KUALA LUMPUR – PAS perlu mengakui parti itu tidak mempunyai kepimpinan yang berwibawa untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri (PM) dan menerajui negara ini.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat berkata, parti itu juga tidak dapat menyembunyikan hakikat perpecahan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) semakin nyata.
Beliau berkata, meskipun PAS kerap mendakwa PN mempunyai ramai calon Perdana Menteri, namun sehingga kini tidak ada satu calon pun yang dinamakan termasuk untuk mengangkat nama presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, PAS juga dilihat tidak selari dengan keputusan rakan gabungan PN yang menamakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri yang layak.

“Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman boleh terus mengkritik Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi adakah dia mampu menjawab satu soalan mudah – siapa calon Perdana Menteri dari PN?
“PAS sendiri pernah menolak Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal Perdana Menteri PN. Tahun lepas, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menyatakan bahawa parti itu tidak menerima Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.
“Ini membuktikan PN tidak pernah sepakat dalam menentukan pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri.
“Syahir dan pemimpin PN boleh cuba mengelirukan rakyat, tetapi mereka tidak boleh menyembunyikan hakikat perpecahan di dalam PN semakin nyata, dan mereka tiada kepimpinan yang berwibawa untuk menerajui negara,” katanya hari ini.
Tambah Wei Kiat, sebagai parti dominan dalam PN, PAS sepatutnya tidak perlu takut kepada Bersatu malah berhak untuk menamakan calon mereka.
Terdahulu, Mohd Syahir berkata, golongan teknokrat dilihat boleh menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-11.
Katanya, beliau melihat seorang teknokrat berkemahiran tinggi dan berwibawa seperti Tan Sri Khalid Ibrahim adalah calon terbaik untuk memimpin negara.
“Siapakah calon yang difikirkan layak hari ini, terbuka untuk perbincangan. Saya boleh namakan tetapi bukan di sini,” katanya.
Ahli Parlimen Bachok itu mengulas kenyataan bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-11 atas faktor ketiadaan pengganti setanding dalam parti lain termasuk Umno.

Sementara itu Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, kegagalan Syahir untuk menamakan Hadi sebagai calon Perdana Menteri adalah isyarat Presiden PAS tidak mendapat sokongan PN untuk mengetuai jawatan ketua negara.
Beliau berkata, tidak logik jika PAS memilih ketua parti Bersatu untuk menjadi Perdana Menteri sedangkan Hadi seorang Ahli Parlimen dan tokoh ulama terkenal.
“Maka, apabila Syahir tidak menamakan Presiden PAS sebagai calon PM, dia sedar bahawa Hadi tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen dari parti gabungan lain (PN) walaupun PAS mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen.
“Ini adalah isyarat bahawa keretakan sedang berlaku di dalam PN,” katanya.
Tambah Faiz, kenyataan Syahir bahawa teknokrat boleh diangkat sebagai calon Perdana Menteri sangat mengecewakan kerana Perdana Menteri adalah orang politik dan sesebuah kerajaan dibentuk atas kuasa politik.
“Tokoh politik utama atau ketua parti sangat penting untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan,” katanya. – 26 Februari, 2025