Pulau Pinang sentiasa ‘berdikari’ sejak 2008: Jagdeep

Jagdeep turut menyatakan Pulau Pinang kini menikmati sinergi kerja yang lebih baik dengan Putrajaya terutama di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim

9:01 PM MYT

 

GEORGE TOWN — Pulau Pinang telah berkembang maju menjadi sebuah negeri yang berdaya ekonomi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) meskipun ketika itu ia merupakan negeri pembangkang dan berdepan ketidakstabilan politik dalam kerajaan persekutuan sebelum ini, kata Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo.

Dalam temu bual eksklusif dengan Scoop, Jagdeep turut menyatakan Pulau Pinang kini menikmati sinergi kerja yang lebih baik dengan Putrajaya memandangkan negeri dan kerajaan persekutuan kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai sekutu.

“Kami berjaya berdikari, (walaupun) sebelum kerajaan persekutuan ini dibentuk, dengan segala ‘kekaburan’ (politik dalam tahun-tahun sebelumnya) dan akhirnya kini dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) di sana (sebagai Perdana Menteri).

“Kami telah bertahan sejak 2008 dan kami satu-satunya kerajaan negeri yang tidak bersama mereka (Perikatan Nasional),” katanya merujuk kepada tempoh selepas Langkah Sheraton.

“Tetapi kami berjaya, malah lebih baik daripada negeri-negeri lain,” katanya dalam temu bual tersebut.

Jagdeep merujuk kepada pengalaman PH mentadbir Pulau Pinang sebagai negeri pembangkang ketika pertama kali mengambil alih negeri itu daripada BN pada 2008 dan sekali lagi sebagai negeri pembangkang selepas Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan PH pada akhir Februari 2020.

Langkah Sheraton mencetuskan kesan domino apabila kerajaan negeri pimpinan PH di Perak, Kedah, Johor, Melaka serta Sabah tumbang dan digantikan dengan kerajaan negeri pimpinan PN melalui tindakan lompat parti oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PH ke PN.

Bagaimanapun kerajaan Pulau Pinang berjaya bertahan dalam krisis politik tersebut kerana PH masih mengekalkan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hanya empat Adun yang melompat ke PN – mengurangkan majoriti daripada 37 daripada 40 wakil rakyat kepada 34.

Jagdeep berkata ketabahan Pulau Pinang dan peranannya dalam mengangkat PH ke Putrajaya menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

“Rakyat di seluruh negara melihat Pulau Pinang boleh melakukannya dengan lebih baik daripada negeri-negeri lain, mengapa tidak negeri mereka?” tambahnya.

Untuk rekod, pada 2023, Pulau Pinang menyumbang 7.4% kepada KDNK Malaysia, menjadikannya negeri kelima dengan sumbangan tertinggi selepas Selangor (25.9%), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.9%), Johor (9.5%) dan Sarawak (9.1%), menurut Jabatan Perangkaan.

Sinergi dengan Putrajaya

Ketika ditanya mengenai sinergi kerja yang lebih baik antara Pulau Pinang dan Putrajaya, Jagdeep merujuk kepada pengalamannya sendiri, di mana beliau boleh berhubung terus dengan Anwar.

Malah Perdana menteri pernah menjadi kliennya serta klien kepada mendiang bapanya – Datuk Seri Karpal Singh – yang telah lama mewakili bekas pemimpin pembangkang tersebut dalam pelbagai kes mahkamah.

Selain itu, Jagdeep berkata beliau mempunyai hubungan kerja yang rapat dengan menteri-menteri persekutuan dan sering menjadi tuan rumah apabila mereka berkunjung ke Pulau Pinang untuk bertemu dengannya bagi membincangkan hal ehwal berkaitan portfolionya iaitu Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi negeri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan perasmian pecah tanah projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Projek Bandar Sri Pinang, pada 11 Januari lalu. Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke (dua, kanan) dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua, kiri). – Gambar fail Bernama, 15 Mac, 2025

Beliau berkata, sinergi kerja ini jelas dapat dilihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila Anwar melancarkan projek transit aliran ringan (LRT) pertama Pulau Pinang – Laluan Mutiara – pada 11 Januari.

Laluan LRT ini, yang dijangka siap pada tahun 2031, akan menghubungkan Pulau Silicon yang kini dalam proses penambakan ke Komtar serta ke Penang Sentral di Butterworth melalui laluan rentas selat.

Kerajaan yang dipercayai

Ketika ditanya mengenai formula yang digunakan oleh Komtar untuk memupuk sinergi kerja yang lebih baik dengan Putrajaya, Jagdeep menekankan reputasi kerajaan negeri sebagai sebuah pentadbiran yang boleh dipercayai, yang telah menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, sihat dan selamat.

“Sudah tentu, terdapat banyak perkara lain (yang boleh dianggap sebagai formula kejayaan Pulau Pinang), tetapi ketelusan adalah amat penting.

“Kami sangat terbuka kerana kami tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang tidak wajar membabitkan kerajaan negeri. Agenda utama kami adalah untuk berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

Tiada bantahan terhadap arahan DLP (Program Dwi Bahasa) di Pulau Pinang

Dalam isu berasingan, Jagdeep, yang turut menyelia hal ehwal pendidikan, menyatakan kerajaan negeri tidak pernah menghadapi sebarang tentangan daripada pihak berkepentingan tempatan sejak beliau mengumumkan pada 2023 bahawa Pulau Pinang akan menggalakkan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah negeri itu bagi memastikan terdapat tenaga kerja yang mencukupi untuk pekerjaan berkaitan teknologi pada masa hadapan.

“Di Pulau Pinang, jika ada sesiapa yang mahu membantah, mereka dialu-alukan untuk datang berjumpa dengan saya dan memberitahu apa masalahnya. Tetapi setakat ini, tidak ada sedikit pun tentangan.

“Kami mahu mendidik (pelajar) dalam setiap bahasa dan saya menyokong setiap bahasa. Jadi jika ada sebarang aduan, saya belum melihat satu pun di Pulau Pinang,” katanya ketika ditanya sama ada arahan negeri itu telah mendapat tentangan daripada NGO tempatan.

Beliau turut memaklumkan pejabatnya sedang bekerjasama rapat dengan pegawai dari Kementerian Pendidikan dan kementerian lain bagi memperluaskan pengajaran kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris di lebih banyak sekolah. – 15 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Perlesenan media sosial di Malaysia: Memperketatkan keselamatan pengguna media sosial rakyat Malaysia

Badan kawal selia komunikasi United Kingdom (UK), Ofcom, dan kerajaan Singapura antara yang menghubungi MCMC untuk mengetahui lebih lanjut tentang pelaksanaan inisiatif akta perlesenan media sosial dalam negeri

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related