Pulau Pinang layak dapat lebih banyak peruntukan dari persekutuan atas sumbangannya kepada negara

Kerajaan Persekutuan lalu berpendapat negeri itu tidak perlukan banyak peruntukan kerana Pulau Pinang telah maju

7:57 PM MYT

 

GEORGE TOWN — Pulau Pinang sepatutnya menerima lebih banyak peruntukan daripada persekutuan memandangkan sumbangannya kepada ekonomi negara sebagai hab pembuatan teknologi dan penyumbang utama kepada perbendaharaan negara, kata Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow.

Dalam temubual eksklusif dengan Scoop, Chow, yang kini berada dalam penggal kedua dan terakhir sebagai Ketua Menteri, mendedahkan beliau berdepan dengan persepsi dari Putrajaya bahawa Pulau Pinang, sebagai negeri yang telah maju, tidak memerlukan lebih bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kenapa (Pulau Pinang) meminta lebih sedangkan (ia) sudah maju? Biarkan negeri-negeri yang lebih miskin mengejar pembangunan — itulah persepsi Kerajaan Persekutuan (terhadap Pulau Pinang).

“Kerajaan Persekutuan, atas sebab apa pun sama ada persepsi atau sebaliknya, meletakkan Pulau Pinang di bahagian bawah dari segi perhatian dan kelulusan. (Pulau Pinang) tidak diberi keutamaan,” kata beliau kepada Scoop dalam wawancara yang diadakan di pejabatnya di Komtar, di sini.

Chow, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota memegang jawatan sebagai Ketua Menteri pada 2018. Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan visi dan rancangan untuk Pulau Pinang, termasuk pelan induk dasar Penang 2030 oleh kerajaan negeri bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup penduduk Pulau Pinang.

Chow mengakui projek-projek pembangunan persekutuan telah diluluskan pada masa lalu, seperti hospital, balai polis, klinik kesihatan awam dan sekolah, yang bernilai hampir satu bilion ringgit.

Namun, jumlah projek adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.

Memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak menyediakan lebih banyak jenis geran modal yang diberikan kepada negeri, Pulau Pinang terpaksa bergantung pada geran jalan raya dan bentuk geran berkanun lain yang hanya menjana beberapa ratus juta ringgit, kata beliau.

“Pulau Pinang kekurangan infrastruktur. Kami ketinggalan terlalu jauh kerana tidak dapat mengejar perkembangan industri dan ekonomi (semasa). Infrastruktur (sedia ada) perlu diperbaiki.

“Kami (kerajaan negeri) merasakan berdasarkan sumbangan Pulau Pinang kepada ekonomi negara, kepada keluaran dalam negara kasar (GDP) negara, serta kepada perdagangan dan pelaburan, kami memerlukan infrastruktur,” katanya.

Tahun lepas, Chow telah meminta kerajaan persekutuan untuk mengkaji semula peruntukannya kepada negeri-negeri, dengan meminta agar 20% daripada cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang diperuntukkan kepada kerajaan negeri untuk mempertingkatkan usaha pembangunannya.

Sukar untuk berdikari

Chow, yang telah berkhidmat dalam kerajaan negeri sejak 2008 di bawah pendahulunya Lim Guan Eng, berkata Pulau Pinang telah cuba untuk mengurangkan penggantungan dan tidak meminta geran kepada kerajaan persekutuan pada masa lalu.

Negeri tersebut cuba membiayai Rancangan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) melalui penjualan tanah daripada projek penambakan Pulau Pinang Selatan, yang kini sedang dijalankan di luar pantai selatan pulau itu.

“Kami telah mencuba, tetapi sejauh mana kejayaannya? (Saya rasa) kita semua tahu (jawapannya),” tambah beliau.

Pada Mei 2023, skop projek penambakan itu telah dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau di bawah perjanjian dengan Putrajaya di mana kerajaan persekutuan akan membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
Namun begitu, sokongan dari pentadbiran persekutuan adalah lebih baik sekarang, tambah Chow.

Jelasnya, projek-projek persekutuan di negeri itu telah menerima kelulusan yang lebih cepat di bawah Kerajaan Perpaduan, seperti projek lebuh raya bertingkat Juru-Sg Dua yang telah lama dinantikan, yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Seberang Perai.

Aliran trafik akan dikurangkan di Lebuhraya Utara-Selatan di Juru, Pulau Pinang dengan pembinaan lebuh raya bertingkat Juru-Sg Dua, projek persekutuan yang diumumkan di bawah Bajet 2025. – Gambar Bernama, 18 Februari, 2025

Perhatian ini dari Putrajaya adalah penting untuk Pulau Pinang ketika ia merancang untuk mengembangkan industri semikonduktornya, tambah beliau.

“Saya percaya tiada Kerajaan Persekutuan lain yang telah memberikan begitu banyak perhatian kepada sektor semikonduktor sehingga dua tahun yang lalu, apabila kerajaan Madani mengambil alih,” kata Chow, sambil menyatakan bahawa kerajaan telah membangunkan Strategi Semikonduktor Nasional dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Saya rasa ini adalah (sesuatu) yang Pulau Pinang, sebagai hab silikon, mengalu-alukan untuk kita memanfaatkan lebih banyak lagi. Tetapi kami masih berpendapat kami seharusnya mendapatkan lebih banyak peruntukan,” kata beliau. – 18 Februari 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related