KUALA LUMPUR — Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini berhubung dakwaan seorang pengguna Facebook kononnya terdapat usaha untuk normalisasi unsur pluralisme dan liberalisme pada program Town Hall Pekerja Gig 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kesuma berkata tuduhan yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook itu adalah berniat jahat dan cuba membakar sentimen keagamaan.
Ia juga, katanya cuba mencetuskan kegelisahan awam serta memberi persepsi yang buruk terhadap imej kementerian.
“Tuduhan jahat ini juga telah menutup tujuan asal program itu untuk memperkenalkan satu undang-undang baharu bagi memberi hak dan perlindungan kepada sejumlah 1.12 juta pekerja gig dalam negara ini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, portal berita melaporkan pengguna Facebook dengan nama akaun Chegubard mendakwa kain rentang bagi promosi satu sesi dialog awam anjuran Kesuma mengandungi gambar gereja dan ia menyifatkan perkara itu sebagai satu usaha pluralisme dan sekularisme.
Menurut Kesuma, tuduhan berkenaan disifatkan sebagai cubaan menjejaskan kredibiliti penjawat awam di kementerian terbabit yang sedang bertungkus lumus membuat persiapan bagi membentangkan Akta Pekerja Gig 2025 tidak lama lagi.
“Kesuma sentiasa komited dan menjunjung prinsip Rukun Negara dalam memelihara nilai keterangkuman, perpaduan dan rasa hormat dalam kalangan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi Bernama mengesahkan laporan dibuat di IPD Putrajaya.
Bagaimanapun kes berkenaan, katanya telah dirujuk ke IPD Shah Alam. – 25 Februari, 2025