KUALA LUMPUR – Arab Saudi mengeluarkan arahan melarang penyiaran atau penghantaran siaran solat, termasuk solat Tarawih, di semua platform media sepanjang Ramadan nanti.
Arahan itu diumumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi menerusi akaun X rasminya pada Rabu, sebagai sebahagian daripada garis panduan dan arahan kepada masjid bagi persiapan bulan Ramadan pada Mac ini.
“Kementerian juga menegaskan keperluan untuk menetapkan kawalan terhadap pemasangan kamera di masjid dan tidak menggunakannya untuk merakam imam serta jemaah ketika solat…,” menurut kenyataan itu.
Arahan itu turut menyatakan bahawa imam bertanggungjawab memberikan kebenaran kepada jemaah, mengesahkan tiada pelanggaran dilakukan mereka, mengetahui maklumat berkaitan jemaah serta mendapatkan kelulusan penaja yang sah bagi bukan warganegara Arab Saudi.
Kementerian turut menekankan larangan mengumpul sumbangan kewangan bagi projek penyediaan iftar (berbuka puasa) dan lain-lain. Sekiranya terdapat penyediaan iftar, ia hendaklah diadakan di tempat yang disediakan di perkarangan masjid serta di bawah tanggungjawab imam dan bilal.
Pihak yang bertanggungjawab menyediakan iftar perlu membersihkan kawasan berkenaan sejurus selepas berbuka serta dilarang mendirikan bilik atau khemah sementara bagi tujuan itu, menurut kenyataan berkenaan.
Kementerian juga menyeru petugas masjid, termasuk imam, pendakwah dan khatib, untuk meningkatkan kesedaran agama dengan menerangkan keutamaan bulan Ramadan, hukum-hakamnya, galakan melakukan amal kebaikan serta kepentingan memanfaatkan keberkatan hari dan malam sepanjang bulan itu.
Pemeriksa masjid akan mempergiat lawatan lapangan bagi memastikan semua arahan kepada petugas masjid dipatuhi dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu. – 22 Februari, 2025