‘Mereka buruh kasar’: warganet kecam serbuan ‘ponteng puasa’ JAIM, siaran video

Operasi di Bukit Rambai mengundang pelbagai reaksi masyarakat di media sosial yang mempersoalkan tindakan penguatkuasa menyerbu dua lelaki tidak puasa di ruangan tersorok

2:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Serbuan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) terhadap dua lelaki berusia 50-an yang tidak berpuasa di sebuah warung bukan Islam di Bukit Rambai mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.

Dalam operasi yang dijalankan jam 11.05 pagi pada Sabtu lepas, kedua-dua lelaki terbabit didapati sedang makan di ruang tersorok di belakang premis tersebut.

Malaysia Gazette melaporkan seorang daripada mereka yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik memberi alasan tidak sihat, manakala rakannya seorang tukang rumah mendakwa tidak larat untuk meneruskan puasa kerana kerja berat.

Serbuan ini mengundang kritikan hebat warganet di platform X, terutamanya selepas portal berita tersebut menyiarkan video tangkapan.

Ramai yang berpendapat tindakan JAIM keterlaluan, terutama kerana kedua-dua individu tersebut makan secara sembunyi dan bekerja dalam sektor yang memerlukan tenaga fizikal yang tinggi.

Pengguna X, @SyedAkramin mempersoalkan tindakan JAIM: “Orang yang ditangkap beri alasan tak puasa sebab kerja di tapak pembinaan (kerja berat). Dia juga makan secara sembunyi, bukan di khalayak ramai. Apa alasan badan agama ini pakai untuk tangkap mereka?”


Sementara itu, @keemmazni mengkritik tindakan JAIM yang merakam dan menyiarkan tangkapan tersebut.

“Orang tu dah tutup aib dia makan kat tempat tersembunyi, mai pegawai terpaling agama terus buka aib siap rekod masuk berita. Sepatutnya agama jadikan kau lebih rendah diri, bukan makin bongkak.”

Turut bersuara adalah @SurayaAOfficial yang menyoal keperluan serbuan seperti ini: “Budaya serbu orang tak berpuasa ni ajaran siapa sebenarnya? Dia tak berpuasa itu antara dia dengan Allah. Tidak mengancam keselamatan negara pun.”

Dari perspektif kesihatan, @fhnmoiselle mengakui dahulu dia menyokong tindakan sebegini, tetapi pengalaman bekerja dalam bidang perubatan mengubah pandangannya.

“Bila kau jadi doktor, especially pernah bekerja dalam jabatan perubatan, kau akan nampak betapa sukarnya nak uruskan ‘hunger pang’ dan hypoglycemia semasa Ramadan.”

Pakar perubatan lain, @DrAinunNasihah turut menekankan bahawa tidak semua penyakit boleh dilihat secara fizikal.

“Salah satu impak negatif berkongsi video tangkapan orang tak puasa: Ada yang komen, ‘apa payah nak puasa? Badan besar kan’. Pernah dengar ‘metabolic syndrome’?”

Bagaimanapun, ada juga yang mempertahankan tindakan JAIM. Pengguna X, @SyedAsriq94 menegaskan bahawa penguat kuasa hanya menjalankan tugas.

“Bukan main ramai komen marah. Padahal penguatkuasa cuma jalan tugas. Semua benda berkaitan syariah dipandang remeh.”

Seorang lagi pengguna, @UdaShafiq menjelaskan bahawa operasi hanya dilakukan selepas menerima aduan.

“Penguatkuasa terima aduan baru operasi jalan. Benda pun berlaku bukan dalam rumah pelaku, tapi kat kedai makan. Bezanya, dia ada ruang tersorok belakang kedai dan warung tu orang bukan Islam yang niaga.”

Menurut Malaysia Gazette, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata operasi yang dilakukan bersama Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat dan Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Akmal Nadzim Abdullah itu adalah sebahagian daripada Operasi Kesalahan Tidak Menghormati Ramadan.

Beliau menegaskan walaupun seseorang tidak sihat, mereka tidak boleh menikmati makanan di tempat awam kerana ia melanggar Seksyen 49, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991.

“Kesalahan ini tidak boleh dikompaun dan mereka yang terlibat perlu hadir ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Setakat ini, JAIM telah melakukan 11 operasi sepanjang Ramadan, menahan lapan individu yang melanggar peraturan tersebut, lapor portal tersebut. – 10 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Restoring Pagar Tras’ legacy: Malaysia’s ‘Notre Dame’ in the jungle

Today, the ruins struggle to tell the story of a bygone era and honour the legacy and sacrifices of French missionaries and Catholic migrants who built their lives around it

Zamri Vinoth’s kavadi post: MCMC, police start joint probe, statement-taking done

MCMC confirms suspect called in to Padang Besar police HQ, phone confiscated

KBS, PSM ensure concert-free turf ahead of FIH Nations Cup at National Hockey Stadium

Decision aims to protect pitch quality as Malaysia prepares to host international tournament in June

Related