KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara.
Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif serta gaya hidup aktif Seri Paduka yang gemar bersukan sewaktu muda terutama bermain polo.
“Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Seri Paduka Baginda.
“Yang di-Pertuan Agong dijangka berangkat pulang ke tanah air pada 21 Februari ini,’’ kata kenyataan berkenaan di sini hari ini.
Pada 7 Februari lalu, Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Istana Negara memaklumkan perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan. – 18 Februari, 2025