KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR akan menerima sebarang permohonan daripada anggota parti yang layak untuk bertanding termasuk bagi jawatan penting dalam pemilihan parti Mei ini.
Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan kepada Scoop, selaras dengan prinsip demokrasi, pihaknya akan menerima permohonan bagi sebarang jawatan termasuk presiden dan timbalan presiden.
Menurutnya, JPP juga sedang menyediakan Garis Panduan Pemilihan Parti 2025 yang dijangka siap dalam masa terdekat.
“Secara prinsipnya, JPP akan menerima mana-mana permohonan daripada anggota yang layak untuk bertanding bagi sebarang jawatan, termasuk jawatan penting dalam parti.
“Namun jika hanya seorang calon menawarkan diri tanpa pencabar lain, calon tersebut akan diisytiharkan menang tanpa bertanding selaras dengan prinsip demokrasi yang kita amalkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Zaliha menegaskan JPP tidak terlibat dalam sebarang rundingan dalaman bagi menentukan sama ada sesuatu jawatan dipertandingkan atau tidak.
“JPP tidak membuat sebarang rundingan untuk menentukan siapa atau jawatan mana yang layak atau tidak dipertandingkan. Kami terima sahaja sesiapa yang mahu bertanding, itu prinsipnya,” katanya.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata terserah kepada parti untuk menentukan sama ada jawatan tertinggi parti serta timbalannya wajar dipertandingkan atau tidak.
Anwar menegaskan beliau tidak mencampuri urusan tersebut dan menyerahkan kepada PKR untuk membuat keputusan.
“Mereka (parti) yang putuskan… saya tak campur.
“Ia soal demokrasi… sama ada ada pertandingan atau tidak, parti yang tentukan,” katanya.
Pada 1 Februari lalu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, memberi bayangan bahawa parti mungkin tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden berdasarkan beberapa pandangan yang diperoleh daripada proses rundingan dalaman.
“Proses rundingan sedang berjalan di mana parti mempertimbangkan agar jawatan-jawatan utama tidak dipertandingkan.
“Kita bincang semua, termasuk jawatan presiden dan timbalan,” katanya.
Susulan kenyataan Shamsul, bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, berpandangan Anwar memerlukan barisan pemimpin yang lebih dinamik bagi mengukuhkan agenda rakyat.
Katanya, membuka ruang pertandingan juga membolehkan PKR kekal relevan dalam politik negara.
Terdahulu, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) bagi penggal 2025-2028 akan diadakan pada 24 Mei ini.
Anwar, 77, dijangka terus memegang jawatan Presiden PKR dalam pemilihan parti kali ini, yang juga merupakan penggal terakhirnya sebagai presiden.
Perlembagaan parti hanya membenarkan seorang presiden memegang jawatan selama tiga penggal.
Sebelum ini, penganalisis politik berpandangan bahawa prestasi dan kepimpinan cemerlang Anwar di pentas negara dan antarabangsa menyerlahkan jurang ketara dalam mencari penggantinya dalam PKR.
Profesor Madya Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keadaan ini menjadi cabaran kepada PKR untuk memastikan individu yang bakal menjadi ‘orang nombor dua’ dalam parti mempunyai karisma dan kewibawaan bagi meneruskan legasi Anwar.
Beliau menegaskan bahawa pelan peralihan kuasa yang teratur penting bagi memastikan keyakinan pengundi dan rakyat terhadap parti. – 16 Februari 2025