berusaha mencari penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

Manakala Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata kuil itu boleh terus beroperasi seperti biasa sehingga keputusan dibuat mengenai pemindahannya.

Pelbagai pemimpin politik turut memberi pandangan mengenai isu ini, menggesa agar semua pihak bertenang dan membiarkan perbincangan antara Jakel Trading dan DBKL diteruskan. – 25 Mac 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related