KUALA LUMPUR – Jongkong emas tulen seberat 16 kilogram bernilai RM7 juta dan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang telah disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari premis yang dikaitkan dengan empat pegawai kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
SPRM dalam kenyataan memberitahu, ia diperolehi hasil penggeledahan di kediaman serta tiga premis yang dipercayai sebagai ‘safehouse’.
“Hasil operasi penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut, SPRM telah menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa (Baht, Riyal, Pound Sterling (BP), Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan) serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, Ismail Sabri juga telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024 dan beliau membuat pengisytiharan harta tersebut secara rasmi pada 10 Februari lalu.
“SPRM sedang menjalankan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
“Siasatan ini dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,’’ katanya.
SPRM juga memaklumkan Ismail Sabri telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu dan tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.
‘SPRM juga telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan,’’ katanya.
Suruhanjaya itu juga menegaskan siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
“SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara,’’ katanya. – 2 Mac 2025