CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memberi tumpuan utama kepada pelaksanaan e-Invois, pembesaran asas cukai, aktiviti penguatkuasaan, tadbir urus korporat cukai serta cukai minimum global pada tahun ini.
Selain itu, sistem taksir sendiri bagi duti setem dan sistem taksir sendiri cukai keuntungan harta tanah serta cukai aktiviti perniagaan Labuan juga akan diberikan penekanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata bagi memastikan tumpuan itu berhasil, LHDN telah merangka pelbagai strategi dan inisiatif serta menjalinkan kerjasama erat dengan agensi berkaitan.
“Sambutan ulang tahun ke-29 ini menjadi wadah terbaik bagi LHDN memperkenalkan produk terbaharu,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari HASiL Ke-29 di sini, Isnin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan Hari HASiL Ke-29 itu.
Abu Tariq berkata LHDN akan memperkenalkan Tekad HASiL 2026-2030 iaitu pernyataan awal aspirasi dan komitmen pengurusan atasan untuk memastikan LHDN terus relevan dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata selama hampir tiga dekad, LHDN telah melalui proses transformasi yang signifikan dan kini bukan sahaja dikenali sebagai agensi pemungut cukai langsung negara malah juga dihormati kerana peranannya dalam menyantuni lebih lapan juta rakyat yang layak menerima bantuan terus daripada pelbagai program bantuan kerajaan.
Prestasi LHDN pada 2024 amat memberangsangkan dengan kejayaan mengaudit dan menyiasat 70,702 kes melibatkan pelbagai industri terpilih, menghasilkan taksiran cukai tambahan hampir RM5.5 bilion, katanya.
Pada 2024, kutipan cukai langsung Malaysia berjumlah RM184.805 bilion, meningkat RM1.465 bilion daripada RM183.34 bilion yang dikutip pada 2023.
“2024 juga merupakan tahun bersejarah pelancaran e-Invois, dengan pembangunan sistem ini dan kesiapsiagaan pembayar cukai fasa pertama dalam tempoh kurang dari setahun, suatu pencapaian luar biasa yang kini menjadi rujukan negara di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata LHDN turut cemerlang sebagai agensi pelaksana program bantuan tunai kerajaan dengan memproses semua permohonan yang diterima pada 2024, melibatkan 8,685,024 penerima dengan peruntukan sebanyak RM6.77 bilion.
“LHDN tekad untuk terus menyantuni sebahagian besar rakyat yang juga seharusnya menikmati hasil cukai daripada kemakmuran negara,” katanya. – 10 Mac, 2025