KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 58, meninggal dunia ketika perlawanan bola sepak.
Adun dari Perak itu yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bahagian Tapah, meninggal dunia selepas rebah di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Abdul Rozak Muhammad berkata Ishsam rebah semasa bersalaman dengan pemain lain di tepi padang pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium itu.
Menurutnya, Allahyarham dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 5.40 petang selepas bantuan kecemasan diberikan di tepi padang.
“Yang Berhormat telah disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan HPP pada 6.28 petang,” katanya, lapor Bernama.
Abdul Rozak berkata mayat Ishsam dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Difahamkan Ishsam yang lahir pada 31 Ogos 1966 merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak sekitar 80-an dan 90-an.
Allahyarham merupakan calon Umno bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N48 Ayer Kuning pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau telah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi. – 22 Februari, 2025