Suspek kes tembak di Setia Alam sempat lakukan 5 jenayah sebelum sembunyi di Pulau Ketam

Suspek dikenali sebagai 'Ah Boy' sempat melakukan samun, pecah rumah, peras ugut dan curi kenderaan sepanjang tempoh melarikan diri daripada buruan polis

2:50 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suspek yang melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam pada 8 Februari lalu sempat melakukan lima jenayah lain sebelum ditembak mati di Pulau Ketam, awal pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan pertengahan 30-an dan dikenali sebagai ‘Ah Boy’ itu sempat melakukan samun, pecah rumah, peras ugut dan curi kenderaan sepanjang tempoh melarikan diri daripada buruan polis.

Beliau memberitahu, suspek melarikan diri ke Melaka dengan mengugut pemandu kenderaan e-hailing untuk menghantarnya ke sana.

Hussein berkata, suspek juga menggunakan kaedah sama mengugut orang awam iaitu pemandu lori untuk ke Banting.

“Selepas kejadian di pusat beli belah itu dia lari dari Klang ke Melaka, dan berada di sana selama lima hari sebelum berpatah balik ke Banting, dan dua hari lepas dia dikesan di Sabak Bernam.

“Di Sabak Bernam dia sempat melakukan jenayah pecah rumah, menunjukkan senjata api dan juga samun, sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam,’’ katanya, lapor Bernama.

Hussein berkata demikian pada sidang media di Jeti Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang, hari ini.

Terdahulu, suspek, maut dalam insiden berbalas tembakan di sebuah hotel di Pulau Ketam, jam 3 pagi tadi.

Serbuan berkenaan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam usaha menjejaki penjenayah di premis tersebut.

Hussein berkata, sewaktu serbuan berlaku insiden tembak-menembak antara polis dan suspek di bilik hotel itu dan polis turut menemui dua pucuk senjata api berisi peluru.

Suspek diburu polis selepas dia dikatakan bertindak menembak seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari lepas.

Dalam pada itu, Hussein memberitahu suspek yang berasal dari Klang itu mempunyai 15 rekod jenayah lampau dan bergerak menggunakan pengangkutan orang ramai dengan cara mengugut mereka menggunakan senjata.

Jelas beliau, suspek aktif melakukan jenayah sejak 2014 dan pernah dipenjarakan dua kali atas kesalahan samun, dengan kebanyakan kes dilakukan secara solo dan secara kumpulan kecil, selain dikenal pasti mempunyai senjata api sejak tahun lepas.

“Kami juga sedang menyiasat sama ada dia menjadikan Pulau Ketam sebagai transit sebelum melarikan diri ke luar negara, dan siasatan juga sedang dilakukan untuk mengesan di mana dia mendapatkan senjata,” katanya. – 18 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

MACC raids home of Ismail Sabri’s ex-aide, over RM100 mil cash seized

Source says authorities also confiscated documents, jewellery, electronic devices

Related