KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang tunai lebih RM100 juta yang disyaki mempunyai kaitan dengan dana politik.
Sumber berkata, ia hasil serbuan terhadap sebuah rumah milik bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, wang berkenaan ditemui dalam beberapa beg dan peti besi dalam bilik di kediaman itu.
“Penyiasat SPRM turut merampas dokumen, barang kemas dan peranti elektronik ketika melakukan serbuan terhadap kediaman itu.
“Serbuan terbabit dijalankan SPRM susulan siasatan berterusan dan pemantauan selama beberapa bulan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan bekas pegawai kanan berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Tambah sumber, penyiasat kini sedang meneliti sumber wang berkenaan, termasuk kemungkinan kaitan dengan dana politik.
Katanya, siasatan yang dijalankan menjurus kepada peranan dimainkan bekas pegawai kanan berkenaan terhadap dana yang dirampas.
Terdahulu Scoop melaporkan, empat pegawai bekas Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditahan SPRM bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan penggubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop mengesahkannya.
“Berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram,’’ katanya ringkas kepada Scoop.
Dalam pada itu, media yang memetik sumber melaporkan beberapa kes sedang disiasat SPRM antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.
Sumber memberitahu, dua daripada empat individu yang ditahan itu bergelar datuk.
“Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Sebelum ini Ismail Sabri, 65, yang dilaporkan pengsan awal pagi Sabtu lalu akibat tekanan darah tinggi, kini sudah stabil dan sedar sepenuhnya .
Setiausaha akhbarnya, Azran Fitri Rahim berkata, Ismail yang dirawat di sebuah hospital di Damansara, bagaimanapun masih memerlukan pemerhatian rapi. – 24 Februari, 2025