KUALA LUMPUR — Saman pemula yang dikemukakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang mencabar penamatan keahliannya dalam Bersatu, akan didengar di Mahkamah Tinggi, di sini.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan perkara itu selepas mendapati terdapat persoalan mengenai perlembagaan parti Bersatu yang harus diperhalusi dan didengar di mahkamah.
Hakim menetapkan 28 April ini untuk perbicaraan penuh. Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, diwakili peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam.
Dalam pada itu, Rajan berkata, salah satu alasan yang dikemukakan oleh Bersatu dalam permohonannya untuk membatalkan saman tersebut adalah berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
Akta berkenaan menyatakan sebarang keputusan oleh sesebuah parti politik dan perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan parti hendaklah menjadi muktamad dan konklusif dan keputusan tersebut tidak boleh dicabar di Mahkamah dan Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar sebarang saman yang berkaitan dengan kesahihan keputusan tersebut.
“Bagaimanapun, Mahkamah telah menolak hujah tersebut dan memutuskan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak terpakai berdasarkan fakta kes kerana antara lain, kes ini melibatkan hak-hak perlembagaan Plaintif dan tidak terhad kepada urusan parti sahaja,” katanya.
Dalam saman pemula itu, Azizi menegaskan pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.
Bagaimanapun Roz Mawar menolak permohonan Azizi untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 17 Ogos lalu.
Ini kerana kata Roz Mawar, Mahkamah Tinggi bukan forum sesuai untuk mendengar permohonan sedemikian dan Azizi sepatutnya memfailkan kes melalui petisyen pilihan raya.
PRK Dun Nenggeri itu dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Asmawi Fikri yang memperoleh 9,091 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Rizwadi Ismail, yang mendapat 5,739 undi.
Pada 24 Jun tahun lalu, Azizi telah memfailkan tindakan undang-undang itu selepas keahliannya dalam Bersatu ditamatkan kerana memberikan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Azizi memohon perisytiharan antaranya kerusi Dun berkenaan tidak kosong dan masih disandangnya.
Beliau menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan.
Pada 2 Mac 2024, Bersatu telah meluluskan usul berhubung pelucutan keahlian bagi Ahli Parlimen yang menyokong pihak lawan. Pindaan berkenaan melibatkan tambahan tiga perkara baharu dalam Fasal 10 Perlembagaan Bersatu.
Selain Azizi, Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – 19 Februari, 2025