Tiada panggilan telefon dengan Trump? PM Anwar ada perkara lebih penting untuk dilakukan: Nazri

Bekas duta itu turut mengkritik tumpuan berlebihan terhadap Amerika Syarikat sedangkan keutamaan harus diberikan kepada China, Rusia, India, dan Türkiye

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Nazri Aziz mengkritik apa yang dilihatnya sebagai tumpuan berlebihan Malaysia terhadap negara berkenaan.

Sedangkan, kata beliau, negara seharusnya memberi keutamaan kepada usaha membina hubungan yang erat dengan negara-negara yang telah menunjukkan sikap diplomatik yang lebih baik.

Bercakap pada sesi podcast Scoop iaitu Trick Lama baru-baru ini, Nazri berkata Malaysia seharusnya memberikan keutamaan dalam hubungan dengan negara-negara seperti China, Rusia, India dan Türkiye, berbanding penekanan berlebihan kepada AS.

“Saya rasa rakyat Malaysia terlalu mengagungkan Amerika. Kita sepatutnya mengutamakan negara yang telah menyambut kita dengan layanan istimewa bukannya bimbang sama ada kita dapat buat panggilan telefon kepada Presiden AS atau tidak,” katanya.

Podcast itu diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.

Nazri yang baharu menamatkan perkhidmatannya sebagai Duta AS selama dua tahun pada awal bulan ini, menjawab tuduhan beliau gagal mengatur panggilan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump selepas pilihan raya presiden AS 2024.

Nazri menjelaskan seminggu sebelum pilihan raya diadakan pada 5 November, beliau dan duta-duta negara Asean mengadakan pertemuan yang dianjurkan oleh bekas Penasihat Keselamatan Negara AS, Robert O’Brien.

Mereka dinasihatkan untuk memastikan pemimpin masing-masing menghubungi Trump selepas pilihan raya, tidak kira sama ada mereka berjaya bercakap dengannya atau tidak kerana Presiden menyukai isyarat sebegini.

“Saya telah menyampaikan mesej ini kepada Datuk Ahmad Farhan Fauzi, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, menasihatkan supaya cuba menghubungi Trump. Walaupun panggilan itu tidak berjaya, ia akan direkodkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah berusaha untuk menghubungi,” kata Nazri.

“PMO (Pejabat Perdana Menteri) telah mencuba dan itu sudah memadai bagi saya,” katanya.

Bekas duta Datuk Seri Nazri Aziz (tengah) berkata kepentingan utama adalah untuk melindungi kedudukan Perdana Menteri ketika beliau menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama bersama Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez (kanan) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (kiri) serta Ketua Eksekutif Kumpulan Datuk Zainul Arifin. – Gambar Scoop, 23 Februari, 2025

Beliau menegaskan Trump berkemungkinan besar tidak akan menjawab panggilan tersebut kerana pendirian tegas Malaysia mengenai konflik Israel-Palestin.

“Saya berada di Washington dan saya tahu akan sokongan kuat serta kenyataan PMX terhadap Hamas dan Gaza. Ia tidak menyinggung perasaan saya secara peribadi atas dua sebab.

“Pertama, jika kita mengeluarkan kenyataan yang sangat tegas menentang Israel, ia juga bermaksud menentang AS kerana mana-mana presiden Amerika pasti akan menyokong Israel. Bagi saya, ia hanyalah satu pembaziran masa. Saya tahu Trump tidak akan mahu bercakap dengan anda (Anwar) kerana pendirian tegas tersebut.

“Kedua, saya juga tidak mahu ia berlaku kerana saya tidak mahu orang menuduh PMX membuat kenyataan tegas tetapi dalam masa yang sama merayu untuk bercakap dengan Trump. Saya tidak suka itu.

“Saya pernah menjadi ahli politik sebelum ini dan bagi saya kepentingan utama adalah untuk melindungi kedudukan Perdana Menteri.

“Jika Trump mahu bercakap dengan anda, itu adil, tetapi jika dia tidak mahu, itu juga adil.

“Kita tahu Trump dikelilingi oleh ramai penasihat Yahudi, yang kemungkinan besar menasihatinya untuk tidak menjawab panggilan dari Malaysia,” jelasnya.

Nazri juga menegaskan kedudukan diplomatik Malaysia dengan AS berbeza berbanding beberapa negara jiran Asean seperti Singapura dan Filipina, yang mempunyai perkongsian strategik komprehensif dengan AS sementara Malaysia masih pada tahan perkongsian komprehensif.

“Saya tahu beberapa pemimpin Asean berjaya bercakap dengan Trump, tetapi saya bersikap neutral mengenainya kerana saya mempunyai semua fakta. Bagi saya, melindungi kedudukan Perdana Menteri jauh lebih penting daripada membesar-besarkan isu panggilan telefon.

“Sesetengah rakyat Malaysia tidak memahami perkara ini, mereka jahil. Kenapa saya perlu marah kepada orang yang jahil? Saya mempunyai semua fakta di hadapan saya, saya lakukan apa yang saya rasa betul untuk mempertahankan kedudukan Perdana Menteri dan kita tidak sepatutnya dilihat seperti merayu.

“Kita tidak seharusnya dilihat membuat kenyataan tegas dalam satu situasi namun kemudian cuba buat panggilan telefon dengan Presiden. Itu bukan caranya,” katanya.

Nazri juga menolak kebimbangan mengenai kemungkinan Trump tidak menghadiri sidang kemuncak berkaitan Asean semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi Asean 2025, dengan merujuk kepada taklimat daripada O’Brien bahawa Trump akan memberi tumpuan kepada isu domestik.

“Jika Presiden AS tidak hadir, JD Vance (Naib Presiden AS) atau Setiausaha Negara kemungkinan besar akan mewakili negara, seperti yang berlaku sebelum ini apabila Kamala (Harris) melawat Indonesia. Kita tidak perlu terlalu risau,” katanya.

Nazri berkata demikian sebagai jawapan terhadap perdebatan politik mengenai hubungan diplomatik Malaysia dan bagaimana ia dilihat dalam landskap antarabangsa yang lebih luas.

Dalam satu podcast, Nazri berkata bahawa beliau sengaja mencetuskan kontroversi dengan imej tular dari acara Make America Great Again (MAGA) di Washington, dengan tujuan untuk membuat kemunculan semula secara berani dalam arena politik tempatan.

Acara itu, yang diadakan pada 19 Januari—hanya sehari sebelum pelantikan rasmi Donald Trump sebagai Presiden—mencetuskan perdebatan di tanah air dengan pengkritik mempersoalkan sama ada kehadirannya menandakan sokongan politik.

“Perhimpunan itu adalah acara rasmi Parti Republikan atas jemputan daripada Rumah Putih sendiri. Ia dihadiri oleh pemimpin Republikan, duta, sekitar 80 hingga 90 orang serta penyokong Trump. Saya hadir dalam kapasiti rasmi,” jelas Nazri. – 22 Februari 2025

Topics

 

Hangat

Summoned five times: Nazri Aziz on facing US State Dept on Palestine, global issues

Former envoy shares how he used facts and United Nations’ principles to defend Malaysia’s independence

How will M’sia recoup US$248 mil from Riza Aziz after 1MDB suit withdrawal?: Guan Eng

Putrajaya, which entered a deal with Datuk Seri Najib Razak’s stepson as part of a global settlement on 1MDB asset recovery, must explain the public interest matter

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related