KUALA LUMPUR — Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) tidak akan menyebabkan pemilik asal hartanah diusir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, ia juga tidak akan memindahkan komposisi etnik dan status tanah sama ada rizab Melayu, milik kerajaan atau tetap.
Justeru, Anwar berkata tidak timbul sama sekali isu pemilik asal hartanah, tanpa mengira kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan.
“Tentang pemilikan etnik…contohnya Flat Sri Perlis, kalau sekarang ini 70 peratus (pemilikan) Melayu, kekal kerana dalam undang-undang ini tidak ada hak untuk kita pindahkan pemilik asal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Pembangkang sebelum ini menyifatkan RUU PSB sebagai cara paling halus bagi menyingkirkan golongan yang hampir keseluruhannya adalah orang Melayu dan miskin untuk meninggalkan kawasan bandar.
Antaranya yang membantah ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang bimbang PSB menjadi pengkhianat terbesar golongan susah yang tinggal di bandar dan secara sinis meminta kerajaan menamakan semula akta berkenaan sebagai Akta Rampas Rumah.
Sementara Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Tan Sri Noh Omar pula berkata, sekiranya RUU tersebut diluluskan dan ia dikuatkuasakan, orang Melayu akhirnya akan kembali pulang ke kampung kerana tidak mampu berdepan dengan yuran penyelenggaraan perumahan mereka.
Dalam pada itu, menurut Anwar, pembangunan semula bandar bukan agenda baharu kerajaan Madani malah telah dimulakan sejak 2012 dengan penggubalan Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar.
Perbincangan awal, katanya telah dilaksanakan bagi menggubal akta khusus pembaharuan semula bandar untuk melancarkan proses pembangunan di sekitar Kuala Lumpur pada 2013, sebelum proses penggubalan akta itu diumum pada 2015.
Beliau menambah, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pada 2020 telah menerajui program pembaharuan tersebut melibatkan rumah pangsa berusia lebih 40 tahun.
“Pada 2021, Menteri Perumahan (dan Kerajaan Tempatan) Datuk Zuraida Kamaruddin memulakan penggubalan RUU PSB (Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar), 22 Mac 2022 Menteri KPKT (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meneruskan dan menegaskan prinsip yang sama.
“Yang Berhormat Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan) pada September 2022, malah menetapkan DBKL telah mengenal pasti 30 kawasan untuk pembaharuan semula,’’ katanya. – 25 Februari, 2025